Iktibar perpaduan daripada anyaman ketupat

SYAWAL menjelang lagi.

Perayaan ini disambut seluruh umat Islam di bumi.

Meskipun perayaan ini berasaskan ajaran agama yang sama iaitu agama Islam, sambutannya berbeza-beza antara negara lantaran dipengaruhi oleh perbezaan geobudaya.

Di Malaysia, tradisi pakaian misalnya, umat Islam ghalibnya akan mengenakan baju Melayu bagi kaum lelaki dan berbaju kurung bagi kaum perempuan.

Dari sudut tradisi makanan pula, ketupat merupakan makanan utama yang akan dihidangkan pada pagi 1 Syawal.

Rata-rata penulisan ilmiah berkaitan ketupat menyatakan bahawa ketupat berasal dari perkataan Jawa.

Ia merupakan satu hidangan tradisi masyarakat pulau Jawa dan kemudiannya tersebar luas ke seluruh Asia Tenggara terutamanya Malaysia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand.

Menu tradisi ini berasaskan makanan asasi penduduk nusantara – sama ada pulut atau nasi yang dibungkus dengan daun-daun yang sinonim dengan iklim tropika, seperti daun nipah dan kelapa.

Di Malaysia dan negara-negara Nusantara terutamanya yang mempunyai penduduk majoriti Muslim, ketupat sering dijadikan makanan keraian perayaan umat Islam terutamanya ketika meraikan Aidilfitri dan Aidiladha.

Terdapat kajian yang menyatakan bahawa ketupat ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam, Sunan Kalijaga untuk Masyarakat Jawa dalam usaha mengharmonisasikan ibadat dan adat.

Lalu, ketupat telah dicipta sebagai makanan keraian dengan penerapan falsafah keagamaan.

Nama ketupat ini sebenarnya mempunyai falsafahnya yang tersendiri.

Terdapat sumber yang menyatakan bahawa perkataan ketupat berasal daripada perkataan “ngaku lepat” yang bermaksud, mengaku kesilapan.

Justeru, hidangan ketupat ini begitu selari dengan matlamat Aidilfitri untuk mengaku kesilapan, saling bermaafan dan mengeratkan silaturrahim.

Ketupat juga merupakan seni anyaman daun yang teliti dan berseni.

Proses menganyamnya memerlukan seseorang individu begitu tekun, teliti, bijak, berseni, sabar dan berhati-hati.

Sekaligus proses anyaman ini dapat memupuk nilai-nilai murni di kalangan masyarakat.

Malah, proses menganyamnya dibuat secara berkumpulan demi memupuk semangat kerjasama dan perpaduan.

Bentuk ketupat juga mempunyai nilai falsafahnya yang tersendiri.

Terdapat pelbagai jenis ketupat di Nusantara misalnya Ketupat Katan, Ketupat Glabed, Ketupat Betawi, dan Ketupat Bongko.

Namun, di Malaysia, ketupat yang terkenal adalah Ketupat Sate, Ketupat Bawang, dan Ketupat Jantung serta Ketupat Daun Palas yang lebih popular di wilayah utara Semenanjung.

Tuntasnya, bentuk-bentuk ketupat rata-ratanya berbentuk segi empat.

Empat penjuru ini mewakili empat arah iaitu Utara, Selatan, Timur dan Barat.

Bentuk ketupat ini bolehlah ditafsirnya bahawa, meskipun umat Islam berada di pelbagai penjuru dunia, mereka tetap perlu bersatu menghadap ke arah kiblat yang satu iaitu Kaabah.

Selain itu, empat penjuru ini juga membawa simbol empat jenis nafsu dalam Islam iaitu nafsu ammarah, nafsu lawwamah, nasfu mutmainnah dan nafsu mulhamah.

Justeru, ketupat ini perlu dianyam teliti, rapat dan rapi supaya nafsu ini tidak melimpah keluar dari kelongsongnya.

Kita lihat pula apakah falsafah di sebalik pemilihan daun ketupat.

Daun kelapa muda merupakan daun yang dipilih untuk mengayam ketupat kerana membawa makna pucuk kehidupan yang baharu setelah kembali kepada fitrah.

Warnanya yang bertona dari hijau ke kuning berkilat menunjukkan transisi kehidupan manusia dari gelap kepada cahaya.

Hal ini kerana umat Islam telah membersihkan segala kekotoran diri sepanjang bulan Ramadan dengan mendirikan ibadat.

Maka, Aidilfitri adalah cahaya kemenangan yang hakiki.

Selain itu, nasi atau pulut pula memberi makna kemakmuran dan kekayaan kerana ini merupakan makanan asasi di Nusantara ini.

Jika kita perhati, beras yang dimasukkan ke dalam kelongsong ketupat tidak boleh diisi dengan penuh dan padat kerana akan melimpah keluar dan akan menjadi keras setelah direbus.

Perkara ini memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak tamak dalam mengejar kekayaan sehinggakan merugikan diri sendiri.

Hakikatnya, bagi memastikan ketupat enak dimakan, beras hendaklah mengikut sukatan yang berpatutan sepertimana Islam mengajar umatnya agar sentiasa wasatiyah dalam semua tindakan.

Apa yang menarik juga, beras juga akan mengingatkan umat Islam untuk menunaikan zakat fitrah berasaskan makanan ruji masyarakat tempatan.

Kekayaan yang dikecapi bukanlah semata-mata untuk diri sendiri tetapi untuk dikongsi kepada golongan fakir dan miskin sekaligus memperkasakan lagi perpaduan umat Islam tanpa mengira status ekonomi.

Perpaduan menjadi tonggak utama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran negara kerana Malaysia sebuah negara pelbagai kaum, budaya dan agama.

Melalui budaya dan agama, seharusnya pelbagai kaum di negara ini lebih saling menghormati dan meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.

Malaysia sememangnya terkenal dengan budaya tradisi yang menjurus ke arah perpaduan dan integrasi.

Anyaman ketupat atau anyaman tikar mengkuang misalnya merupakan seni kraftangan tradisi yang memberi mesej perpaduan dan bersatu hati.

Jalinan yang terhasil dari anyaman-anyaman ini begitu cantik dilihat jika dilakukan dengan sepenuh hati tanpa rasa lelah dan penat, tanpa rasa kesumat dan muslihat.

Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Madani yang bertamadun tinggi, kita perlu menganyam perpaduan kita dengan berhati-hati seperti mana kita menganyam ketupat yang berbentuk empat segi.

Setiap penjurunya mestilah mewakili empat asas perpaduan negara: Agama, Raja, Bangsa dan Bahasa.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.