KUALA LUMPUR, 6 Disember 2024 – Pemain piano “classical crossover” terkemuka Maksim Mrvica bakal kembali ke ibu kota menerusi konsert di Mega Star Arena pada 12 Februari depan.
Persembahan yang merupakan sebahagian daripada jelajah dunia “Maksim World Tour: Segmenti” itu akan menghidangkan variasi daripada album terbaharunya “Segmenti” yang menampilkan lagu-lagu hit ABBA dan Queen, diiringi muzik orkestra penuh.
Selain itu, beliau juga dijangka mempersembahkan karya-karya agung klasik nukilan Chopin, Prokofiev dan Tchaikovsky, demikian menurut kenyataan penganjur konsert Lo-Fi Entertainment hari ini.
“Beliau mampu memainkan 16 not dalam tempoh beberapa saat dan antara karyanya yang terkenal ialah ‘Croatian Rhapsody’, ‘Flight of the Bumblebee’ dan lagu-lagu tema ‘Pirates of the Caribbean’, ‘Game of Thrones’ serta ‘Mission Impossible’,” menurut kenyataan itu.
Dilahirkan di Sibenik, Croatia, Maksim memulakan kariernya sebagai pemain piano pada usia sembilan tahun dan menempuh pelbagai halangan termasuk ketika negaranya mengharungi peperangan.
Beliau dibimbing dalam genre klasik di beberapa akademi muzik terkemuka seperti Zagreb Academy of Music, Franz Liszt Academy of Music di Budapest, Hungary serta Russian Conservatory Alexander Scriabin di Perancis.
Pendekatan inovatif beliau dalam mempersembahkan muzik klasik mengangkatnya namanya ke persada antarabangsa.
Tiket konsert beliau akan dijual bermula 12 tengah hari 12 Disember ini, menerusi www.ticketingtix.com, pada harga RM888 (VIP), RM688 (CAT 1), RM488 (CAT 2), RM288 (CAT 3) dad RM188 (CAT 4).