Komunikasi, kemahiran paling diperlukan dalam dunia pekerjaan dan politik
Komunikasi bukan sekadar bercakap atau menulis tetapi merangkumi seni menyampaikan idea dengan jelas, meyakinkan dan jelas kelihatan empati.
DI tengah-tengah aliran transformasi digital yang pesat, kecerdasan buatan dan automasi yang semakin canggih, kemahiran komunikasi kekal sebagai salah satu kemahiran manusia yang paling penting.
Dalam tinjauan global oleh firma terkemuka seperti LinkedIn dan Forum Ekonomi Dunia, komunikasi perorangan secara konsisten berada di kedudukan teratas dalam senarai kemahiran insaniah yang paling diperlukan di tempat kerja moden. Ia juga mengatasi kemahiran teknikal seperti analisis data atau kecekapan peranti digital.
Komunikasi bukan sekadar bercakap atau menulis tetapi merangkumi seni menyampaikan idea dengan jelas, meyakinkan dan jelas kelihatan empati. Di tempat kerja dan landskap politik, komunikasi yang berkesan menghubungkan strategi dan pelaksanaan, antara visi kepimpinan dan tindakan pasukan di lapangan.
Banyak projek di dalam organisasi dan politik gagal bukan kerana idea yang buruk tetapi kerana salah strategi komunikasi. Orang yang bijak boleh mempunyai idea yang hebat tetapi jika mereka di organisasi dan parti politik ini tidak dapat menterjemahkannya dengan berkesan, ia tidak akan menjadi kenyataan.
Tujuan komunikasi adalah untuk menerima dan menghantar mesej kepada kumpulan sassar. Ia merupakan interaksi yang melibatkan sekurang-kurangnya dua hala. Proses ini sering kali memberi ruang kepada kesilapan, yang boleh mengakibatkan salah tafsir mesej, kekeliruan yang tidak diperlu dan juga pertikaian.
Dalam era kerja jara jauh dan politik digital ini kerjasama merentas budaya dan generasi, kemahiran komunikasi juga merupakan pembeza utama antara profesional yang berkesan dan mereka yang ketinggalan dalam kefahaman. Ia bukan sekadar tentang pengucapan awam tetapi juga tentang mendengar secara aktif, menulis mesej yang jelas dan membina hubungan interpersonal yang positif merentasi pelbagai platform digital.
Satu ukuran komunikasi yang berjaya adalah apabila kedua-dua penghantar dan penerima memahami sumber komunikasi dengan cara yang sama. Dengan berjaya memahami mesej daripada orang lain, kumpulan sasar boleh menyampaikan pemikiran dan idea mereka dengan berkesan.
Sebaliknya, jika mereka gagal memahami mesej tersebut, pemikiran dan idea yang di sampaikan mungkin tidak mencerminkan sepenuhnya perspektif kita. Ini sering menyebabkan gangguan komunikasi dan mewujudkan halangan yang menghalang matlamat baik secara peribadi mahupun profesional.
Oleh itu, pekerja dan ahli politik profesional yang menyedari perkara ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran komunikasi mereka. Kelemahan ini menjadikan hampir mustahil bagi mereka untuk bersaing secara berkesan di tempat kerja dan memajukan kerjaya mereka.
Komunikasi merupakan asas setiap interaksi bermula daripada rundingan kontrak hinggalah membina kepercayaan dengan pelanggan. Organisasi yang mempunyai corak komunikasi dalaman yang kukuh mempunyai produktiviti sehingga 25 peratus lebih tinggi berbanding organisasi yang tidak mempunyai corak komunikasi dalaman.
Ahli organisasi mahupun ahli politik berasa lebih terlibat, pasukan lebih mudah menyesuaikan diri dan keputusan strategik boleh dibuat dengan lebih cepat kerana ia tidak terhalang oleh salah faham.
Jenis Komunikasi Yang Semakin Dicari-cari
Tupuan bagi para graduan yang mencari kerja pula perlu diberikan kepada sekurang-kurangnya, empat jenis komunikasi yang semakin dicari majikan pada masa kini.
Komunikasi Interpersonal: Kebolehan untuk membina hubungan, memahami emosi orang lain dan bekerjasama merentasi pasukan atau jabatan.
Komunikasi Digital: Kemahiran dalam menulis mesej profesional dalam e-mel, mencipta pembentangan maya yang menarik atau berinteraksi secara berkesan di platform seperti Zoom dan media sosial profesional.
Komunikasi Persuasif: Diperlukan oleh pemimpin, ahli politik, pemasar dan perunding untuk mempengaruhi keputusan dan membina kepercayaan.
Penceritaan: Dalam era maklumat, orang ramai bukan sahaja memerlukan data tetapi juga cerita yang membangkitkan emosi. Penceritaan yang berkesan boleh mengubah laporan kering menjadi naratif yang memberi inspirasi.
Mengasah Kemahiran Komunikasi dalam Era Kecerdasan Buatan
Walaupun teknologi boleh membantu mempercepatkan kerja, kecerdasan buatan tidak dapat menggantikan sensitiviti manusia dalam konteks membaca, emosi dan dinamik sosial. Sebaliknya, komunikasi yang kukuh membolehkan seseorang menggunakan teknologi dengan lebih bijak.
Latihan dalam pengucapan awam, penulisan perniagaan dan kepimpinan empati telah menjadi pelaburan penting bagi syarikat yang ingin menyediakan bakat masa depan.
Oleh itu, kunci untuk menjadi “komunikator yang hebat” adalah menyesuaikan diri dengan semua peringkat proses komunikasi, dan yang paling penting, menyesuaikan diri dengan khalayak.
Sebaliknya tidak sepatutnya mereka diminta untuk menyesuaikan diri dengan penghantar mesej, kerana hanya dengan itu kemahiran komunikasi kita akan bertambah baik dan keupayaan kita akan berkembang, sekali gus membuka potensi kerjaya kita.

