Mengapa wakaf perlu selari dengan realiti ekonomi semasa

Wakaf masih difahami secara tradisional yang sering dikaitkan dengan masjid, sekolah agama atau tanah perkuburan.

Feature Image (3)

PELANCARAN sebuah stesen minyak di atas tanah wakaf di Sungai Merab, Bangi, Selangor baru-baru ini telah membuka lembaran baharu tentang peranan wakaf di Malaysia.

Pada hemat penulis, pendekatan ini mencerminkan satu anjakan paradigma seputar cara wakaf berfungsi dalam realiti ekonomi semasa. Terletak di laluan utama dengan aliran trafik yang konsisten serta dikelilingi kawasan kediaman yang sedang berkembang pesat, aset wakaf ini ‘hidup’ secara langsung dalam denyut nadi ekonomi seharian masyarakat, bukan lagi sekadar melukut di tepi gantang.

Kedudukan ini signifikan kerana wakaf masih difahami secara tradisional yang sering dikaitkan dengan masjid, sekolah agama atau tanah perkuburan. Walaupun tanggapan tersebut tidak salah, pendekatan sedemikian menyempitkan peranan wakaf kepada ruang ibadah, terpisah daripada kegiatan ekonomi dan penjanaan nilai secara produktif.

Hakikatnya, kos lepas (opportunity cost) daripada cara fikir ini adalah nyata dan boleh diukur. Data Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) menunjukkan bahawa setakat tahun 2023, tanah wakaf seluas 2,415 hektar masih belum dimanfaatkan (12% daripada keseluruhan tanah wakaf berdaftar).

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, Hospital Pasir Gudang yang bakal beroperasi sepenuhnya pada Julai tahun ini dibina di atas tanah seluas 20.6 hektar. Makna kata, keluasan tanah wakaf yang terbiar di seluruh negara adalah bersamaan dengan lebih 100 hospital berskala sama.

Perbandingan sebegini menggambarkan skala potensi yang masih belum diteroka, khususnya ketika negara berdepan peningkatan kos sara hidup, penuaan penduduk serta keperluan sosial dan penjagaan yang semakin mendesak. Dalam konteks kapasiti terpendam inilah projek stesen minyak di Sungai Merab wajar dinilai bukan sebagai sesuatu yang luar biasa, tetapi sebagai usaha untuk mengarusperdanakan wakaf dalam aktiviti ekonomi seharian.

Menjadikan wakaf sebahagian daripada ekonomi

Stesen minyak berkenaan dibangunkan di atas tanah wakaf yang kekal di bawah amanah Majlis Agama Islam Selangor, dengan pembangunan serta pengurusan aset dilaksanakan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

Operasinya pula dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat minyak melalui model ‘dealer-owned, dealer-operated’. Perincian mengenai operasi ini penting untuk difahami oleh masyarakat. Walaupun tanah tersebut kekal sebagai aset wakaf, institusi wakaf (PWS) tidak terlibat secara langsung dalam urusan jual beli minyak atau pengurusan kakitangan runcit.

Sebaliknya, operasi harian seperti jualan dan pematuhan peraturan dan standard keselamatan dikendalikan oleh pengendali profesional. Pendekatan ini membolehkan penjanaan pendapatan daripada penggunaan tanah wakaf tanpa menanggung risiko operasi perniagaan secara langsung.

Hasil yang dijana digunakan terlebih dahulu untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan kemudahan manakala lebihan hasil dikitar semula untuk penyelenggaraan dan pembangunan aset wakaf, dengan 50 peratus daripadanya diperuntukkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar, selaras dengan niat asal pewakaf tanah, Allahyarham Haji Mat Saman. Secara ringkasnya, tanah wakaf kekal terpelihara tanpa dijual.

Daripada kebajikan pasif kepada aset yang berkembang

Dalam kerangka yang lebih luas, pendekatan ini membezakan wakaf daripada amalan kebajikan tradisional dengan penekanan kepada kesinambungan manfaat. Tidak seperti sedekah yang bersifat sekali beri (one-off), lebihan hasil daripada aset wakaf produktif boleh dilaburkan semula melalui penyelenggaraan dan penaiktarafan aset. Melalui pendekatan ini, wakaf berkembang daripada sumber agihan kepada aset yang lebih berdaya tahan.

Gagasan bahawa wakaf boleh berkembang secara aktif masih kurang menonjol dalam wacana awam, dengan wakaf sering difahami sebagai sesuatu yang perlu dipelihara, bukan dimajukan. Walau bagaimanapun, kefahaman sedemikian bercanggah dengan roh asal wakaf sebagai sumber manfaat yang berterusan.

Kekekalan wakaf dicapai bukan dengan membiarkan asetnya statik tetapi dengan memastikan aset tersebut terus relevan dan berfungsi dalam realiti masyarakat yang sentiasa berubah. Justeru, dalam konteks stesen minyak di Sungai Merab, prinsip ini diterjemahkan melalui sumbangan tetap kepada Masjid Sungai Ramal Luar serta pengukuhan ekosistem wakaf secara keseluruhan.

Wakaf dan ekonomi penjagaan

Cara fikir yang mengehadkan wakaf kepada ruang lingkup ibadah turut membentuk cara masyarakat melihat isu penjagaan sosial dengan penjagaan warga emas dan sokongan jangka panjang lazimnya dianggap sebagai tanggungjawab keluarga atau kewajipan negara.

Dalam kerangka pemikiran sebegini, peranan wakaf jarang diketengahkan. Hakikatnya, Malaysia sedang bergerak pantas ke arah masyarakat menua dengan peningkatan jangka hayat, perubahan struktur keluarga dan tekanan kos penjagaan menjadikan ekonomi penjagaan satu keperluan nasional yang semakin mendesak.

Dalam landskap ini, wakaf mempunyai potensi untuk memainkan peranan yang lebih signifikan. Inisiatif penjagaan warga emas yang dilaksanakan oleh Wakaf Pulau Pinang memberikan gambaran awal bagaimana wakaf boleh dimanfaatkan bagi menyediakan penjagaan yang sistematik, bermaruah dan berterusan.

Walaupun kemudahan sedemikian tidak menyerupai masjid, matlamat asasnya tetap sama iaitu memberikan manfaat awam secara berpanjangan. Apabila disokong oleh pendapatan daripada aset wakaf produktif, kemudahan penjagaan boleh beroperasi secara mampan dengan perancangan jangka panjang dan tahap perkhidmatan yang lebih stabil.

Pendekatan ini meletakkan wakaf sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi penjagaan dan ekonomi perak (silver economy), bukan sekadar sebagai sumber bantuan sampingan.

Ke arah perubahan persepsi

Dalam imaginasi awam, pembinaan negara sering dikaitkan dengan projek infrastruktur besar, dasar kerajaan atau pelaburan swasta berskala tinggi dengan wakaf jarang dilibatkan dalam kerangka pemikiran ini. Namun, wakaf produktif menawarkan satu bentuk sumbangan yang berbeza, lebih ‘senyap’ tetapi tidak kurang pentingnya.

Pendapatan daripada aset wakaf boleh menyokong penyediaan perkhidmatan sosial tanpa kebergantungan berterusan kepada dana awam, mengurangkan tekanan terhadap keluarga dan sistem kesihatan serta membuka peluang pekerjaan melalui latihan penjaga dalam sektor ekonomi perak agar berkembang seiring perubahan demografi negara.

Dalam konteks ini, stesen minyak di atas tanah wakaf menyumbang secara tidak langsung melalui lebihan kewangan yang dijana, manakala kemudahan penjagaan warga emas menyumbang secara langsung dengan memenuhi keperluan sosial yang nyata.

Gabungan kedua-duanya menunjukkan bahawa wakaf mampu berfungsi sebagai sebahagian daripada ekosistem pembinaan negara, walaupun sering tidak disedari.

Perlahan-lahan, cara wakaf difahami akan berubah. Projek di Sungai Merab dan inisiatif penjagaan warga emas di Pulau Pinang mungkin tidak mengubah tanggapan tradisional dalam masa singkat. Kendatipun, perubahan tersebut telah bermula, dan mudah-mudahan proses islah ini akan terus berpanjangan.