Adakah tinggalkan mazhab, ikut hadis jalan paling selamat?
Benarkah meninggalkan mazhab itu tanda kemajuan beragama atau sebenarnya satu langkah yang boleh mengundang kekeliruan?.

SEJAK kebelakangan ini, saya perhatikan satu slogan semakin kerap diulang-ulang di media sosial:
“Kita ikut hadis, jangan ikut mazhab.” Bunyinya memang sedap. Siapa yang tidak mahu ikut Nabi SAW secara terus? Malah sesiapa yang mempertikaikan slogan ini sering dilabel sebagai jumud, taksub mazhab atau takut kepada kebenaran.
Namun persoalannya, benarkah meninggalkan mazhab itu tanda kemajuan beragama atau sebenarnya satu langkah yang boleh mengundang kekeliruan?.
Hadis Itu Suci Tetapi Bukan Semua Orang Tahu Cara Menggunakannya
Sesetengah pihak menyangka fiqh mazhab hanyalah hasil pendapat manusia yang kononnya menghalang kita daripada terus mengikut hadis. Hakikatnya, gambaran ini sangat tidak tepat dan teramat naif. Bagaimana kita terus mengikut hadis sedangkan kita tidak pernah berjumpa dengan Nabi S.A.W., para Sahabat dan Tabi’in.
Saya selalu gunakan perumpamaan mudah iaitu hadis itu seperti daging mentah. Walaupun ia halal dan suci, daging mentah tidak terus boleh dimakan. Ia perlu diproses, dimasak dan disediakan oleh orang yang tahu caranya. Jika tidak, ia boleh memudaratkan kesihatan badan.
Begitulah hadis, ia adalah wahyu tetapi bukan hukum siap guna. Untuk mengamalkannya dengan betul dan terarah, hadis perlu:
1. difahami konteksnya
2. dihimpunkan dengan hadis lain
3. ditimbang dengan al-Quran
4. dibandingkan dengan amalan para Sahabat
5. dianalisis melalui kaedah usul fiqh
6. dinilai melalui kaedah maqasid syariah
Semua ini bukan kerja orang awam tetapi tugas para imam mujtahid. Mazhab bukan penghalang sunnah tetapi hasil ijtihad besar para ulama untuk memelihara sunnah daripada disalahfahami dan diselewengkan sesuka hati oleh golongan yang tidak berkelayakan.
Mazhab Tidak Menolak Hadis, Mazhab Menapis Hadis
Ada yang berkata, “Mazhab ini tak ikut hadis, dalam isu ini tolak mazhab ini sebab berlawanan dengan hadis.” Sebenarnya tiada satu pun mazhab muktabar yang menolak hadis Nabi S.A.W. Yang ada hanyalah perbezaan kaedah dalam menerima dan menilai hadis.
Sebagai contoh, dalam isu hadis mursal, ada imam mazhab yang menerimanya jika perawinya dipercayai. Ada yang mensyaratkan sokongan riwayat lain. Ada pula yang lebih cenderung kepada hadis walaupun mursal berbanding menggunakan akal semata-mata.
Begitu juga dalam hadis ahad, ada mazhab yang melihat hujah pada riwayat. Ada yang menilai amalan penduduk Madinah lebih diutamakan. Ada pula yang melihat sama ada perawi sendiri beramal dengan hadis tersebut atau tidak.
Perbezaan ini bukan kerana emosi tetapi kerana disiplin ilmu yang sangat halus dan teliti. Dari sinilah lahir perbezaan hukum fiqh yang kita kenal hari ini.
Isu Qunut Subuh: Contoh Khilaf yang Selalu Disalahgunakan
Isu qunut Subuh sering dijadikan medan untuk menghukum orang lain. Ada yang melabelnya sebagai bid‘ah, seolah-olah satu dosa besar sehingga perlu dihentikan amalan tersebut di Malaysia! Ada yang menyangka diri ‘terpaling sunnah’ dengan meninggalkan qunut subuh.
Hakikatnya, qunut subuh adalah isu khilaf lama. Ada ulama yang mensunatkannya berdasarkan hadis dan amalan Sahabat. Ada ulama yang tidak melakukannya secara tetap berdasarkan hadis lain. Ada yang meninggalkannya terus berdasarkan hadis yang difahami mereka. Mereka semuanya beramal dengan hadis. Cuma cara menilai dan menguatkan hadis berbeza.
Masalah timbul apabila khilaf ini dibawa kepada masyarakat awam tanpa adab dan akhlak murni, lalu masing-masing mengaku ‘paling sunnah’ dan yang lain dianggap ‘kurang sunnah’ atau ‘tersesat dalam taasub mazhab’. Natijahnya masyarakat bercakaran dan kebingungan, pendapat siapa yang benar atau salah?.
Masalah Sebenar: Siapa yang Layak Terus ‘Ambil Hadis?’
Masalah sebenar bukan pada hadis atau mazhab tetapi pada siapa yang membaca dan menafsirkannya. Orang awam yang terus mengambil hadis hukum tanpa asas usul fiqh dan ‘dipagari’ maqasid syariah sebenarnya sedang berjalan di kawasan berbahaya.
Sebab itu para ulama terdahulu sangat tegas. Sufyan bin ‘Uyaynah ra. guru Imam Syafie pernah berkata: “Hadis boleh menyesatkan kecuali bagi para fuqaha.” Kata-kata ini bukan merendahkan hadis tetapi mengangkat kepentingan kefahaman yang betul.
Mazhab Bukan Penjara Tetapi Pelindung
Mazhab bukan penjara sunnah. Mazhab ialah peta jalan untuk mengamalkan sunnah dengan selamat. Di Malaysia, mazhab Syafi‘i menjadi asas penyatuan umat bukan kerana ia paling benar secara mutlak tetapi kerana ia membina keseragaman, kestabilan dan disiplin beragama.
Orang awam tidak disuruh memilih hukum ikut selera tetapi dibimbing melalui satu sistem yang telah teruji ratusan tahun, fiqh dan aqidahnya tetap utuh walau dicabar oleh pelbagai aliran asing lain.
Jangan Gopoh Atas Nama Sunnah
Mengaku mahu ikut hadis itu mudah. Namun mengikut hadis tanpa ilmu adalah lebih berbahaya daripada tidak mengikutnya langsung. Apabila berlaku pertembungan antara kefahaman zahir terhadap hadis dengan hukum fiqh mazhab yang telah kukuh, utamakanlah fiqh.
Bukan kerana kita meninggalkan Nabi S.A.W. tetapi kerana kita menghormati orang yang lebih faham maksud sabda Baginda. “Ingatlah Sunnah tidak pernah bermusuhan dengan mazhab. Yang bermasalah ialah slogan kosong tanpa ilmu.” Wa Allah a’lam.

