Hari bekerja hibrid bina budaya kerja berasaskan kepercayaan dan prestasi

Pendekatan kerja yang lebih fleksibel bukan lagi sesuatu yang asing, malah telah menjadi amalan di banyak negara maju seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden.

Feature Image (5)

PELAKSANAAN Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) dalam perkhidmatan awam yang mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026 merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha mereformasikan sektor awam Malaysia. Dasar ini bukan sekadar memperkenalkan kaedah bekerja yang lebih fleksibel, malah mencerminkan perubahan budaya kerja daripada berorientasikan kehadiran fizikal kepada berorientasikan hasil, prestasi dan akauntabiliti.

Dalam era transformasi digital, persoalan utama bukan lagi “di mana seseorang bekerja”, tetapi “apakah hasil yang berjaya dihasilkan”. Teknologi telah mengubah cara organisasi beroperasi. Mesyuarat boleh dilaksanakan secara maya, dokumen dikongsi secara digital dan penyelarasan kerja berlaku dalam masa nyata tanpa semestinya memerlukan semua pegawai berada di lokasi yang sama setiap hari.

Justeru, pendekatan kerja yang lebih fleksibel bukan lagi sesuatu yang asing, malah telah menjadi amalan di banyak negara maju seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden.

Namun begitu, kejayaan dasar ini tidak boleh diukur hanya melalui fleksibiliti yang diberikan kepada penjawat awam. Sebaliknya, ia perlu dinilai berdasarkan sejauh mana penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan tanpa menjejaskan kualiti, kecekapan dan integriti.

Salah satu tanggapan yang perlu diperbetulkan ialah persepsi bahawa bekerja dari rumah bermaksud bekerja dengan lebih santai atau menikmati cuti tambahan. Hakikatnya, Hari Bekerja Hibrid bukanlah satu bentuk kelonggaran terhadap tanggungjawab, tetapi satu amanah yang diberikan kepada penjawat awam untuk mengurus kerja secara lebih profesional.

Kepercayaan yang diberikan oleh organisasi perlu dibalas dengan disiplin yang tinggi, komunikasi yang berkesan dan komitmen terhadap penyampaian hasil kerja yang berkualiti.

Pelaksanaan HBH juga bukan bersifat menyeluruh. Dasar ini telah menetapkan syarat dan mekanisme yang jelas. Konsep penggiliran tiga hari bekerja di pejabat dan dua hari bekerja dari rumah atau lokasi alternatif diwujudkan bagi memastikan keseimbangan antara keperluan organisasi dan fleksibiliti pegawai.

Dalam masa yang sama, beberapa sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan, penguatkuasaan, mahkamah dan perkhidmatan kaunter masih memerlukan kehadiran fizikal sepenuhnya kerana sifat tugas mereka yang melibatkan interaksi langsung dengan masyarakat.

Peranan Ketua Jabatan juga amat penting dalam memastikan dasar ini dilaksanakan secara berkesan. Ketua Jabatan diberikan kuasa untuk menentukan kelayakan pegawai, menyusun jadual kerja mengikut keperluan operasi, memanggil pegawai hadir ke pejabat sekiranya diperlukan, malah menarik balik kelayakan bekerja secara hibrid sekiranya berlaku pelanggaran syarat. Pendekatan ini memastikan fleksibiliti yang diberikan tidak mengorbankan kepentingan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Pada hakikatnya, kesesuaian bekerja secara hibrid bergantung kepada tiga elemen utama. Pertama ialah jenis tugas. Tidak semua tugasan memerlukan kehadiran fizikal sepanjang masa. Tugas berbentuk pentadbiran, analisis data, penyediaan laporan, penyelidikan atau pembangunan dasar boleh dilaksanakan dengan berkesan secara dalam talian.

Sebaliknya, tugasan yang melibatkan operasi lapangan atau interaksi bersemuka memerlukan kehadiran di pejabat atau lokasi tugas.

Elemen kedua ialah integriti dan disiplin individu. Fleksibiliti hanya akan berjaya jika disokong oleh budaya kerja yang profesional. Penjawat awam perlu membuktikan bahawa produktiviti tidak bergantung kepada pemantauan secara fizikal, sebaliknya kepada rasa tanggungjawab, pengurusan masa dan komitmen terhadap organisasi.

Elemen ketiga ialah keperluan operasi agensi. Setiap kementerian dan jabatan mempunyai fungsi yang berbeza. Oleh itu, pelaksanaan HBH perlu mengambil kira keperluan sebenar organisasi tanpa menjejaskan kepentingan rakyat sebagai pelanggan utama perkhidmatan awam.

Bagi memastikan dasar ini benar-benar berjaya, sistem pemantauan juga perlu bergerak seiring dengan perubahan budaya kerja. Pemantauan tidak seharusnya berasaskan konsep *micromanagement*, sebaliknya memberi penekanan kepada pencapaian indikator prestasi dan hasil kerja.

Penggunaan platform seperti SPOT-Me serta penilaian berasaskan KPI merupakan langkah yang lebih sesuai dalam memastikan akauntabiliti sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, penjawat awam masih tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan perlu sentiasa boleh dihubungi serta bersedia hadir ke pejabat apabila diarahkan.

Selain meningkatkan produktiviti, HBH juga membawa pelbagai manfaat kepada kesejahteraan penjawat awam. Masa perjalanan yang lebih singkat dapat mengurangkan tekanan harian, manakala penjimatan kos petrol, tol dan penyelenggaraan kenderaan memberi impak positif kepada kewangan isi rumah. Bagi penjawat awam yang tinggal jauh dari tempat kerja, pengurangan perjalanan sehingga beberapa jam sehari boleh diterjemahkan kepada peningkatan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan keluarga.

Manfaat tersebut turut memberi kesan yang lebih luas kepada negara. Pengurangan perjalanan harian mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, penggunaan bahan api dan pelepasan karbon. Walaupun kesannya mungkin kelihatan kecil pada peringkat individu, apabila diamalkan secara sistematik oleh ribuan penjawat awam, ia mampu menyumbang kepada agenda kelestarian alam sekitar dan pembangunan rendah karbon.

Lebih penting lagi, HBH meningkatkan daya tahan atau *resilience* perkhidmatan awam dalam menghadapi situasi luar jangka. Pengalaman pandemik COVID-19 serta bencana seperti banjir telah menunjukkan bahawa operasi kerajaan perlu mempunyai pelan kontingensi yang membolehkan penyampaian perkhidmatan diteruskan walaupun berlaku gangguan kepada operasi fizikal. Dengan infrastruktur digital yang semakin baik, perkhidmatan awam kini mempunyai keupayaan untuk terus beroperasi dalam pelbagai situasi kecemasan.

Walau bagaimanapun, kejayaan dasar ini tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata. Ia memerlukan perubahan minda dalam kalangan penjawat awam sendiri. Kepercayaan yang diberikan perlu diterjemahkan melalui peningkatan prestasi, bukannya penurunan produktiviti. Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu menilai keberkesanan HBH berdasarkan kualiti penyampaian perkhidmatan, bukannya semata-mata melihat lokasi seseorang penjawat awam bekerja.

Akhirnya, HBH bukan sekadar perubahan jadual bekerja, tetapi satu transformasi budaya kerja sektor awam. Jika dilaksanakan dengan penuh integriti, disokong oleh kepimpinan yang berkesan serta penggunaan teknologi digital yang optimum, dasar ini berpotensi melahirkan perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berdaya tahan.

Kejayaan sebenar HBH bukanlah apabila semakin ramai bekerja dari rumah, tetapi apabila rakyat terus menerima perkhidmatan yang pantas, berkualiti dan boleh dipercayai. Itulah ukuran sebenar sebuah perkhidmatan awam moden yang mampu memenuhi tuntutan masa depan.