Mata Helang: Kaunter imigresen, masuk rasuah keluar maruah

Fungsi Jabatan Imigresen Malaysia sekadar memeriksa pasport, mengawal keluar masuk dan menahan pendatang asing tanpa izin tetapi mahir menyusun menu rasuah seperti mengatur kaunter.

Feature Image (4)

ADA jabatan di Malaysia yang lebih sibuk menjual negara daripada menjaganya. Namanya, Jabatan Imigresen Malaysia.

Jika dahulu kita fikir fungsi mereka sekadar memeriksa pasport, mengawal keluar masuk dan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI), kini kita sedar mereka juga mahir menyusun menu rasuah seperti mengatur kaunter atau counter setting, sogokan masuk keluar dan kini siap simpan berjuta-juta dalam Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera, buka kedaai emas dan lain-lain lagi.

Terbaru, lima pegawai imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Hasilnya? Emas 32 kilogram, 20 utas jam mewah, wang tunai berselerak, rumah bak istana, kereta mewah berkilat. Seorang pula dengan selamba menyimpan RM15 juta dalam Tabung Haji dan ASB.

Ya, tabung suci umat Islam pun jadi tempat parkir duit haram. Ironi? Tidak. Memalukan? Sangat tidak memalukan.

Mata Helang ingin bertanya, kalau sudah ada rumah besar, kereta mewah, emas bertimbun, apa lagi yang pegawai ini cari?

Jawapannya mudah, mereka sudah ketagih rasuah, seolah-olah gaji halal tidak cukup untuk memenuhi nafsu rakus. Mereka tidak bekerja untuk negara, mereka bekerja untuk perut sendiri.

Lebih jijik, mereka inilah yang setiap tahun berangkat ke Mekah, tunai haji dengan duit kotor, lalu pulang berlagak suci.

Mereka inilah yang berpakaian serban putih, selfie di hadapan Kaabah tetapi lupa wang yang membayar tiket kapal terbang itu datang daripada penderitaan orang lain. Daripada pekerja asing yang ditipu, daripada rakyat marhaen yang kena bayar lebih, daripada pintu belakang yang mereka buka untuk sindiket. Apakah haji mereka mabrur atau sekadar melancong dengan gaya halal-haram bercampur?

Soalan besar: siapa yang rugi?

Pertama, negara rugi. Sistem imigresen bocor, pendatang asing masuk ikut pintu belakang dengan bayaran tertentu. Hari ini mereka mungkin pekerja asing, esok siapa tahu? Mungkin penyeludup dadah, mungkin pengganas, mungkin sindiket senjata. Bila negara tergadai, siapa mahu dipersalahkan?

Kedua, rakyat rugi. Pendatang asing tanpa kawalan menekan ekonomi tempatan, mengambil ruang kerja, menambah kes jenayah dan rakyat juga rugi kerana cukai mereka membayar gaji pegawai-pegawai yang kononnya berkhidmat tetapi sebenarnya mengkhianati amanah.

Ketiga, agama rugi. Bila orang Melayu Islam terlibat rasuah sebesar ini, ia menconteng arang ke wajah bangsa dan agama. Dunia melihat dan dunia mentertawakan. Betapa beraninya mereka memakai kopiah ketika ke masjid tetapi tangan mereka kotor dengan duit sogokan.

Persoalannya: sampai bila?

Kita ada undang-undang. Kita ada SPRM. Kita ada mahkamah tapi apa gunanya semua ini kalau akhirnya kes bertahun-tahun tidak selesai atau tertuduh dilepaskan kerana ‘tidak cukup bukti’?

Apa gunanya kalau hukuman tidak setimpal, seolah-olah merompak berjuta hanya perlu ditebus dengan penjara beberapa tahun, itupun kalau ada sabitan.

Bila sistem terlalu lemah, ia bukan lagi pengajaran, tetapi undangan: “Mari semua, kalau mahu kaya cepat, masuk imigresen.”

Inilah masalah kita. Kita sibuk melaungkan ‘Malaysia Madani’, tetapi di kaunter imigresen, nilai madani itu mati.

Kita bercakap soal integriti tetapi pegawai kita membina empayar emas. Kita kononnya mahu menjadi negara maju tetapi pintu masuk negara sendiri dijadikan pasar malam untuk jual beli maruah.

Mata Helang tidak mahu sekadar menuding jari kepada lima pegawai ini. Persoalan lebih besar: adakah mereka bertindak sendirian atau ada rangkaian lebih besar di belakang mereka?

Adakah ada tangan ghaib yang lebih tinggi, yang melindungi? Kalau benar wujud sindiket, siapa ketuanya? Jangan sampai kes ini hanya menahan ikan bilis, sementara jerung besar terus berenang bebas.

Apatah lagi bila skandal demi skandal imigresen terus meletup saban tahun. Adakah ini kebetulan atau memang sudah berakar menjadi budaya?

Jika setiap kali kita dengar ‘pegawai imigresen ditahan SPRM’, rakyat sudah tidak terkejut, itu bermakna reputasi jabatan ini sudah mati.

Kita juga harus jujur, isu ini bukan sekadar soal individu. Ia sistemik. perbuatan mengatur kaunter tidak berlaku kalau tiada ‘restu’ daripada orang atas.

Emas 32 kilogram bukan terkumpul sehari dua tetapi bertahun-tahun. RM15 juta dalam Tabung Haji bukan simpanan bulan lalu tetapi hasil bertimbun. Maknanya, sistem pengawasan gagal atau lebih tepat, sistem pengawasan tutup mata.

Apa yang perlu dibuat? Hukuman mesti digandakan. Harta hasil rasuah mesti dirampas habis-habisan. Nama baik mesti dipulihkan dengan tindakan tegas, bukan kenyataan politik kosong dan paling penting, wujudkan mekanisme pengawasan bebas yang tidak boleh dikawal oleh tangan-tangan dalam jabatan.

Jika tidak, kita akan terus mendengar cerita sama, pegawai imigresen, emas bertimbun, wang berjuta dan maruah negara dijual murah.

Mata Helang menutup dengan satu peringatan, dosa rasuah tidak hilang dengan menunaikan haji. Ia tidak suci dengan doa di hadapan Kaabah. Ia tidak lupus dengan duit haram yang ditukar menjadi jam mewah. Sampai bila pegawai imigresen mahu terus menipu rakyat, menipu agama dan menipu diri sendiri?

Jawapannya mudah, selagi hukumannya ringan, selagi sistemnya bocor, selagi kita tidak berani menyapu bersih sampai ke akar, selagi itu kaunter imigresen bukan tempat masuk negara tetapi kaunter keluar maruah.