Industri peranti perubatan tempatan harus ambil peluang ketika dunia sedang bergolak
Industri peranti perubatan di Malaysia merupakan sektor penting dan mendapat perhatian kerajaan.
Oleh: NASHRUL FAZLI MOHD NASIR dan JOHARI ABU KASIM
DUNIA hari ini berdepan pelbagai ketidaktentuan geopolitik yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global dan rantaian bekalan antarabangsa. Konflik serantau, turun naik harga tenaga serta perubahan dasar perdagangan antarabangsa bukan sahaja menjejaskan sektor makanan dan pengangkutan, malah turut memberi tekanan kepada sektor kesihatan. Dalam keadaan sebegini, pembangunan industri peranti perubatan tempatan semakin penting sebagai langkah strategik untuk memastikan keterjaminan ekosistem kesihatan negara.
Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan bahawa kerajaan akan mengambil langkah intervensi bagi menangani isu bekalan dan kenaikan harga ubat-ubatan serta peranti perubatan susulan krisis tenaga global. Beliau menegaskan keutamaan kerajaan ialah untuk memastikan bekalan terus terjamin serta mengelakkan implikasi berpanjangan kepada rakyat dan sektor kesihatan.
Kenyataan beliau ini menunjukkan bahawa industri peranti perubatan di Malaysia merupakan sektor penting dan mendapat perhatian kerajaan. Ini kerana ia berkait rapat dengan isu keselamatan negara, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat. Apabila kos tenaga meningkat, harga bahan mentah juga berpotensi untuk turut naik. Akhirnya, kos pengeluaran peranti perubatan seperti sarung tangan, tiub, kateter, komponen diagnostik dan peralatan rawatan akan turut terkesan.
Industri ini juga bergantung kepada rantaian bekalan global yang kompleks. Banyak komponen penting seperti cip elektronik, penderia, bahan polimer khas dan modul kuasa dihasilkan di negara berbeza sebelum dipasang menjadi produk akhir di negara kita. Sebarang gangguan kepada sistem ini boleh menyebabkan kelewatan pengeluaran, kenaikan harga, malah kekurangan bekalan di pasaran.
Dalam laporan media sebelum ini, penasihat industri peranti perubatan Malaysia, Roy Chin menyatakan bahawa perubahan tarif perdagangan dan gangguan bekalan antarabangsa boleh menjejaskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sektor peranti perubatan. Apabila komponen penting sukar diperoleh, syarikat peranti perubatan perlu mencari alternatif baharu yang memerlukan masa serta terpaksa menampung kos tambahan. Situasi ini tentu sekali akan memperlahankan inovasi tempatan.
Sehubungan dengan perkara ini, pemain industri menegaskan bahawa antara tekanan paling ketara ketika konflik global memuncak ialah kenaikan mendadak harga bahan mentah, khususnya resin plastik yang digunakan secara meluas dalam pembuatan peranti perubatan. Kenaikan harga dilaporkan mencecah 40 hingga 90 peratus, sekali gus memberi kesan terus kepada kos pengeluaran syarikat tempatan.
Selain kenaikan harga, bekalan resin kini banyak bergantung kepada segelintir pembekal utama. Jika bekalan dikurangkan atau diberi secara terhad, kilang tempatan boleh mengalami kelewatan pengeluaran, penghantaran serta masalah menyiapkan tempahan pelanggan.
Walaupun terdapat cadangan penggunaan bahan polimer alternatif, pelaksanaannya dalam industri peranti perubatan perlu diperhalusi dengan lebih teliti. Pendekatan ini sebenarnya lebih sesuai dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang dan wajar disambut oleh badan-badan penyelidikan serta universiti dengan penasihatan daripada pemain industri. Pertukaran bahan mentah memerlukan penyesuaian dari sudut proses pembuatan, pengesahan teknikal baharu, serta pelbagai audit pematuhan semula daripada badan regulatori tempatan dan luar negara.
Oleh itu, dalam jangka masa sederhana, kapasiti pengeluaran bahan mentah tempatan perlu diperkukuhkan. Dari satu sudut lain, pihak industri menyedari keperluan untuk mempercepatkan pengeluaran resin khas gred perubatan di dalam negara supaya pergantungan berlebihan kepada pembekal luar dapat dikurangkan. Langkah ini penting bagi menjamin kesinambungan sektor strategik ketika berlaku gangguan global.
Justeru, Malaysia perlu bergerak lebih pantas ke arah kemandirian teknologi kesihatan. Negara yang mempunyai keupayaan mereka bentuk, menguji dan menghasilkan peranti perubatan sendiri akan berada dalam kedudukan lebih kukuh ketika berdepan krisis global. Dalam erti kata lain, pembangunan industri ini bukan sekadar soal perdagangan, tetapi juga soal daya tahan negara.
Malaysia sebenarnya mempunyai asas yang kukuh. Negara ini telah lama dikenali sebagai pengeluar utama produk perubatan berasaskan getah, khususnya sarung tangan perubatan. Pengalaman dalam sektor pembuatan, kawalan mutu dan eksport memberi kelebihan untuk negara melangkah ke tahap lebih tinggi, termasuk pembangunan peranti bernilai tinggi seperti sistem diagnostik, peralatan hospital pintar dan teknologi pemantauan kesihatan digital.
Pada masa sama, kerjasama serantau juga penting. Presiden PERANTIM, Johari Abu Kassim sebelum ini menekankan bahawa negara-negara ASEAN perlu meningkatkan pelaburan dalam inovasi kesihatan dan membentuk struktur perkongsian sumber yang lebih tersusun. Pendekatan ini penting kerana setiap negara mempunyai kekuatan berbeza, sama ada dari sudut bahan mentah, kapasiti pembuatan atau kepakaran teknikal.
Selain memperkukuh pasaran tradisional, syarikat tempatan juga perlu dibantu menembusi pasaran yang kurang terkesan oleh konflik global seperti Amerika Selatan dan rantau Asia Pasifik. Usaha promosi eksport yang lebih agresif mampu mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tertentu.
Dalam konteks keselamatan kesihatan negara, keperluan mengekalkan stok penampan ubat-ubatan dan peranti kritikal bagi tempoh enam hingga dua belas bulan juga wajar diberi perhatian. Rizab strategik seperti ini boleh membantu negara menghadapi gangguan bekalan mendadak.
Bagi Malaysia, kedudukan strategik di tengah ASEAN memberi peluang untuk memainkan peranan lebih besar sebagai hab peranti perubatan serantau. Dengan gabungan industri tempatan, universiti, hospital, pelabur serta dasar kerajaan yang konsisten, negara kita berpotensi untuk muncul sebagai pusat pembangunan teknologi kesihatan yang berdaya saing.
Selain itu, perkembangan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Medical Things (IoMT) dan analitik data kesihatan membuka ruang besar kepada syarikat tempatan. Peranti moden hari ini bukan sahaja sekadar alat fizikal tetapi sebahagian daripada ekosistem digital yang membantu diagnosis lebih cepat, pemantauan pesakit secara berterusan dan rawatan yang lebih tepat. Negara juga perlu terus menggalakkan inovasi, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi, agar Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan industri peranti perubatan global.
Kesimpulannya, ketika dunia bergolak, pembangunan industri peranti perubatan tempatan bukan lagi pilihan tetapi keperluan. Ia penting untuk memastikan rakyat terus mendapat akses kepada teknologi kesihatan yang selamat, berkualiti dan mampu milik. Dalam jangka panjang, negara yang mampu berdiri atas kekuatan sendiri dalam sektor strategik seperti ini akan lebih bersedia menghadapi cabaran global yang semakin tidak menentu.
* Prof. Madya Ir. Ts. Nashrul Fazli Bin Mohd Nasir merupakan pensyarah kanan program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan dan Timbalan Dekan (Akademik dan Penyelidikan), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik di Universiti Malaysia Perlis manakala Johari Abu Kasim adalah Presiden Persatuan Pengilang-pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM).

