Ke arah pembelajaran kosa kata bahasa Inggeris pintar

Adakah murid benar-benar kekurangan kosa kata bahasa Inggeris? Atau adakah mereka sebenarnya kurang didedahkan kepada bagaimana perkataan tersebut digunakan dalam komunikasi sebenar?

Feature Image (4)

RAMAI ibu bapa tertanya-tanya mengapa anak-anak mereka masih kurang yakin bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun telah mempelajarinya sejak sekolah rendah. Mereka mungkin mengenali banyak perkataan, memperoleh markah yang baik dalam ujian kosa kata dan mengetahui maksud sesuatu perkataan.

Namun apabila diminta berbual, memberikan pendapat atau menulis, mereka masih teragak-agak memilih perkataan yang sesuai.

Persoalannya, adakah murid benar-benar kekurangan kosa kata bahasa Inggeris? Atau adakah mereka sebenarnya kurang didedahkan kepada bagaimana perkataan tersebut digunakan dalam komunikasi sebenar? Persoalan ini menjadi semakin penting apabila Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan kurikulum Bahasa Inggeris yang diselaraskan dengan ‘Common European Framework of Reference for Languages’ (CEFR).

Pendekatan CEFR menekankan keupayaan murid menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dalam situasi sebenar melalui kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dengan kata lain, penguasaan kosa kata tidak lagi diukur berdasarkan berapa banyak perkataan yang dihafal, tetapi sejauh mana murid mampu menggunakan perkataan tersebut secara tepat, yakin dan bermakna.

Malangnya, pembelajaran kosa kata bahasa Inggeris masih banyak tertumpu kepada memperkenalkan perkataan baharu dan menghafal maksudnya. Murid menghafal senarai perkataan, mencari makna dalam kamus dan menjawab latihan padanan perkataan dengan definisi. Pendekatan ini mungkin membantu murid mengenali sesuatu perkataan, tetapi tidak semestinya membolehkan mereka menggunakannya dalam komunikasi sebenar.

Sebagai contoh, ramai murid mengetahui bahawa important bermaksud ‘penting’. Namun mereka masih kurang pasti bila perlu menggunakan important, significant, essential atau crucial.

Mereka mengenali perkataan decision, tetapi masih menyebut do a decision sedangkan ungkapan yang betul ialah make a decision. Begitu juga dengan perkataan research, yang sering digunakan sebagai make research sedangkan penggunaan yang lebih tepat ialah conduct research.

Kesilapan seperti ini menunjukkan bahawa pembelajaran kosa kata bukan sekadar mengetahui maksud sesuatu perkataan, tetapi memahami bagaimana perkataan itu digunakan dalam konteks sebenar. Inilah sebabnya kita memerlukan pendekatan pembelajaran kosa kata bahasa Inggeris pintar.

Pendekatan ini bukan bertujuan memperkenalkan lebih banyak perkataan baharu, tetapi memperkayakan pengalaman murid dengan perkataan yang sama melalui pendedahan yang pelbagai, bermakna dan konsisten. Murid perlu melihat, mendengar, membaca, menulis dan menggunakan perkataan yang sama berulang kali sehingga perkataan tersebut menjadi sebahagian daripada bahasa yang mereka kuasai.

Bayangkan seorang murid mempelajari perkataan environment. Jika perkataan itu hanya muncul sekali dalam buku teks, kemungkinan besar ia akan dilupakan. Namun, jika murid membaca cerita tentang pencemaran sungai, menonton video mengenai perubahan iklim, berbincang tentang cara mengurangkan penggunaan plastik, menghasilkan poster bertemakan alam sekitar dan menulis karangan mengenainya, perkataan environment akan ditemui berulang kali dalam pelbagai situasi.

Lama-kelamaan, murid bukan sahaja mengingati perkataan tersebut, malah mampu menggunakannya secara spontan ketika bercakap atau menulis.

Begitu juga jika murid mempelajari perkataan responsibility. Guru boleh memperkenalkannya melalui cerita pendek, diikuti dengan perbincangan tentang tanggungjawab di rumah dan di sekolah. Murid kemudian menghasilkan poster mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan sekolah, menulis refleksi ringkas dan akhirnya membentangkan idea mereka kepada rakan sekelas.

Perkataan yang sama digunakan berulang kali tetapi dalam situasi yang berbeza. Inilah yang dimaksudkan dengan pembelajaran kosa kata bahasa Inggeris pintar.

Guru tidak semestinya perlu memperkenalkan lebih banyak perkataan baharu pada setiap minggu. Sebaliknya, mereka perlu memaksimumkan penggunaan perkataan yang telah dipelajari. Sebagai contoh, bagi topik Healthy Living, guru boleh memilih lima atau enam perkataan penting seperti healthy, exercise, nutrition, balanced diet dan lifestyle.

Perkataan ini kemudiannya digunakan dalam bacaan, permainan bahasa, pembentangan, penulisan jurnal, projek, kuiz dan perbincangan sepanjang minggu. Fokusnya bukan memperkenalkan lebih banyak perkataan, tetapi memperbanyakkan peluang murid menggunakan perkataan yang sama dalam pelbagai konteks.

Selain itu, murid juga perlu mempelajari kosa kata dalam bentuk frasa dan ungkapan, bukan sebagai perkataan yang berdiri sendiri. Sebagai contoh, adalah lebih berguna mempelajari make a decision, pay attention, take responsibility, conduct research, save energy atau play an important role berbanding hanya menghafal perkataan decision, attention, responsibility, research dan energy. Dalam komunikasi sebenar, bahasa digunakan dalam bentuk gabungan perkataan seperti ini. Perkataan tidak berdiri sendiri.

Peranan ibu bapa juga amat penting. Mereka tidak perlu mengajar anak-anak menghafal senarai perkataan setiap malam. Sebaliknya, mereka boleh mewujudkan suasana yang kaya dengan bahasa Inggeris di rumah. Ketika membeli-belah, ibu bapa boleh berbual tentang fresh, cheap, expensive, receipt dan discount.

Ketika memasak, anak-anak boleh menggunakan perkataan seperti slice, mix, boil, pour dan ingredients. Semasa menonton World Cup pula, mereka boleh berbincang tentang captain, strategy, score, defend dan victory. Perbualan ringkas selama sepuluh hingga lima belas minit setiap hari jauh lebih berkesan daripada menghafal dua puluh perkataan yang tidak pernah digunakan semula.

Dalam era kecerdasan buatan (AI), teknologi juga boleh memperkayakan pembelajaran kosa kata bahasa Inggeris pintar. Namun AI tidak seharusnya digunakan sekadar untuk mencari maksud sesuatu perkataan. Sebaliknya, AI boleh membantu menghasilkan cerita, dialog, permainan bahasa, kuiz dan situasi harian yang menggunakan perkataan yang sama dalam pelbagai konteks.

Murid juga boleh meminta AI menyemak ayat yang mereka bina atau menghasilkan beberapa contoh penggunaan sesuatu perkataan dalam situasi yang berbeza. Dengan cara ini, AI membantu memperbanyakkan pendedahan kepada penggunaan bahasa, bukannya sekadar memberikan definisi.

Hakikatnya, pembelajaran kosa kata bahasa Inggeris bukanlah satu perlumbaan untuk memperkenalkan sebanyak mungkin perkataan baharu. Sebaliknya, ia merupakan usaha membina pengalaman bahasa yang kaya melalui pendedahan yang pelbagai, penggunaan yang konsisten dan komunikasi yang bermakna. Semakin kerap murid menemui dan menggunakan sesuatu perkataan dalam pelbagai situasi, semakin kukuh penguasaan mereka terhadap perkataan tersebut.

Sudah tiba masanya kita mengubah cara kita melihat pembelajaran kosa kata bahasa Inggeris. Kejayaan bukan diukur melalui berapa banyak perkataan yang berjaya dihafal dalam seminggu, tetapi sejauh mana murid mampu menggunakan perkataan tersebut dengan yakin dan tepat dalam kehidupan sebenar.

Pembelajaran kosa kata bahasa Inggeris pintar mengingatkan kita bahawa sesuatu perkataan hanya benar-benar dipelajari apabila ia digunakan berulang kali dalam pelbagai konteks.

Apabila guru, ibu bapa dan teknologi berganding bahu menyediakan pengalaman bahasa yang kaya dan berterusan, kita bukan sahaja membantu murid mencapai aspirasi CEFR yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, malah melahirkan generasi yang benar-benar mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan yakin dan berkesan.