Bila remaja kita beridentiti global
Kita jarang menyediakan ruang yang benar-benar membolehkan remaja memahami, menghayati dan membentuk jati diri yang berakar pada budaya tempatan.

DALAM era digital yang serba pantas, identiti bukan lagi sesuatu yang statik atau diwarisi secara mutlak.
Ia kini bersifat cair, terbuka dan sentiasa berubah mengikut arus persekitaran. Remaja hari ini membesar dalam dunia yang dipenuhi lambakan naratif budaya luar baik dari gaya hidup Korea, slang Barat, hingga ke norma sosial yang dibentuk oleh algoritma media sosial.
Maka tidak hairanlah apabila mereka lebih mengenali budaya pop antarabangsa berbanding adat resam sendiri. Persoalannya, bila remaja beridentiti global, di mana silap identiti jati kita?
Kita sering bercakap tentang pentingnya menjaga identiti diri. Namun, dalam praktiknya, kita jarang menyediakan ruang yang benar-benar membolehkan remaja memahami, menghayati dan membentuk jati diri yang berakar pada budaya tempatan.
Di rumah, tanggungjawab membentuk identiti lazimnya terletak pada ibu bapa. Namun, dalam kesibukan hidup moden, peranan ini semakin terpinggir. Anak-anak lebih banyak belajar daripada skrin berbanding daripada cerita lisan, adat harian atau pengalaman bersama keluarga.
Di sekolah pula, identiti yang diterapkan sering bersifat formal dan terikat kepada silibus. Pendidikan Sivik dan Sejarah cuba membina kesedaran tentang warisan negara tetapi pendekatannya kadangkala terlalu faktual dan kurang bersifat pengalaman.
Jarang sekali pelajar diajak untuk berfikir secara kritikal tentang makna menjadi anak Malaysia atau bagaimana budaya tempatan boleh menjadi sumber kekuatan dalam dunia global.
Malah, sebahagian daripada identiti kebangsaan yang diajar mungkin merupakan tradisi ciptaan seperti yang dihujahkan oleh Eric Hobsbawm dalam konsep invented tradition.
Hobsbawm menyatakan bahawa tradisi ciptaan ini sering digunakan untuk mewujudkan rasa kebersamaan, mengabsahkan institusi dan menyemai nilai tertentu dalam masyarakat.
Dalam konteks Malaysia, ini boleh dilihat dalam ritual rasmi, pakaian seragam atau naratif sejarah yang disusun untuk membentuk identiti nasional.
Namun, jika tradisi ini tidak disertai dengan pemahaman yang mendalam dan pengalaman yang hidup, ia mudah menjadi kosong dan tidak bermakna bagi generasi muda.
Di tempat kerja pula, identiti yang dominan ialah profesionalisme global. Bahasa Inggeris menjadi lingua franca, etika kerja berasaskan produktiviti dan efisiensi dan budaya korporat sering meniru model Barat.
Dalam suasana sebegini, nilai-nilai tempatan seperti gotong-royong, hormat kepada hierarki umur atau kesantunan dalam komunikasi sering dianggap tidak relevan atau tidak kompetitif. Maka, pekerja muda mula membentuk identiti yang selari dengan tuntutan pasaran, bukan semangat kebangsaan.
Namun, menjadi global tidak semestinya bermakna kehilangan jati diri. Masalahnya ialah apabila identiti global diambil bulat-bulat tanpa penapisan, tanpa kefahaman konteks dan tanpa akar yang kukuh.
Remaja yang membentuk identiti berdasarkan TikTok, Netflix atau YouTube mungkin kelihatan moden tetapi mereka juga berisiko menjadi generasi yang tidak mengenal asal-usul sendiri.
Mereka tahu menari K-pop tetapi tidak tahu makna tarian zapin. Mereka fasih dalam slang Barat tetapi gagap bila diminta berpantun.
Jati diri bukan sekadar pakaian atau bahasa tetapi cara berfikir, nilai yang dipegang dan hubungan dengan komuniti.
Untuk membina semula identiti anak bangsa, kita perlu mewujudkan ekosistem yang menyokong pembelajaran budaya secara aktif dan reflektif.
Ini termasuk pendidikan yang bersifat kontekstual, ruang awam yang meraikan warisan dan naratif media yang mengangkat suara tempatan.
Kita juga perlu mengiktiraf bahawa identiti bukan milik eksklusif masa lampau tetapi boleh dibentuk semula dengan cara yang relevan dan bermakna.
Jika remaja hari ini beridentiti global, itu bukan kesalahan mereka sepenuhnya. Ia adalah cerminan sistem yang gagal menyediakan alternatif yang kukuh dan menarik.
Maka, tugas kita bukan sekadar menyalahkan tetapi membina semula dengan kasih, dengan ilmu dan dengan keyakinan bahawa jati diri anak bangsa masih boleh disemai, jika kita benar-benar mahu.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.