Program televisyen menyajikan pengajaran dan didikan

Kebanyakan program yang diatur sememangnya mengharapkan suatu kesepaduan dalam memaknakan sebuah kehidupan.

Feature Image (1)

PERBINCANGAN ini dimulakan dengan menyentuh pelbagai susunan program pengisian di kaca televisyen sepanjang Ramadan yang berterusan hingga sambutan hari raya dan masih lagi dirasai hingga hari ini. Banyak program tersedia yang menyentuh perihal kehidupan manusia yang relevan dan dekat dengan hati masyarakat secara keseluruhannya.

Bermula dengan program persiapan Ramadan, ketika menjalani ibadah puasa dan sehingga menjelangnya hari raya. Secara tepat, pihak televisyen telah memberi yang secukupnya kepada masyarakat dalam menyelami kehendak dan keperluan individu.

Kesemuanya diadun dengan menarik dan sarat dengan elemen pengajaran, nasihat, saranan kehidupan dan pelbagai lagi yang diselitkan secara terancang dalam mendepani cabaran dan pengisian jiwa. Program-program seperti rancangan majalah, dokumentari, bual bicara, forum, iklan raya, muzik, video pendek, drama dan juga telefilem dititip dengan kecenderungan dalam menjelmakan suasana Ramadan dan sambutan hari raya agar dapat dinikmati oleh masyarakat.

Hakikatnya, program-program yang dipersiapkan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai sumber pemberitahuan dan pendidikan dibulan Ramadan hingga sambutan Syawal sahaja, malah ia adalah merupakan inisiatif dan langkah strategik untuk sebuah proses pembujukan dan perubahan.

Perubahan dari sudut ketajaman pemikiran, peningkatan kefahaman, kecenderungan tingkah laku dan ke arah dapatan yang lebih baik dari sebelumnya. Hal berkenaan pengajaran dan nasihat melalui program yang merungkai makna kehidupan ini adalah sesuatu yang harus diambil peduli, kesilapan silam yang perlu diperbetulkan dan kelemahan diri yang harus diperbaiki. Dengan kata lain, program yang disiarkan boleh diteladani dan harus diamalkan serta berkesesuaian disepanjang masa bagi sebuah perubahan diri ke arah yang lebih positif.

Seperti contoh pengisian program yang memupuk sifat keprihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan atau kurang bernasib baik. Program sebegini dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan menyuburkan sikap kasih sayang dan saling tolong-menolong antara sesama manusia.

Program seperti rancangan majalah, dokumentari, bual bicara dan pesanan khidmat masyarakat banyak membawa mesej tersebut dengan cita rasa dan kecenderungan yang berbeza mengikut kesesuaian penonton. Antara yang banyak dipaparkan di layar skrin yang mengungkap perihal ini adalah seperti aktiviti menyalurkan sumbangan kepada anak yatim, bantuan kepada golongan miskin, sokongan kelengkapan dan keperluan perubatan kepada yang sakit, mengunjungi rumah penjagaan warga emas dan banyak lagi aktiviti yang memperlihatkan keikhlasan untuk menyemai kesedaran serta rasa syukur dikalangan warga.

Media menerusi program yang disediakan memberi kesempatan untuk perubahan sikap dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab dan sifat prihatin melalui kewajarannya. Begitu juga dengan iklan dan video pendek raya yang banyak menyungkap naratif yang bersesuaian dengan perkembangan zaman.

Kebanyakan mesej berkisarkan kepada kisah-kisah masyarakat yang sarat dengan elemen budaya, tradisi dan amalan yang masih diwarisi ketika menunaikan ibadah puasa dan apabila menjelangnya aidilfitri.
Ini dapat menimbulkan peringatan kepada penonton khususnya generasi muda agar dapat mendalami nilai-nilai warisan dengan cara cepat dan berkesan tak kira di media massa ataupun melalui media baharu.

Bingkisannya mudah iaitu untuk mengajak dan memperkasakan amalan tradisional yang bersesuaian agar ia tidak luput ditelan masa. Warisan budaya dan adat tradisi ini perlu dipertahan dan diwarisi kepada genarasi akan datang dengan cara yang sepatutnya. Maka suatu perubahan pemikiran adalah perlu dipersiapkan kepada generasi muda dengan gaya yang menarik dan efektif dalam menghidupkan semula minat mereka.

Tanpa tertumpu kepada sambutan hari raya sahaja namun jika diamati dengan teliti, hal ini bersesuaian dimanfaatkan sepanjang masa kerana pengertiannya adalah serupa. Sikap menghargai adat dan warisan budaya Melayu seperti falsafah dan ilmu pengetahuan, tertib sopan pemakaian, lemah lembut pertuturan, halus budi pekerti dan yang utama menghidupkan identiti kebangsaan dalam tingkah dan perlakuan yang seharusnya mengakar dijiwa walau dalam zaman serba moden ini.

Tidak lupa juga perihal telefilem atau drama yang mengetengahkan isu kehidupan dan kemanusiaan seperti nilai ikatan kekeluargaan, pengorbanan ibu bapa, kemuafakatan hubungan antara adik-beradik dan kekalutan atau konflik kehidupan bermasyarakat yang mendasari sebuah naratif penceritaan. Tema yang dijelmakan mampu menciptakan suatu dimensi yang berbeza mengikut latar zaman dan sudut pandangan.

Kekuatan persembahan melalui drama atau telefilem mampu memenuhi emosi dan disampaikan dengan lantang melalui watak, dialog, situasi serta jalinan mesej yang dekat dengan nurani masyarakat. Hal ini dirasakan mampu untuk meninggalkan jejak yang teguh kepada penonton dan diilhamkan agar berupaya menggerakkan minat melalui sentuhan visual serta kreativiti yang segar.

Dengan memahami permasalahan yang dihadapi masyarakat, drama atau telefilem berkeupayaan untuk merangka perencanaan yang membangkitkan suatu kecenderungan untuk melentur jalinan antara mesej yang disampaikan dan perubahan pemikiran serta tingkah laku penonton.

Ini adalah harapan melalui karya yang disampaikan agar penonton mengambil iktibar dari setiap pengajaran dan nasihat yang diperlihatkan melaluinya. Hal ini mampu menyingkap ruang moga masyarakat berfikir tentang ketetapan bagi sesuatu perlakuan yang dipaparkan melalui drama atau telefilem.

Usaha untuk menginsafkan masyarakat harus dilakukan tanpa tewas agar perubahan tercipta di akhirnya. Melalui drama dan telefilem, penonton akan menghayati perjalanan yang menyempurnakan makna dan tahu akan keadaan sebenarnya mengikut konteks perihal kehidupan serta membuka minda dalam mendepani cabaran kehidupan akan datang. Bak kata bijak pandai, yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

Kesimpulannya, kebanyakan program yang diatur sememangnya mengharapkan suatu kesepaduan dalam memaknakan sebuah kehidupan. Bukan hanya tertumpu pada bulan Ramadan dan Syawal sahaja, malah lebih daripada itu.

Hal ini merujuk kepada realiti bahawa tiada suatu perkara pun yang akan kekal dalam keadaan asalnya di dunia ini untuk selama-lamanya selain mengharapkan kepada perubahan yang lebih baik dalam segenap penjuru kehidupan.

Umum mengetahui bahawa setiap generasi mempunyai lensa tersendiri dalam membuat penilaian terhadap program yang disediakan mengikut acuan pemikiran dan tahap kefahaman yang berbeza. Pengalaman hidup dan peralihan zaman merupakan cabaran dalam melakar minat masyarakat pada sesuatu program yang diciptakan.

Semuanya bergantung kepada individu itu sendiri dalam menyantuni kepekaan dan kebijaksanaan terhadap kandungan yang dirangka. Hanya dengan keikhlasan hati masyarakat penonton, dapat menjanjikan suatu perubahan yang membawa nilai kebaikan kepada kehidupan jika dihiaskan dengan baik dan mencantikkan dengan asas yang betul.