Nikmati hasil pelaburan 20 batang ‘pagar’ pada hari tua nanti
Apabila gigi berkurangan, warga emas cenderung memilih makanan lembut seperti bubur atau makanan diproses.

TAHUKAH anda bahawa mengekalkan sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli pada usia emas sebenarnya boleh menentukan kualiti hidup seseorang?
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan sasaran agar lebih 50 peratus warga emas di negara ini memiliki sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli menjelang tahun 2030. Bagi sesetengah orang, sasaran ini mungkin kedengaran sukar dicapai. Namun, hakikatnya ia bukan sekadar berkaitan kecantikan senyuman tetapi melibatkan aspek kesihatan yang jauh lebih besar daripada pemakanan hingga kesejahteraan mental.
Secara semula jadi, orang dewasa mempunyai 32 batang gigi kekal. Namun, kajian menunjukkan bahawa seseorang hanya memerlukan sekurang-kurangnya 20 batang gigi yang berfungsi untuk mengunyah makanan dengan baik. Konsep ini dikenali sebagai Shortened Dental Arch, iaitu keadaan di mana jumlah gigi yang ada masih mencukupi untuk fungsi harian walaupun tidak lengkap sepenuhnya.
Kehilangan gigi bukan sekadar masalah mulut. Ia memberi kesan langsung kepada pemakanan seseorang. Apabila gigi berkurangan, warga emas cenderung memilih makanan lembut seperti bubur atau makanan diproses. Malangnya, makanan jenis ini sering kekurangan serat, protein dan nutrien penting. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan melemahkan sistem imun.
Lebih membimbangkan, kesihatan mulut yang lemah turut dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan masalah kognitif seperti demensia. Ini kerana bakteria dari mulut boleh memasuki aliran darah dan memberi kesan kepada organ lain dalam tubuh.
Walaupun gigi palsu sering menjadi pilihan selepas kehilangan gigi, ia bukan pengganti sempurna. Ramai pengguna gigi palsu berdepan masalah seperti ketidakselesaan, gigi longgar, kesukaran mengunyah serta perubahan deria rasa. Sebaliknya, gigi asli memberikan fungsi yang lebih baik dan semula jadi.
Selain aspek fizikal, kehilangan gigi juga memberi kesan kepada emosi dan sosial. Warga emas yang kehilangan gigi sering berasa malu untuk tersenyum atau bercakap, sekali gus mengurangkan keyakinan diri dan interaksi sosial. Sedangkan hubungan sosial yang baik amat penting untuk kesejahteraan mental di usia emas.
Hakikatnya, mengekalkan 20 batang gigi asli bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam masa singkat. Ia memerlukan penjagaan berterusan sejak usia muda. Apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan keadaan kesihatan mulut kita pada masa hadapan.
Langkah paling asas ialah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan gigi dalam kalangan semua peringkat umur. Penjagaan kesihatan mulut tidak seharusnya tertumpu kepada kanak-kanak sahaja. Golongan dewasa, khususnya mereka yang berusia 30-an dan 40-an, perlu memahami bahawa tabiat harian seperti memberus gigi, pemilihan makanan dan lawatan ke klinik pergigian memainkan peranan besar dalam mengekalkan gigi dalam jangka panjang.
Selain itu, budaya hanya berjumpa doktor gigi apabila sakit perlu diubah. Pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya setiap enam bulan boleh membantu mengesan masalah lebih awal sebelum menjadi serius. Penyakit gusi dan kerosakan gigi yang tidak dirawat merupakan punca utama kehilangan gigi, namun ia sebenarnya boleh dicegah.
Dalam situasi di mana gigi mengalami kerosakan, pendekatan rawatan juga perlu berubah. Daripada terus mencabut, rawatan yang dapat menyelamatkan gigi seperti rawatan salur akar perlu dipertimbangkan selagi masih sesuai. Prinsipnya mudah, selagi boleh diselamatkan, gigi asli harus dikekalkan.
Kesimpulannya, sasaran KKM untuk memastikan warga emas memiliki sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli adalah satu langkah yang tepat dan berpandangan jauh. Ia mencerminkan pemahaman bahawa kesihatan mulut bukan isu kecil tetapi sebahagian penting daripada kesihatan keseluruhan.
Menjaga gigi bukan sekadar untuk hari ini, tetapi satu pelaburan untuk masa depan. Dengan penjagaan yang konsisten dan kesedaran yang tinggi, kita semua berpeluang menikmati usia tua yang lebih sihat, aktif dan bermakna dengan senyuman yang kekal asli.

