Merpati bandar bukti adaptasi biologi dan kegagalan pengurusan manusia

Merpati merupakan antara burung yang memiliki keupayaan luar biasa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran buatan manusia.

Feature Image (7)

Oleh NURHIZUANI ABDUL MANAF dan HASMAHZAITI OMAR

DI kebanyakan bandar moden, merpati sering hadir sebagai latar belakang kehidupan harian yang jarang diberi perhatian. Burung ini berlegar di dataran awam, stesen pengangkutan, kawasan perniagaan dan bangunan tinggi, berkongsi ruang yang sama dengan manusia.

Namun, kehadirannya lebih kerap dianggap sebagai gangguan yang dikaitkan dengan kekotoran, penyakit dan kesesakan. Persepsi ini mendedahkan satu hakikat penting dalam landskap bandar iaitu konflik antara manusia dan hidupan liar sering berpunca bukan kerana haiwan itu membawa masalah tetapi kerana manusia gagal mengurus persekitaran dengan bijaksana, ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Dari sudut biologi, merpati merupakan antara burung yang memiliki keupayaan luar biasa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran buatan manusia. Salah satu ciri paling menonjol ialah keupayaan navigasinya.

Merpati tergolong sebagai homing pigeon iaitu burung yang mampu kembali ke sarangnya walaupun dilepaskan dari lokasi yang jauh dan tidak dikenali. Keupayaan ini bukan satu kebolehan tunggal, sebaliknya hasil gabungan pelbagai mekanisme seperti penggunaan petunjuk visual, kedudukan matahari, deria bau dan pengesanan medan magnet bumi.

Kecekapan sistem navigasi ini menjadikan merpati antara spesies burung yang paling banyak dikaji dalam bidang biologi tingkah laku dan kognisi haiwan.

Selain itu, struktur sosial merpati turut mencerminkan tahap organisasi yang tinggi. Merpati lazimnya membentuk pasangan monogami jangka panjang dan berkongsi peranan dalam pembiakan serta penjagaan anak. Kedua-dua induk terlibat secara aktif, termasuk menghasilkan ‘susu tembolok’ iaitu rembesan khas yang membekalkan nutrien penting kepada anak.

Tingkah laku ini bukan sahaja menunjukkan kerjasama yang kuat, malah mencabar tanggapan umum bahawa merpati ialah burung yang ‘tidak bernilai’ atau ‘tidak penting’. Namun begitu, ciri-ciri biologi yang menarik ini sering tenggelam akibat fokus berlebihan terhadap masalah yang timbul daripada populasi merpati di bandar.

Dalam konteks ekologi bandar, kejayaan merpati menyesuaikan diri sebenarnya mencerminkan perubahan besar yang dilakukan manusia terhadap landskap semula jadi. Habitat asal merpati yang terdiri daripada kawasan berbatu dan tebing tinggi kini digantikan oleh bangunan konkrit, jambatan dan struktur bertingkat.

Dari perspektif burung tersebut, bandar menyediakan keadaan yang hampir menyerupai habitat asal, ditambah pula dengan sumber makanan yang melimpah. Keadaan ini menjadikan bandar satu persekitaran yang sangat sesuai untuk kelangsungan hidup dan pembiakan merpati.

Walau bagaimanapun, kejayaan adaptasi ini menimbulkan persoalan penting berkaitan pengurusan hidupan liar bandar. Populasi merpati yang tinggi sering dikaitkan dengan masalah kebersihan dan kebimbangan kesihatan awam.

Merpati diketahui boleh menjadi perumah kepada beberapa patogen, termasuk yang menyebabkan psittacosis, histoplasmosis dan cryptococcosis. Penyakit-penyakit ini lazimnya tidak merebak melalui sentuhan langsung tetapi melalui penyedutan habuk yang tercemar dengan najis merpati kering.

Oleh itu, risiko sebenar lebih berkait rapat dengan tahap kebersihan persekitaran dan pengurusan bandar yang lemah, berbanding kewujudan merpati itu sendiri. Persepsi bahawa merpati semata-mata ‘pembawa penyakit’ sering dibesar-besarkan tanpa memahami konteks saintifik sebenar.

Sikap manusia di bandar turut memainkan peranan besar dalam memperburuk keadaan ini. Amalan memberi makan merpati di kawasan awam sering dilakukan atas dasar simpati, hiburan atau kebiasaan budaya. Namun, dari sudut ekologi, perbuatan ini memberi kesan negatif dalam jangka panjang.

Pemberian makanan secara berterusan menggalakkan pembiakan berlebihan, meningkatkan kebergantungan merpati kepada manusia serta mengubah corak tingkah laku semula jadi mereka. Lebih membimbangkan, sisa makanan yang tertinggal boleh menarik perosak lain seperti tikus, sekali gus mewujudkan rantaian masalah kesihatan dan kebersihan di bandar.

Dalam hal ini, konflik antara manusia dan merpati sebenarnya berpunca daripada tindakan manusia sendiri yang tidak berasaskan pengetahuan saintifik.

Merpati mempunyai makna simbolik yang penting dalam budaya manusia. Dalam banyak tradisi, merpati melambangkan keamanan, kesetiaan dan harapan. Hal ini menunjukkan bahawa hubungan manusia dengan merpati bukan hanya untuk kegunaan praktikal tetapi juga melibatkan nilai emosi dan budaya.

Namun, dalam kehidupan bandar moden, makna simbolik ini sering bertentangan dengan realiti, apabila merpati dianggap sebagai masalah yang perlu dikawal atau disingkirkan. Keadaan ini menunjukkan perlunya pendekatan yang lebih matang dan beretika dalam pengurusan hidupan liar di kawasan bandar.

Pendekatan pengurusan yang berkesan tidak seharusnya tertumpu kepada langkah drastik seperti pembasmian, sebaliknya perlu menekankan pendidikan awam, pengurusan sisa makanan yang sistematik, reka bentuk bandar yang mengurangkan peluang pembiakan berlebihan serta pemantauan populasi secara berterusan.

Pendekatan berasaskan sains ini bukan sahaja lebih berkesan, malah mencerminkan tanggungjawab manusia sebagai spesies dominan dalam ekosistem bandar.

Akhir kata, merpati bukan sekadar burung biasa yang menghuni bandar tetapi satu cerminan jelas hubungan antara pembangunan manusia, kesihatan awam dan alam sekitar.

Keupayaan biologi yang unik dan kebolehan adaptasi yang tinggi menjadikan merpati spesies penting untuk difahami, bukan dimusuhi secara membuta tuli.

Dengan pengurusan yang lebih berpengetahuan dan sikap manusia yang bertanggungjawab, kewujudan merpati boleh dilihat bukan sebagai masalah semata-mata, tetapi sebagai peluang untuk menilai semula cara manusia berinteraksi dengan hidupan liar dalam dunia bandar yang semakin kompleks.

* Nurhizuani Abdul Manaf ialah Pegawai Sains di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya manakala Profesor Madya Dr Hasmahzaiti Omar ialah Pensyarah di Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.