Carilah bahagia dalam kerjaya

Ramai yang terlupa bahawa kerjaya sepatutnya menjadi sumber kesejahteraan hidup, bukannya punca kepada tekanan yang berpanjangan.

Feature Image (3)

Oleh: DR. LAU POH LI

DALAM masyarakat moden hari ini, kerjaya sering dikaitkan dengan kejayaan, pendapatan yang lumayan dan status sosial yang tinggi. Tidak dapat dinafikan bahawa kerjaya merupakan aspek penting dalam kehidupan kerana sebahagian besar masa harian kita dihabiskan di tempat kerja.

Namun, dalam usaha mengejar pencapaian, ramai yang terlupa bahawa kerjaya sepatutnya menjadi sumber kesejahteraan hidup, bukannya punca kepada tekanan yang berpanjangan.

Budaya kerja yang semakin kompetitif dan pantas menyebabkan ramai pekerja sentiasa berada dalam keadaan “sibuk”. Tarikh akhir yang perlu dipenuhi, sasaran kerja yang semakin meningkat dan tuntutan untuk sentiasa produktif mewujudkan satu perlumbaan yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Dalam kesibukan ini, kita jarang berhenti untuk bertanya kepada diri sendiri. Adakah kerjaya yang saya jalani hari ini benar-benar membawa kebahagiaan dan kesejahteraan atau adakah ia sedang menghakis kesihatan mental saya secara perlahan-lahan?

Sebagai seorang pensyarah dan kaunselor kerjaya, saya sering mendengar pelbagai kisah daripada individu yang datang mendapatkan bantuan. Ada yang berasa bangga dengan kerjaya mereka dan melihat kerjaya sebagai sebahagian daripada identiti diri.

Namun, tidak kurang juga yang berasa terperangkap dalam kerjaya yang menawarkan ganjaran kewangan yang baik tetapi tidak lagi memberi kepuasan atau makna. Ada yang mengalami keletihan emosi walaupun kelihatan berjaya dalam kerjaya.

Mengapa kita perlu bekerja?

Ramai beranggapan bahawa tujuan utama bekerja adalah untuk memperoleh pendapatan. Walaupun faktor kewangan sememangnya penting, hakikatnya pekerjaan memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam kehidupan manusia.

Menurut perspektif Psychology of Working yang diperkenalkan oleh David Blustein, pekerjaan yang bermakna berpotensi memenuhi tiga keperluan asas manusia, iaitu kelangsungan hidup, keterhubungan dan penentuan kendiri.

1. Kelangsungan hidup (Survival)

Keperluan paling asas yang dipenuhi melalui kerjaya ialah kelangsungan hidup. Kerjaya menyediakan sumber kewangan yang membolehkan individu mendapatkan makanan, tempat tinggal, pakaian, pendidikan dan keperluan asas yang lain. Tanpa sumber pendapatan yang mencukupi, seseorang mungkin berhadapan dengan pelbagai tekanan yang boleh menjejaskan kesejahteraan emosi dan psikologi.

Oleh sebab itu, kehilangan pekerjaan sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kemurungan, kebimbangan dan penurunan kesejahteraan hidup. Kerjaya bukan sekadar sumber pendapatan tetapi juga sumber kestabilan dan keselamatan dalam kehidupan.

2. Keterhubungan (Relatedness)

Manusia ialah makhluk sosial yang memerlukan hubungan dengan orang lain. Tempat kerja menyediakan ruang untuk individu berinteraksi, bekerjasama dan membina hubungan sosial yang bermakna. Melalui kerjaya, seseorang bukan sahaja menjadi sebahagian daripada organisasi, malah turut merasakan dirinya terhubung dengan masyarakat yang lebih luas. Hubungan yang positif di tempat kerja boleh menjadi sumber sokongan emosi yang penting, terutamanya ketika berhadapan dengan cabaran hidup.

3. Penentuan kendiri (Self-determination)

Kerjaya juga memberi peluang kepada individu untuk mengembangkan potensi diri. Melalui kerja, seseorang dapat menggunakan kemahiran yang dimiliki, membuat keputusan, mencapai matlamat dan menyumbang kepada organisasi atau masyarakat.

Apabila individu merasakan mereka mempunyai autonomi dan kawalan terhadap pekerjaan yang dilakukan, mereka lebih cenderung untuk mengalami kepuasan kerja dan kesejahteraan hidup yang lebih tinggi. Perasaan bahawa kehidupan dan kerjaya berada dalam kawalan sendiri merupakan aspek penting dalam membentuk rasa makna dan tujuan hidup.

Apabila impian bertemu realiti

Walaupun kerjaya berpotensi memenuhi pelbagai keperluan psikologi, realiti dunia pekerjaan tidak selalunya seindah yang diharapkan. Ramai individu memasuki alam pekerjaan dengan impian untuk membina kerjaya yang bermakna dan memuaskan. Namun, apabila berhadapan dengan tekanan kerja yang tinggi, autonomi yang terhad dan tuntutan organisasi yang berlebihan, impian tersebut boleh bertukar menjadi sumber tekanan.

Kajian dalam bidang psikologi kesihatan pekerjaan menunjukkan bahawa tekanan kerja yang kronik boleh membawa kepada pelbagai kesan negatif, termasuk keletihan melampau (burnout), masalah kesihatan fizikal, kebimbangan dan kemurungan. Perubahan dunia pekerjaan yang semakin pesat, ketidaktentuan ekonomi serta perkembangan teknologi yang pantas turut meningkatkan perasaan tidak selamat dalam kalangan pekerja.

Selain itu, isu persekitaran kerja yang toksik semakin mendapat perhatian. Beban tugas yang berlebihan, budaya kerja yang tidak sihat, komunikasi yang lemah serta kepimpinan yang kurang menyokong boleh memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental pekerja. Dalam jangka panjang, tekanan yang berterusan boleh menjejaskan motivasi, produktiviti dan kualiti hidup seseorang.

Menilai semula makna kejayaan

Pada akhirnya, persoalan yang perlu kita renungkan ialah, apakah sebenarnya makna kejayaan?

Dalam masyarakat hari ini, kejayaan sering diukur melalui jumlah pendapatan, pangkat atau pencapaian profesional. Namun, ukuran tersebut tidak semestinya menggambarkan kesejahteraan hidup seseorang. Seseorang mungkin mempunyai jawatan yang tinggi dan pendapatan yang lumayan, tetapi pada masa yang sama bergelut dengan tekanan, keletihan emosi dan kehilangan makna dalam kehidupan.

Kerjaya yang baik bukan hanya sekadar memberi ganjaran kewangan tetapi juga membolehkan seseorang berkembang sebagai individu, membina hubungan yang bermakna dan mengekalkan kesihatan mental yang baik. Kejayaan yang sebenar adalah apabila seseorang dapat mencapai keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan kesejahteraan diri.

Oleh itu, sudah tiba masanya kita menilai semula definisi kejayaan yang sering dipegang oleh masyarakat. Kejayaan yang hakiki bukan hanyalah apabila kita memiliki jawatan tertinggi atau pendapatan besar tetapi apabila kita mampu menjalani kehidupan yang bermakna, sihat dan sejahtera.

Sesungguhnya, kesejahteraan diri bukanlah sesuatu yang perlu dikorbankan demi kerjaya, sebaliknya ianya merupakan asas penting yang membolehkan seseorang mencapai kejayaan kerjaya dan kebahagiaan hidup yang berkekalan.

* Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.