Wajarkah dikembalikan PdPR kerana perang di Asia Barat?

Pelaksanaan PdPR memerlukan infrastruktur yang kukuh bagi memastikan keberkesanan pembelajaran.

Feature Image (1)

KETEGANGAN geopolitik yang sedang berlaku di Asia Barat memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi global, termasuk harga minyak, rantaian bekalan dan kos operasi di dalam pelbagai sektor. Dalam keadaan yang tidak menentu ini, cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah mula dibincangkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kelangsungan Pendidikan di Malaysia.

Namun, persoalan utama ialah sama ada pendekatan ini sesuai dilaksanakan semula dengan mengambil kira pengalaman lalu serta kesan terhadap pemahaman murid, kos guru dan ibu bapa serta implikasi terhadap sektor pendidikan negara.

Pengalaman Malaysia ketika pandemik COVID-19 memberi gambaran jelas tentang cabaran PdPR. Walaupun pendekatan ini membolehkan pembelajaran diteruskan, pelbagai isu timbul seperti capaian internet tidak stabil, kekurangan peranti dan kesukaran pemantauan pembelajaran.

Kajian menunjukkan hampir 60 peratus guru menghadapi cabaran kehadiran murid semasa sesi pembelajaran dalam talian dan 67.9 peratus melaporkan murid bermasalah mengikuti kelas akibat capaian internet yang lemah. Keadaan ini menggambarkan bahawa pelaksanaan PdPR memerlukan infrastruktur yang kukuh bagi memastikan keberkesanan pembelajaran.

Walaupun akses internet dan perkhidmatan jalur lebar di Malaysia semakin menunjukkan peningkatan, ia tidak semestinya dapat menjamin keberkesanan pelaksanaan PdPR secara sepenuhnya. Statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia telah menunjukkan bahawa penggunaan internet individu mencapai sekitar 98 peratus pada tahun 2024, manakala capaian internet isi rumah pula mencapai 96.8 peratus secara keseluruhan.

Walaupun angka ini dilihat tinggi, perbezaan di antara kawasan bandar dan luar bandar masih wujud, dengan penggunaan komputer di kawasan luar bandar adalah lebih rendah berbanding bandar. Jurang ini memberi implikasi terhadap kesamarataan pendidikan apabila pembelajaran beralih sepenuhnya kepada mod dalam talian.

Selain isu infrastruktur, tahap pemahaman murid terhadap kandungan pembelajaran turut menjadi kebimbangan utama. Satu tinjauan menunjukkan 57 peratus pelajar mengakui sukar memahami kandungan pembelajaran semasa sesi dalam talian berbanding pembelajaran bersemuka.

Keadaan ini berpunca daripada interaksi terhad di antara guru dan murid, kurangnya aktiviti kolaboratif serta kesukaran guru memantau perkembangan murid secara langsung. Malah, kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mendapati lebih 51.2 peratus murid mengalami tekanan sepanjang pelaksanaan PdPR, sekali gus memberi kesan kepada motivasi dan penglibatan mereka di dalam pembelajaran.

Seterusnya, jika dilihat dari sudut pencapaian akademik, pelaksanaan PdPR berpotensi mewujudkan jurang pembelajaran yang lebih luas. Murid yang mempunyai akses kepada peranti dan sokongan keluarga yang maksimum cenderung menunjukkan prestasi yang lebih baik, manakala murid daripada keluarga kurang berkemampuan berisiko besar terhadap keciciran. Penyelidikan mengenai ketidaksamaan digital juga menegaskan bahawa pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah menghadapi cabaran lebih besar dalam pembelajaran jarak jauh, sekali gus menjejaskan pencapaian akademik mereka.

Walaupun terdapat cabaran pembelajaran, PdPR turut dilihat mempunyai kelebihan dari aspek kos perjalanan. Pelaksanaan pembelajaran dari rumah berpotensi mengurangkan perbelanjaan petrol guru dan ibu bapa bagi menyokong saranan kerajaan ke arah penjimatan bahan sumber dan tenaga.

Namun penjimatan ini sering digantikan dengan peningkatan kos lain seperti pembelian data internet, langganan perisian pembelajaran dan bil elektrik. Kajian terhadap guru mendapati lebih 60% responden menyatakan pelaksanaan pembelajaran dalam talian memberi kesan kewangan kepada mereka, termasuk kos tambahan bagi penyediaan bahan digital dan penggunaan internet.

Selain itu, ibu bapa juga terpaksa menanggung kos tambahan untuk memastikan anak-anak dapat mengikuti PdPR. Bagi keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak, keperluan menyediakan peranti tambahan sedikit sebanyak akan meningkatkan beban kewangan. Tambahan pula, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk memantau pembelajaran anak, yang secara tidak langsung memberi kesan kepada produktiviti kerja mereka. Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun kos petrol berkurang, beban kewangan keseluruhan mungkin tidak menurun secara signifikan.,

Daripada perspektif guru, pelaksanaan PdPR memerlukan penyesuaian pedagogi yang besar. Guru perlu menyediakan bahan digital, merancang aktiviti interaktif dan melaksanakan pentaksiran secara dalam talian. Kajian menunjukkan walaupun ramai guru kini mempunyai kemahiran asas teknologi serta literasi digital yang semakin baik setelah berjaya mengharungi pandemik Covid-19 suatu ketika dulu, mereka masih menghadapi cabaran dalam memastikan penglibatan murid secara maksimum serta menilai keberkesanan sesi pembelajaran yang dijalankan secara dalam talian tersebut. Selain itu, keletihan digital juga menjadi isu apabila guru dan murid perlu berada di hadapan skrin dalam tempoh yang panjang.

Implikasi PdPR terhadap sektor pendidikan negara juga tidak boleh dipandang ringan. Peralihan mendadak kepada pembelajaran dalam talian berpotensi menjejaskan pembangunan kemahiran sosial murid. Interaksi bersemuka penting untuk membina kemahiran komunikasi, kerjasama dan disiplin. Tanpa pengalaman ini, perkembangan holistik murid mungkin terjejas. Selain itu, ketidaksamaan akses teknologi boleh meningkatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar.

Namun begitu, PdPR tidak semestinya perlu ditolak secara sepenuhnya. Pendekatan yang lebih fleksibel seperti model hibrid boleh dipertimbangkan. Melalui model ini, pembelajaran bersemuka masih dilaksanakan secara berkala, manakala komponen dalam talian digunakan sebagai sokongan. Pendekatan ini dapat mengurangkan kesesakan, menjimatkan kos perjalanan dan pada masa sama mengekalkan interaksi bersemuka yang penting untuk pembelajaran.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan langkah-langkah sokongan sekiranya PdPR perlu dilaksanakan semula. Antaranya termasuk pemberian subsidi internet, bantuan peranti kepada murid kurang berkemampuan serta latihan pedagogi digital kepada guru. Pelaburan di dalam infrastruktur teknologi pendidikan perlu dipertingkatkan bagi memastikan pelaksanaan pembelajaran dalam talian menjadi lebih berkesan.

Selain itu, kesan jangka panjang terhadap kualiti pendidikan negara juga perlu dinilai dengan lebih teliti. Jika PdPR dilaksanakan tanpa perancangan yang rapi, ia berpotensi menjejaskan pencapaian generasi pelajar, sekali gus memberi kesan kepada pembangunan modal insan. Oleh itu, keputusan melaksanakan semula PdPR perlu dibuat berdasarkan analisis yang menyeluruh dan bukti empirikal.

Kesimpulannya, pelaksanaan semula PdPR akibat konflik yang berlaku di Asia Barat perlu dipertimbangkan secara berhati-hati. Walaupun ia berpotensi mengurangkan kos perjalanan dan memastikan kesinambungan pembelajaran, kesannya terhadap pemahaman murid, pencapaian akademik dan jurang pendidikan tidak boleh diabaikan.

Data menunjukkan cabaran pembelajaran dalam talian masih wujud walaupun capaian internet semakin baik. Oleh itu, pendekatan yang paling sesuai ialah melalui model fleksibel yang menggabungkan pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian, di samping sokongan menyeluruh kepada guru, murid dan ibu bapa.

Dengan perancangan yang lebih strategik, sistem pendidikan Malaysia diharap dapat terus berfungsi walaupun menghadapi cabaran global, tanpa mengorbankan kualiti pembelajaran generasi masa depan.