Siapa pula yang menjaga generasi sandwic?

Generasi sandwic memikul tanggungjawab terhadap anak-anak dan ibu bapa yang semakin berusia. Sokongan keluarga, komunikasi dan penjagaan diri penting agar mereka tidak menanggung beban seorang diri.

Feature Image

ISTILAH generasi sandwic merujuk kepada golongan dewasa yang perlu memenuhi keperluan dua generasi pada masa yang sama, iaitu anak-anak yang masih bergantung kepada mereka dan ibu bapa yang semakin berusia serta mungkin memerlukan penjagaan.

Mereka seolah-olah berada di tengah-tengah, dengan tanggungjawab datang dari dua arah. Pada satu sisi, anak-anak memerlukan perhatian, pendidikan dan sokongan. Pada sisi yang lain, ibu bapa mungkin memerlukan bantuan dari segi kesihatan, kewangan, urusan harian atau sokongan emosi.

Namun, kehidupan generasi sandwic tidak terhenti pada tanggungjawab keluarga. Mereka juga perlu bekerja, mengurus kewangan, rumah tangga dan hubungan dengan pasangan serta orang lain di sekeliling. Ada yang perlu mengejar tugasan di tempat kerja pada waktu pagi, mengurus anak pada petang hari, dan membawa ibu atau bapa ke klinik pada sebelah malam. Dalam kesibukan memenuhi keperluan semua orang, mereka mungkin tidak sempat bertanya kepada diri sendiri, “Bagaimana keadaan aku hari ini?”

Kita sering melihat seseorang yang mampu mengurus begitu banyak perkara lalu menganggap mereka seorang yang kuat. Mereka hadir ke tempat kerja, mengurus anak-anak, menjaga ibu bapa, dan terus menjalankan rutin harian seperti biasa. Namun, apa yang kelihatan di luar tidak semestinya menggambarkan apa yang berlaku di dalam diri. Seseorang mungkin kelihatan mampu mengurus semuanya, sedangkan pada masa yang sama sedang mengalami keletihan fizikal dan emosi yang semakin terkumpul.

Cabaran generasi sandwic bukan sekadar berkaitan dengan jumlah tanggungjawab yang perlu dilakukan. Ia juga melibatkan konflik peranan. Dari sudut psikologi, konflik peranan berlaku apabila seseorang perlu memenuhi beberapa tuntutan peranan yang berlaku serentak dan sukar diseimbangkan. Mereka mahu menjadi anak yang bertanggungjawab, ibu atau bapa yang baik, pasangan yang memahami dan pekerja yang komited. Namun, masa, tenaga dan emosi manusia mempunyai batas.

Apabila tuntutan daripada pelbagai arah semakin meningkat, seseorang mungkin mula merasakan bahawa dirinya tidak pernah melakukan sesuatu dengan cukup baik. Ketika bersama anak, fikirannya memikirkan ibu bapa. Ketika menjaga ibu bapa, teringat tugasan kerja. Ketika bekerja pula, kebimbangan terhadap keadaan keluarga terus bermain dalam fikiran. Tubuh mungkin berada di satu tempat, tetapi fikiran seolah-olah berada di banyak tempat pada masa yang sama.

Keadaan ini boleh membawa kepada keletihan emosi. Individu mungkin menjadi mudah marah, sukar menumpukan perhatian, mengalami gangguan tidur atau kehilangan minat terhadap perkara yang sebelum ini memberikan kepuasan. Ada yang memilih untuk memendam tekanan kerana merasakan orang lain lebih memerlukan mereka. Mereka terus berkata, “Saya boleh,” walaupun sebenarnya sudah lama berasa penat.

Yang lebih membimbangkan ialah rasa bersalah apabila cuba menjaga diri sendiri. Bagi sesetengah individu, berehat mungkin terasa seperti membuang masa. Meminta bantuan pula mungkin dianggap sebagai tanda tidak mampu menjalankan tanggungjawab. Ada yang berfikir, “Kalau saya berhenti sekejap, siapa yang akan uruskan keluarga?” Akhirnya, keperluan diri sendiri sentiasa diletakkan di tempat terakhir.

Sedangkan menjaga diri bukan bermaksud mengabaikan keluarga. Sebaliknya, seseorang yang mempunyai ruang untuk berehat dan memulihkan tenaga lebih berupaya memberikan perhatian kepada orang yang disayanginya. Penjagaan diri bukan satu bentuk mementingkan diri, tetapi sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan kesejahteraan diri dan keluarga.

Justeru, tanggungjawab menjaga keluarga tidak seharusnya diletakkan pada bahu seorang individu sahaja. Ahli keluarga perlu belajar berkongsi tanggungjawab mengikut kemampuan masing-masing. Bantuan tidak semestinya berbentuk kewangan. Menemani ibu bapa ke klinik, mengambil anak dari sekolah, membantu mengurus rumah atau memberikan beberapa jam kepada seseorang untuk berehat juga merupakan bentuk sokongan yang bermakna.

Komunikasi dalam keluarga juga penting. Generasi sandwic perlu mempunyai ruang untuk berkata, “Saya penat,” tanpa terus dianggap tidak bersyukur atau tidak mampu menjalankan tanggungjawab. Kadangkala, seseorang tidak memerlukan penyelesaian segera. Mereka hanya memerlukan seseorang yang sanggup mendengar, memahami dan membantu mencari jalan untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

Kita juga perlu belajar mengenal tanda-tanda apabila tekanan sudah mula melampaui kemampuan diri. Keletihan yang berpanjangan, mudah marah, gangguan tidur, hilang tumpuan atau perasaan tidak mampu mengurus kehidupan tidak seharusnya dipandang ringan. Mendapatkan sokongan daripada pasangan, keluarga, rakan atau profesional kesihatan mental bukan tanda kelemahan. Ia merupakan satu bentuk penjagaan terhadap diri sendiri.

Kita sering mengajar anak-anak bahawa keluarga ialah tempat untuk saling menjaga. Prinsip yang sama seharusnya terpakai kepada mereka yang berada di tengah-tengah tanggungjawab keluarga. Menjaga ibu bapa dan membesarkan anak-anak tidak sepatutnya menjadi perjalanan yang perlu dilalui seorang diri.

Mungkin sudah tiba masanya kita mengubah cara kita melihat generasi sandwic. Mereka tidak semestinya memerlukan pujian kerana “kuat” atau “mampu mengurus semuanya”. Kadangkala, perkara yang lebih mereka perlukan ialah seseorang yang bertanya, “Apa yang boleh saya bantu?” sebelum mereka sampai ke tahap tidak lagi mampu berkata bahawa mereka penat.

Lebih penting lagi, kita perlu memastikan bahawa individu yang memberi penjagaan tidak kehilangan dirinya dalam proses tersebut. Persoalannya bukan sekadar siapa yang menjaga anak-anak atau ibu bapa, tetapi siapa yang memastikan mereka yang memikul tanggungjawab tersebut juga mempunyai ruang untuk berehat, mendapatkan sokongan dan menjalani kehidupan dengan sejahtera.

Menjaga orang lain tidak seharusnya bermakna mengabaikan diri sendiri. Barangkali, usaha untuk mengubah keadaan ini boleh bermula dengan kita.