Pemasaran politik dan belanjawan efektif
Kebanyakkan kerajaan akan melihat belanjawan bukan hanya sebagai strategi pemasaran politik tetapi pengagihan semula sumber pendapatan dan adalah salah satu peraturan utama dalam merangka belanjawan kerajaan.

PEMASARAN politik mungkin istilah yang agak baharu dalam bidang politik. Walau bagaimanapun, ini bukan strategi baharu yang digunakan oleh calon politik dalam masa pemerintahan mereka.
Realitinya, taktik pemasaran politik perlu diadun ke dalam strategi pemerintahan kebanyakan ahli politik untuk menjangkau pengundi di lapangan dan pada masa sama ia akan menyesuaikan belanjawan dan strategi yang akan dibentang dan dilaksanakan dengan jayanya.
Pada asasnya, pemasaran politik ialah strategi menggunakan alat yang dibangunkan untuk pemasaran perniagaan untuk tujuan politik, daripada memenangi pilihan raya sehinggalah kepada meningkatkan imej kerajaan yang sedang memerintah.
Memandangkan persaingan semakin kuat, semua ahli politik perlu dapat membentangkan idea dan berkongsi pandangan, ideologi parti dan program mereka dengan pengundi. Justeru, mereka mempunyai peluang yang sama untuk dianggap sebagai pilihan yang baik oleh pengundi untuk membuat pilihan.
Belanjawan negara pula ialah dokumen utama di mana sesebuah kerajaan membentangkan rancangan perbelanjaan dan hasil keseluruhan mereka dan peruntukan perbelanjaan antara program dan organisasi, fungsi dan jenis ekonomi disamping menyuntik identiti pemasaran politik yang dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan negara itu.
Sebenarnya tahap pelaksanaan belanjawan negara adalah petunjuk keupayaan kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan awam dan mencapai objektif pembangunan. Sisihan antara perbelanjaan yang diluluskan dan sebenar diukur dalam tempoh 12 bulan (tahun belanjawan) dan mungkin mempunyai implikasi penting untuk kestabilan makroekonomi, penyampaian perkhidmatan awam dan kebajikan sosial.
Pemasaran politik sememangnya akan membantu sesebuah parti pemerintah menjangkau khalayak yang lebih luas dan pada masa yang sama menghidangkan satu solusi keperluan khusus komuniti tertentu.Tidak kira sama ada mereka mahu menarik minat orang ramai dengan mesej politik generik atau bercakap dengan hati.Usaha yang dijalankan akan tertumpu kepada kumpulan rakyat yang sangat khusus, mereka boleh melakukannya melalui strategi digital mereka atau dengan menggunakan saluran yang berbeza.
Belanjawan Bukan Sekadar Pemasaran Politik Tetapi Pengagihan Semula Sumber
Kebanyakkan kerajaan akan melihat belanjawan bukan hanya sebagai strategi pemasaran politik tetapi pengagihan semula sumber pendapatan dan adalah salah satu peraturan utama dalam merangka belanjawan kerajaan.
Kerajaan pastinya akan bertanggungjawab mengagihkan peruntukan dengan cara yang paling cekap untuk memaksimumkan kemajuan negara sepanjang tahun disamping menyuntik elemen pemasaran politik kedalamnya dengan nama-nama inisiatif yang menggambarkan imej pentadbiran sesuatu kerajaan itu. Belanjawan kerajaan biasanya melibatkan peruntukan sumber mengikut keutamaan ekonomi dan kebajikan awam negara. Sama seperti bagaimana kita perlu mempunyai perancangan kewangan yang bertanggungjawab ke atas pendapatan dan sumber kita, kerajaan mesti mempunyai peruntukan sumber yang terancang untuk menggambarkan keupayaan pentadbirannya dan bukan sekadar janji kosong.
Contohnya kerajaan Malaysia hari ini sudah semestinya akan menyasarkan untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dan transformasi ekonomi dalam pembentangan belanjawan hari ini untuk pengurusan peruntukan sumber bagi memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan lebih mampan. Objektif ini selaras dengan falsafah belanjawan kebanyakan kerajaan terbaik dunia, kerana penduduk yang gembira biasanya merupakan penduduk yang produktif.
Mengurangkan Ketaksamaan dalam Pendapatan dan Kekayaan
Elemen mengurangkan jurang ketaksamaan pendapatan dan kekayaan juga adalah merupakan komponen biasa ayng akan disuntik dalam strategi pemasaran politik untuk memberikan imej positif kepada sesebuah kerajaan dalam mana-mana sistem ekonomi. Untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan, kerajaan perlu melaksanakan dasar pembangunan ekonomi dan sosial jangka panjang pada asas tahun ke tahun.
Di sinilah pentingnya belanjawan kerajaan . Salah satu cara untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan adalah dengan melaraskan sistem percukaian. Ini termasuk menaikkan atau mengurangkan cukai untuk kumpulan pendapatan tertentu, serta mengurangkan, meningkatkan, menambah atau mengalih keluar faedah cukai, rehat dan insentif.
Kestabilan Ekonomi
Pastinya elemen kestabialan politik akan disuntik dalam sesuatu belanjawan negara untuk dikomunikasikan sebagai salah satu strategi pemasaran politik sesebuah kerajaan. Belanjawan kerajaan juga boleh digunakan untuk menggambarkan kestabilan ekonomi untuk negara. Maksud mendapatkan keadaan kestabilan ekonomi ialah inflasi yang rendah, stabil dan pertumbuhan pengeluaran yang cukup konsisten.
Sebagai contoh, kerajaan akan memperkenalkan geran, bantuan kewangan, dan subsidi untuk pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana pada belanjawan kali ini juga. Apabila ekonomi menjadi terlalu “panas”, ia terdedah kepada inflasi. Kerajaan mungkin menahan projek mega dan meningkatkan cukai untuk menyejukkan ekonomi. Begitu juga, apabila ekonomi tidak stabil, kerajaan mungkin memperkenalkan langkah-langkah untuk menggalakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.
Belanjawan yang dirancang dengan baik adalah amat penting bagi mana-mana kerajaan untuk memastikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi, daya tahan ekonomi dan pengembangan sesebuah negara dan bukan sekadar sebuah pemasaran politik.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.