USM guna seni buka perspektif baharu kesihatan

Physicality of the Unseen menterjemah konsep-konsep saintifik kepada pengalaman visual yang mampu mendekatkan masyarakat kepada dunia penyelidikan, kesihatan dan tubuh manusia.

Feature Image (1)

Oleh: DR. SHAFINAH AHMAD SUHAIMI

KUALA LUMPUR, 30 Julai 2026 – Pameran Physicality of the Unseen, Fine Arts Showcase 2026 yang dianjurkan oleh Sekolah Seni (SOTA), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya melangkaui batas antara seni dan sains.

Berlangsung dari 26 Jun hingga 14 Ogos 2026 di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), pameran ini menampilkan karya 30 pelajar tahun akhir yang mengangkat fenomena biologi, kesihatan dan perubatan sebagai inspirasi untuk menghasilkan karya seni kontemporari.

Lebih daripada sekadar sebuah pameran seni, Physicality of the Unseen menterjemah konsep-konsep saintifik kepada pengalaman visual yang mampu mendekatkan masyarakat kepada dunia penyelidikan, kesihatan dan tubuh manusia. Bertemakan potret patologi, sistem kehidupan, keadaan psikologi dan penyembuhan, setiap karya mengajak pengunjung melihat sains daripada sudut yang lebih dekat, manusiawi dan menyentuh emosi.

Keunikan pameran tahun ini turut diperkukuh melalui kolaborasi antara Sekolah Seni (SOTA) dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia. Di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Siti Rohaya Yahaya selaku penasihat program RINTIS, pameran graduasi tahunan pelajar tahun akhir SOTA USM, serta melalui penyelarasan jaringan oleh Dr. Siti Hawa Ngalim dari PKTAAB, para pelajar berpeluang berinteraksi secara langsung dengan doktor, saintis dan penyelidik bagi memperkukuh pemahaman terhadap tema bioperubatan yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam karya seni kreatif mereka.

Sepanjang pameran, pengunjung disajikan dengan pelbagai karya yang diinspirasikan daripada topik kesihatan seperti endometriosis, sistem imun, parasitisme, mutasi sel, kanser, kesihatan mental, teknologi perubatan, penyembuhan, rangkaian biologi serta hubungan antara manusia dan teknologi.

Setiap karya bukan sahaja memaparkan aspek penyakit dari sudut klinikal, malah mengangkat kisah ketabahan, harapan dan pengalaman manusia yang sering tidak kelihatan di sebalik penyakit tersebut.

Bagi pelajar tahun akhir Seni Halus, Akalili Najihah Abd Halim, tema Art × Science membuka ruang untuk beliau meneroka pendekatan yang sejajar dengan minat beliau.

“Saya sangat teruja kerana saya memang lebih cenderung kepada seni arca dan instalasi berbanding seni tradisional. Jadi, saya gembira apabila tema Art × Science dipilih kerana ia benar-benar memberi ruang untuk saya meneroka pendekatan yang saya minati,” katanya.

Membesar di Selangor dan sering melihat penghasilan arca serta instalasi berskala besar sejak kecil turut memberi inspirasi kepada beliau dalam menghasilkan karya. Beliau berharap pameran ini mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap seni.

“Saya berharap masyarakat akan melihat seni bukan sekadar sebagai karya yang indah, tetapi sebagai medium yang membawa ilmu, pengalaman, dan mesej yang ingin disampaikan oleh artis”.

Kolaborasi ini menyerlahkan potensi Art x Science sebagai pendekatan yang semakin penting dalam komunikasi sains. Melalui kerjasama antara saintis, artis dan pelajar, ilmu yang lazimnya hanya dikongsi melalui jurnal penyelidikan atau makmal berjaya diterjemahkan menjadi pengalaman visual yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu, empati dan perbincangan dalam kalangan masyarakat.

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian PKTAAB, Profesor Madya Dr. Noor Khairiah A Karim, penglibatan dalam projek ini memberikan perspektif baharu tentang bagaimana setiap disiplin mampu menyumbang kepada usaha memperkasakan kesedaran kesihatan masyarakat.

“Pengalaman ini akan sentiasa menjadi kenangan bermakna yang mengingatkan saya bahawa setiap profesion mempunyai peranan dalam mempromosikan kesihatan, bukan sahaja melalui rawatan, tetapi juga melalui advokasi, pendidikan dan ekspresi kreatif”.

Pameran ini turut meninggalkan kesan mendalam kepada para pengunjung yang hadir, termasuk pelajar dan pencinta seni, yang masing-masing membawa pulang perspektif tersendiri mengenai hubungan antara seni, sains dan kemanusiaan.

Bagi pelajar antarabangsa di PKTAAB, Wennie Ren Wantong, beliau kelihatan teruja ketika mengimbas kembali pengalamannya sewaktu melawat pameran tersebut.

“Karya torso perubatan itu benar-benar memberi kesan yang mendalam kepada saya. Reka bentuk torso tanpa jantung itu jelas memaparkan betapa beratnya beban yang ditanggung oleh seseorang akibat penyakit jangka panjang. Saya sangat menyukai pameran tersebut dan menimba pengalaman yang menarik saat dapat menelusuri semua karya seni”.

Menurut pelajar antarabangsa dari Jordan, Inas Tayseer, lawatan tersebut memberi inspirasi dan meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepadanya secara peribadi.

“Kunjungan ke pameran tersebut merupakan satu pengalaman yang unik buat saya, lebih-lebih lagi dengan latar belakang saya dalam bidang perubatan. Saya cukup tertarik dengan pembentangan oleh seorang pelajar mengenai projek pengekstrakan gen daripada haiwan,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai pameran kegemarannya, Inas berkata, “Pameran yang paling saya minati ialah paparan tempurung kelapa yang diisi dengan pelbagai rempah-ratus dan kekacang yang digunakan dalam perubatan tradisional Ayurveda. Tempurung berserta rempah-ratus ini benar-benar menggamit kenangan di dapur ibu saya”.

Keunikan pameran ini turut mendapat perhatian seorang pengumpul karya seni tempatan yang menyifatkan institusi tersebut telah berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam landskap seni negara.

“Sebagai pusat pengajian seni tertua di Malaysia di dalam institusi universiti awam, SOTA telah menyerlahkan identiti yang tersendiri menerusi tema Seni × Sains,” jelas Lee Khai ketika ditemui pada majlis pameran tersebut.

Beliau turut memuji kualiti karya yang dipamerkan, sambil menambah, “Pendekatan ini menggalakkan para graduan menghasilkan karya yang melangkaui sempadan pelbagai disiplin, di samping mencerminkan kesalinghubungan yang erat antara kreativiti, inovasi, dan penemuan”.

Melalui Physicality of the Unseen, proses biologi yang lazimnya tersembunyi di dalam tubuh manusia berjaya diterjemahkan menjadi pengalaman visual yang menggalakkan masyarakat berfikir, bertanya dan memahami kesihatan daripada sudut yang lebih luas.

Pameran ini membuktikan bahawa apabila seni dan sains bergabung, bukan sahaja lahir karya yang indah, malah terhasil satu medium baharu untuk menyampaikan ilmu, membina empati dan mendekatkan penyelidikan kepada masyarakat.

Selaras dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi rentas disiplin, kolaborasi ini membuktikan bahawa kreativiti dan penemuan saintifik bukanlah dua dunia yang berasingan.

Sebaliknya, kedua-duanya saling melengkapi dalam usaha memperkasa pendidikan, meningkatkan literasi kesihatan, dan membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, berempati dan menghargai nilai kemanusiaan.

* Penulis merupakan merupakan seorang Pensyarah Universiti di Jabatan Sains Bioperubatan, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.