Trump Peace Plan: Cabaran Malaysia tegakkan keadilan untuk Palestin

Malaysia perlu terus memainkan peranan dalam memperjuangkan hak Palestin melalui saluran diplomasi yang berhikmah.

Feature Image (1)

Oleh: ANIS RAFIQAH MOHAMAD AZHAR

DONALD Trump Peace Plan atau lebih dikenali sebagai Deal of the Century (DOTC) merupakan pelan damai yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 pada tahun 2020, bertujuan menyelesaikan konflik berpanjangan antara Palestin dan Israel.

Namun, pelan tersebut secara tidak langsung telah menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak terutamanya dari negara-negara Islam kerana dianggap berat sebelah serta menafikan hak asasi rakyat Palestin.

Secara zahir, rancangan itu dikatakan bertujuan membawa keamanan di Timur Tengah, namun realitinya ia memberikan kelebihan besar kepada rejim Zionis. Dalam kenyataan pelan tersebut mengiktiraf Baitulmaqdis iaitu Jerusalem sebagai ibu kota Israel yang tidak boleh dibahagikan, membenarkan penempatan haram Israel di Tebing Barat diteruskan dan menolak hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah asal mereka. Rancangan ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat serta menafikan hak kedaulatan negara Palestin yang sah.

Malaysia antara negara yang lantang menolak pelan tersebut dengan menegaskan bahawa keamanan sebenar hanya boleh dicapai apabila hak rakyat Palestin dihormati. Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Perdana Menteri ke-7 dan Datuk Saifuddin Abdullah selaku Menteri Luar Negeri ketika itu menegaskan bahawa pelan tersebut bukan jalan damai tetapi bentuk penindasan baharu yang cuba diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Dalam konteks semasa, kedatangan Trump ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut membangkitkan semula perdebatan tentang pelan damai itu. Lawatan itu mencetuskan pelbagai provokasi dalam kalangan masyarakat. Sebahagian rakyat menyuarakan agar Malaysia menolak kunjungan tersebut sebagai tanda solidariti terhadap rakyat palestin atas kezaliman Zionis. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa ia merupakan peluang untuk Malaysia menyatakan pendirian secara tegas dan bersemuka terhadap isu gaza di hadapan Trump.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke-10 berkata penyelesaian sebenar terhadap konflik Gaza harus bersifat comprehensive settlement, bukan sekadar gencatan senjata. Dalam sidang ASEAN ke-47, beberapa negara anggota turut menyatakan kebimbangan terhadap situasi di Gaza dan menyeru agar Amerika Syarikat mengambil tindakan yang lebih adil. Malaysia tampil sebagai suara paling lantang, menyokong usaha kemanusiaan, penyaluran bantuan dan pembangunan di Gaza. Hal ini membuktikan bahawa diplomasi Islam yang berasaskan keadilan mampu membina persefahaman serantau tanpa menimbulkan konflik.

Dalam konteks ini, Islam juga menuntut agar umatnya untuk menegakkan keadilan dan bertindak dengan hikmah. Seperti firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.”

Ayat ini mengajar bahawa perjuangan menentang kezaliman mesti berpaksikan keadilan, bukan emosi. Oleh itu, pendekatan Malaysia yang memilih untuk mengekalkan saluran diplomatik walaupun berbeza pandangan dengan Amerika Syarikat merupakan langkah yang selaras dengan prinsip siyasah syariyyah. Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan bahawa pemerintah dibenarkan mengadakan hubungan damai (sulh) dengan pihak bukan Islam jika terdapat maslahat yang jelas, seperti menjaga keamanan atau melindungi umat.

Prinsip ini pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW melalui Perjanjian Hudaibiyah iaitu perjanjian yang pada awalnya kelihatan merugikan Islam tetapi akhirnya membuka jalan kepada kemenangan dakwah. Dalam konteks hari ini, menerima kehadiran Trump tidak bermaksud Malaysia menyokong dasar luar Amerika, sebaliknya ia peluang untuk menegaskan pendirian terhadap Peace Plan yang zalim itu secara berhemah dan bermaruah.

Walau bagaimanapun, pandangan dan perasaan rakyat tetap diutamakan. Ramai yang marah dan kecewa kerana dasar Trump dianggap seolah-olah mempermainkan penderitaan rakyat Palestin. Namun, sekiranya pertemuan itu ditolak terus, Malaysia mungkin akan kehilangan peluang untuk menyuarakan isu Palestin di peringkat antarabangsa. Allah SWT berfirman dalam surah an-Naḥl ayat 125: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.”

Oleh itu, pendekatan yang paling bijak ialah berdiplomasi dengan penuh hikmah tanpa mengorbankan prinsip. Malaysia perlu tampil sebagai suara Islam yang tegas dalam menentang kezaliman, namun tetap bersedia berdialog demi mencari jalan damai yang adil. Dalam pandangan maqasid syariah, setiap keputusan pemerintah perlu seimbang antara manfaat (maslahah) dan mudarat (mafsadah). Jika menolak rundingan hanya kerana emosi, kita mungkin kehilangan peluang untuk menegakkan kebenaran Islam di pentas dunia.

Kesimpulannya, Trump Peace Plan membuktikan bahawa keamanan yang tidak berasaskan keadilan hanyalah ilusi. Malaysia, sebagai negara Islam yang berprinsip, perlu terus memainkan peranan dalam memperjuangkan hak Palestin melalui saluran diplomasi yang berhikmah. Inilah kekuatan Islam dalam diplomasi dengan tegas dalam prinsip, bijak dalam strategi dan adil dalam tindakan.

* Penulis adalah penuntut di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.