Pembelajaran mikro bakal mengubah corak pendidikan
Microlearning atau pembelajaran mikro muncul sebagai pendekatan revolusioner dalam latihan perguruan.

DUNIA pendidikan hari ini berubah pantas. Jika dahulu, seorang guru hanya perlu menguasai kandungan mata pelajaran dan pedagogi asas, kini cabarannya lebih kompleks. Kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital telah meletakkan tanggungjawab baru kepada institusi perguruan iaitu melahirkan pendidik yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mampu beradaptasi dengan pantas.
Dalam konteks inilah, microlearning atau pembelajaran mikro muncul sebagai pendekatan revolusioner dalam latihan perguruan, terutamanya buat golongan guru praperkhidmatan (dalam latihan). Namun, sejauh manakah pendedahan mereka terhadap kaedah ini dan apakah cabarannya?,
Satu kajian lapangan yang dilakukan baru-baru ini terhadap 250 mahasiswa tahun akhir kursus perguruan menunjukkan bahawa 53 peratus responden menyatakan minat yang tinggi jika elemen microlearning ini dimasukkan secara formal ke dalam silibus latihan guru yang sedia ada. Statistik ini membuka mata banyak pihak bahawa generasi baharu pendidik ini dahagakan kaedah latihan yang lebih modular, fleksibel dan digital selari dengan perubahan gaya hidup mereka yang semakin pantas dan mempunyai akses tanpa had.
Guru praperkhidmatan sememangnya tidak asing dengan konsep “mikro”. Selama ini, mereka terdedah dengan mata pelajaran Microteaching (Pengajaran Mikro), di mana mereka berlatih mengajar dalam kumpulan kecil, mengecilkan skop pengajaran untuk fokus kepada kemahiran tertentu seperti set induksi, penguasaan kelas atau penyoalan.
Namun, microlearning adalah satu langkah lebih jauh ke hadapan. Ia merupakan pendekatan latihan yang membahagikan kandungan besar kepada unit-unit kecil (bite-sized) berdurasi pendek (biasanya tiga hingga 10 minit) dan disampaikan secara digital. Ia bukan lagi sekadar latihan mengajar di hadapan lima orang rakan tetapi melibatkan video interaktif, kad imbas digital (digital flashcards), kuiz pantas dan modul gamifikasi.
Di Malaysia dan seluruh dunia, integrasi ini sedang giat dilakukan. Sebagai contoh, kajian di Universiti Muhammadiyah Sidoarjo mencadangkan model Microteaching Hybrid Synchronous yang menggabungkan praktikal secara langsung dengan bantuan AI dan Augmented Reality (AR). Ini membolehkan calon guru berlatih dalam simulasi kelas digital yang realistik sebelum melangkah ke realiti sekolah yang sebenar.
Di peringkat antarabangsa, penyelidik seperti Lucas Kohnke dari Universiti Lingnan menekankan bahawa modul microlearning yang dibantu oleh AI (seperti ChatGPT, Perplexity) mampu mengurangkan beban kognitif guru praperkhidmatan, selain meningkatkan keyakinan mereka untuk merancang pengajaran secara bervariasi.
Penggunaan microlearning dalam latihan guru membawa tiga kelebihan utama yang sukar ditolak, terutamanya bagi generasi yang membesar dengan kandungan digital pendek seperti TikTok dan Instagram Reel. Pertama, ia berupaya meningkatkan tumpuan dan pengekalan maklumat. Otak manusia tidak direka untuk menyerap maklumat yang disampaikan di dalam satu sesi kuliah yang panjang dan statik. Microlearning memanfaatkan kesan primacy-recency yang membolehkan pelajar fokus tanpa gangguan. Unit kecil yang spesifik memudahkan pemindahan ilmu ke memori jangka panjang, seterusnya berupaya mengekalkan maklumat dengan jangka masa yang lebih baik.
Seterusnya, melalui latihan “Just-In-Time”. Antara kebimbangan yang sentiasa menghantui calon guru ialah sering berdepan kebimbangan di saat akhir. Dengan perpustakaan modul mikro digital, mereka boleh mengakses video “Cara Mengurus Murid Hiperaktif” atau “5 Teknik Soalan Aras Tinggi” secara segera, tepat pada waktu mereka memerlukannya.
Kebaikan seterusnya adalah ia mudah untuk diuruskan serta dikemas kini. Kurikulum latihan guru sering ketinggalan berbanding teknologi semasa. Microlearning membolehkan sesebuah institusi mengemas kini modul tentang AI atau keselamatan siber tanpa perlu menukar keseluruhan buku teks atau silibus tahunan.
Walaupun terdengar ideal, pelaksanaannya tidak sunyi dari cabaran. Berdasarkan pemerhatian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menawarkan kursus perguruan, terdapat empat cabaran utama iaitu antaranya kekangan infrastruktur dan jurang digital yang ketara, terutamanya bagi mereka yang tinggal di luar kawasan bandar.
Tidak semua kawasan di Malaysia mempunyai akses internet yang stabil. Integrasi microlearning digital memerlukan data raya dan peranti yang canggih. Jika pensyarah menggunakan AI atau AR untuk modul, mahasiswa di kawasan luar bandar mungkin akan keciciran berbanding kawan sekelas yang mempunyai akses tanpa had.
Selain itu, ia juga dilihat memberi tambahan beban kerja kepada pensyarah (cognitive load). Bukanlah sesuatu yang mudah untuk memecahkan topik kompleks seperti “Falsafah Pendidikan” atau “Psikologi Pendidikan” kepada video 5 minit yang padat.
Proses reka bentuk instruksional ini memerlukan kemahiran multimedia yang tinggi dan masa penyediaan yang lebih lama berbanding kuliah tradisional. Selain itu, mereka juga memerlukan kumpulan sokongan untuk menyediakan video pengajaran dalam memastikan video yang dihasilkan berkualiti serta menarik minat pelajar untuk memahami kandungan video.
Cabaran seterusnya adalah sindrom ketakutan AI (AI anxiety) dan pembelajaran cetek (surface learning). Kajian mendapati ramai guru pra-perkhidmatan mengalami kebimbangan terhadap teknologi AI khususnya berkaitan etika, privasi, kebolehpercayaan serta risiko lain yang tidak dapat dijangka.
Selain itu, terdapat risiko bahawa microlearning hanya menghasilkan kefahaman di peringkat permukaan (hafal seketika) tanpa mendalami pedagogi secara kritis kerana tidak dibimbing secara langsung oleh pensyarah berkenaan sesuatu konsep. Perkara ini, jika tidak diawasi, ia boleh menjadi sekadar tontonan pasif tanpa refleksi mendalam dan tidak memberikan apa-apa impak positif terhadap aktiviti pembelajaran.
Selain itu, kekangan masa dan penilaian juga perlu dilihat dengan serius sebelum memperkenalkan kursus pembelajaran secara mikro ini. Latihan perguruan di Malaysia sudah padat dengan pelbagai komponen (kursus akademik, kokurikulum dan praktikum). Menambah integrasi digital ke dalam sistem yang sedia ada memerlukan pengorbanan waktu lain.
Tambahan pula, sistem penilaian sedia ada yang sedang diguna pakai sukar untuk mengukur keberkesanan microlearning semata-mata. Pihak terlibat dilihat perlu merangka semula sistem penilaian yang digunakan agar dapat menyokong usaha untuk memperkenalkan microlearning ke dalam latihan perguruan secara meluas.
Secara kesimpulannya, jawapan kepada transformasi latihan guru bukanlah dengan membuang sistem lama tetapi menggabungkan kekuatan lama dan baharu melalui proses penambahbaikan yang dilakukan. Model hibrid adalah masa depan, di mana kuliah bersemuka dijalankan untuk mendalami falsafah manakala platform microlearning digital pula digunakan untuk latihan kemahiran prosedural, simulasi tingkah laku murid dan pendedahan terhadap teknologi AI.
Dengan 53 peratus bakal guru sudah menyatakan minat, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Tinggi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) melabur dalam pembangunan Learning Management System (LMS) yang ringan, mesra mudah alih, dan kaya dengan kandungan mikro. Guru adalah pelukis masa depan bangsa. Sudah tiba masanya kita melukis dengan kuasa digital yang lebih moden agar terus kekal relevan di peringkat global.

