Jangan biar kandungan pendek merosak otak
Fenomena brain rot dikaitkan dengan ketagihan digital, keresahan, kemurungan, keletihan mental dan perhatian yang semakin singkat.
Oleh: DR. NURDIANAH HARIF FADZILAH
PERNAHKAH kita membuka telefon sekadar lima minit, tetapi akhirnya tersedar hampir satu jam berlalu tanpa melakukan apa-apa yang bermanfaat?
Satu video pendek membawa kepada video seterusnya. Jari terus menatal tanpa sedar. Otak pula seolah-olah melekat pada skrin walaupun hati sebenarnya penat.
Fenomena ini semakin dikenali dengan istilah brain rot, iaitu keadaan apabila otak menjadi terlalu tepu dengan kandungan digital pantas sehingga menjejaskan fokus, daya fikir dan kestabilan emosi seseorang.
Sebuah artikel saintifik pada tahun 2025 bertajuk “Demystifying the New Dilemma of Brain Rot in the Digital Era: A Review” menjelaskan bahawa fenomena brain rot bukan sekadar istilah media sosial, tetapi berkait dengan perubahan sebenar terhadap fungsi kognitif manusia akibat pendedahan berlebihan kepada kandungan digital pantas dan berkualiti rendah.
Menurut kajian tersebut, pendedahan berterusan kepada kandungan pendek seperti TikTok, Reels dan YouTube Shorts boleh menyebabkan cognitive overload atau beban berlebihan kepada otak, sekali gus menjejaskan fokus, memori, kawalan emosi dan keupayaan berfikir secara mendalam.
Fenomena brain rot juga dikaitkan dengan ketagihan digital, keresahan, kemurungan, keletihan mental serta perhatian yang semakin singkat, sehingga manusia semakin sukar mengekalkan fokus dan kestabilan emosi untuk tempoh yang lama.
Otak manusia sebenarnya tidak direka untuk menerima rangsangan pantas tanpa henti. Selama ribuan tahun, manusia hidup dalam dunia yang perlahan. Kita berbual secara bersemuka, membaca dengan sabar dan belajar melalui pemerhatian yang mendalam.
Namun hari ini, otak dipaksa menyesuaikan diri dengan budaya kandungan segera, seperti video 15 saat, muzik pantas, pertukaran visual terlalu cepat dan maklumat yang datang bertalu-talu. Akibatnya, otak mula berubah.
Saintis mendapati kandungan pendek dan pantas boleh mempengaruhi sistem ganjaran otak, khususnya penghasilan dopamine, iaitu bahan kimia yang membuatkan manusia berasa seronok dan ketagih. Setiap kali kita menonton video baharu, otak menerima ganjaran kecil yang membuatkan kita mahu terus melihat kandungan seterusnya.
Lebih banyak rangsangan diterima, lebih sukar otak menikmati perkara yang perlahan. Inilah sebab mengapa ramai semakin sukar membaca buku panjang, menonton dokumentari atau memberi tumpuan dalam kuliah. Otak sudah terbiasa dengan hiburan segera.
Kita sedang melatih otak untuk sentiasa mahukan sesuatu yang baharu setiap beberapa saat. Masalahnya, kehidupan sebenar tidak bergerak sepantas media sosial.
Ilmu memerlukan kesabaran. Hubungan memerlukan perhatian. Kejayaan memerlukan disiplin tetapi budaya kandungan pendek menjadikan manusia semakin tidak selesa dengan proses yang perlahan.
Hakikat yang pahit ialah perhatian manusia kini telah menjadi komoditi. Kita bukan lagi sekadar pengguna media sosial. Dalam banyak keadaan, kita sebenarnya sedang digunakan oleh sistem yang mahu memastikan kita terus berada di platform mereka selama mungkin.
Kita mula sukar fokus ketika solat. Cepat mencapai telefon ketika bekerja. Tidak mampu menghabiskan satu artikel panjang. Malah ada yang membuka media sosial tanpa sebab yang jelas, sekadar kerana otak sudah terbiasa mencari rangsangan.
Persoalannya, adakah kita masih mengawal perhatian kita sendiri? Atau perhatian itu sudah diambil sedikit demi sedikit oleh dunia digital?
“Dua nikmat yang ramai manusia rugi padanya, iaitu kesihatan dan masa lapang” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Hari ini, kedua-duanya semakin terhakis tanpa kita sedari. Masa habis di hadapan skrin, manakala kesihatan mental semakin terganggu akibat otak yang tidak pernah berhenti menerima rangsangan.
Namun, teknologi bukanlah musuh yang perlu dibenci sepenuhnya. Media sosial juga membawa manfaat besar dalam penyebaran ilmu, dakwah, perniagaan dan komunikasi. Masalah sebenar muncul apabila manusia kehilangan keseimbangan.
Mungkin sudah tiba masanya kita mula menetapkan had penggunaan skrin, berhenti melihat kandungan pendek sebelum tidur dan memberi ruang kepada otak untuk berehat. Luangkan masa membaca beberapa halaman buku tanpa gangguan. Duduk bersama keluarga tanpa telefon di tangan. Berjalan tanpa perlu merakam semuanya untuk media sosial.
Ini adalah kerana jika tidak dikawal, brain rot bukan sahaja merosakkan fokus manusia. Ia perlahan-lahan boleh merosakkan cara manusia melihat kehidupan. Dan manusia yang kehilangan keupayaan untuk berfikir secara mendalam akhirnya akan mudah hanyut dalam dunia yang terlalu bising.
* Penulis merupakan Pegawai Penyelidik di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia

