Pelajar fisioterapi UiTM Puncak Alam santuni warga emas
Anjur program komuniti “Kuat Sepanjang Usia: Mengatasi Frailty untuk Kehidupan Lebih Berkualiti” di Alor Gajah, Melaka pada 21 Mei lalu.
SESI ceramah kesihatan disampaikan oleh pelajar fisioterapi UiTM bagi meningkatkan kesedaran mengenai frailty dan kepentingan senaman dalam kalangan warga emas.
Oleh: NOR NAZIHAH CHE OTHAMAN
KUALA LUMPUR, 23 Mei 2026 – Isu frailty dan sarcopenia dalam kalangan warga emas semakin mendapat perhatian kerana boleh menjejaskan tahap kesihatan, pergerakan serta kualiti hidup seseorang apabila meningkat usia.
Menyedari kepentingan pendidikan kesihatan dan intervensi awal kepada komuniti, sekumpulan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dari Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah menganjurkan program komuniti bertajuk “Kuat Sepanjang Usia: Mengatasi Frailty untuk Kehidupan Lebih Berkualiti” di Alor Gajah, Melaka pada 21 Mei lalu.
Program yang dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Alor Gajah dan Unit Fisioterapi Jabatan Rehabilitasi Hospital Alor Gajah ini melibatkan penyertaan seramai 20 orang warga emas daripada komuniti setempat.
Pelaksanaan program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko frailty dan sarcopenia dalam kalangan warga emas di samping memperkukuh kefahaman tentang kepentingan senaman, aktiviti fizikal dan fisioterapi dalam mengekalkan fungsi badan serta kesejahteraan hidup apabila meningkat usia.

Pelbagai aktiviti kesihatan dan pendidikan telah dijalankan sepanjang program berlangsung, termasuk saringan kesihatan bagi mengenal pasti tanda-tanda awal sarcopenia, penilaian kekuatan badan serta ujian keseimbangan bagi warga emas.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu peserta memahami tahap kesihatan masing-masing, malah memberi pendedahan awal berkaitan langkah pencegahan dan pengurusan frailty secara berkesan.
Program turut diserikan dengan sesi ceramah kesihatan yang disampaikan oleh pelajar-pelajar fisioterapi berkaitan risiko frailty dan kepentingan senaman serta fisioterapi untuk meningkatkan tahap mobiliti, kekuatan otot dan keyakinan diri warga emas dalam menjalani aktiviti harian.
Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif turut dijalankan seperti senaman pemanasan badan, aktiviti berkumpulan, permainan Kahoot bagi merangsang fungsi kognitif, aktiviti dual-task serta latihan kekuatan otot tangan dan kaki. Pendekatan pembelajaran secara interaktif ini berjaya mewujudkan suasana program yang aktif, ceria dan menyeronokkan bagi semua peserta.

Para peserta dilihat sangat bersemangat sepanjang aktiviti berlangsung apabila masing-masing bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan cabaran yang diberikan dan bersaing secara sihat bagi meraih kemenangan untuk kumpulan masing-masing.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas penglibatan aktif mereka sepanjang program berlangsung.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menjadi platform pendidikan kesihatan kepada komuniti warga emas, malah turut menjadi medium pembelajaran lapangan kepada pelajar fisioterapi dalam menghubungkan ilmu akademik dengan situasi sebenar di peringkat komuniti.
Inisiatif ini membuktikan bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi, agensi kesihatan dan komuniti setempat mampu memainkan peranan penting dalam memperkasakan kesejahteraan warga emas serta memupuk masyarakat yang lebih aktif, sihat dan berkualiti selaras dengan aspirasi penuaan sihat negara.
Sementara itu, Ahli PAWE Alor Gajah, Noraihan berkata: “Saya merasa sangat bertuah dapat menghadiri program ini. Terima kasih banyak-banyak kepada pelajar fisioterapi UiTM semua. Banyak ilmu yang kami pelajari daripada program ini dan semoga program seperti ini dapat dilakukan lagi.”
