Usah melampaui batas mencipta kandungan
Ia adalah petanda kepada satu gejala yang lebih besar, melampaui batasan antara hiburan dan penghinaan serta antara kreativiti dan kebiadapan.

ISU agama merupakan perkara sensitif bagi masyarakat Islam. Akhir-akhir ini wujud senario yang menunjukkan segelintir pihak cuba untuk mempermainkan simbol dan syiar agama, khususnya membuat kandungan yang melibatkan nama Rasulullah SAW demi menarik dan mendapatkan perhatian warga maya. Walaupun objektif kandungan yang dibuat hanya bertujuan hiburan semata-mata atau suka-suka sahaja, namun perlu diingat bahawa tidak semua perkara adalah sesuai untuk dijadikan kandungan digital.
Apabila kandungan yang melibatkan nama insan mulia seperti Rasulullah SAW, ia bukan sekadar isu sensitiviti agama, malah melibatkan pelanggaran adab, etika dan norma sosial. Ini adalah kerana ia satu penghinaan dan pencemaran kemuliaan dengan bermain-main nama insan yang dicintai umat Islam.
Perbuatan ini juga menggambarkan hakisan nilai dan adab yang semakin membimbangkan dalam ekosistem digital Malaysia. Ini disebabkan penciptaan kandungan ini didorong oleh motif keuntungan melalui pendekatan menarik perhatian warga digital dengan kandungan yang kontroversi.
Bagi mereka, semakin provokatif sesuatu kandungan, semakin tinggi trafik yang dicapai, dikongsi dan ketularan akan dimanfaatkan bagi mengaut keuntungan. Jika zaman sebelum ini, ramai yang berpegang dengan asas, iaitu publisiti yang buruk, juga termasuk dalam publisiti. Kini ia dikembangkan oleh golongan yang memburu perhatian agresif lagi provokatif dengan tiga rangkaian yang berkait rapat, iaitu kontroversi mencetuskan trafik, trafik menarik perhatian penonton, dan penonton menjana pendapatan.
Peristiwa seumpama ini bukan satu kejadian yang terpencil. Sebaliknya, ia adalah petanda kepada satu gejala yang lebih besar, melampaui batasan antara hiburan dan penghinaan dan antara kreativiti dan kebiadapan yang semakin menjadi-jadi dalam ruang digital. Bahkan di sebalik tindakan ini, wujud satu motivasi keuntungan yang diraih hasil dari tular yang bersumberkan daripada kontroversi yang dicetuskan.
Dalam sebahagian kes, terdapat pihak yang sengaja mencetuskan kontroversi bagi meningkatkan capaian kandungan, menghasilkan kandungan yang sensitif, tular dan kemudiannya mereka menyiapkan skrip permohonan maaf. Modus yang sama kemudiannya akan diputar ulang oleh pemain-pemain lain dalam platform digital.
Sebahagian pihak tanpa mempertimbangkan sensitiviti umat Islam terhadap kemuliaan baginda SAW dan tanpa rasa mempermainkan agama, telah memetik nama Rasulullah SAW untuk memancing emosi dan kontroversi. Dalam sesetengah keadaan, pertimbangan keuntungan dan capaian media sosial akhirnya mengatasi pertimbangan adab dan sensitiviti agama.
Gejala pencari perhatian ini berlaku disebabkan beberapa faktor; di antaranya adalah pertama, kekosongan identiti dan jati diri. Mereka mencari pengaruh melalui kecaman dan membakar emosi orang ramai. Walaupun tindakan tersebut bercanggah dengan syariat, adab, etika dan norma sosial. Mereka sanggup membelakangkan semua pertimbangan tersebut demi meraih trafik yang tinggi. Kedua, ilmu agama yang cetek.
Tidak semua pencipta kandungan berniat untuk mempermainkan agama, sebaliknya mereka jahil dan tidak tahu batas di antara hiburan dan ketidakwajaran dari sudut adab apabila memetik nama Rasulullah SAW. Sebahagian generasi muda berhadapan cabaran memahami batas adab dan sensitiviti agama dalam dunia digital.
Ketiga, ekosistem digital yang terbuka dan bebas. Dalam dunia digital, setiap orang bebas untuk menghasilkan kandungan atau memuat naik kandungan yang tidak melanggar polisi platform digital. Biasanya orang akan bersikap introvert di dunia fizikal dan mereka tidak akan melakukannya secara bersemuka kerana rasa malu. Tetapi dalam dunia digital, rasa malu ini terhakis dan mereka bebas berekspresi serta mencipta kandungan.
Daripada perspektif hukum Islam, perbuatan mempermainkan atau mempersendakan atau al-istihza’ termasuk dalam perkara yang dilarang keras oleh Syarak. Ini disebabkan implikasinya sangat berat kepada akidah dan keimanan. Dalam hal ini, Allah SWT telah memperingatkan larangan mempersendakan dalam surah al-Taubah, ayat 65-66. Firman Allah SWT, maknanya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (65). Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah. (66).
Pada asasnya, penurunan ayat ini adalah semasa Perang Tabuk, iaitu ketika mana sekelompok orang munafik mempersendakan Rasulullah SAW dengan alasan mereka hanya bergurau senda. Imam al-Sya‘rawi dalam kitab Tafsir al-Sya’rawi menegaskan bahawa alasan seperti bergurau atau sekadar berlawak tidak boleh digunakan untuk membenarkan tindakan mempermainkan agama, ayat-ayat Allah, Rasulullah SAW atau hukum Islam.
Ini disebabkan implikasinya sangat besar di sisi Allah SWT kerana mengandungi unsur penghinaan, ejekan, olok-olok dan permainkan agama. Dalam hal ini, ada beberapa titik penting yang perlu dilihat. Ia termasuklah niat orang yang membuat kandungan digital, sama ada berniat memperolokkan dan menghina Rasulullah SAW dengan sengaja atau perbuatan itu lahir daripada kejahilan dan kecuaian.
Sekiranya perbuatan tersebut mengandungi unsur penghinaan yang jelas terhadap Allah, RasulNya atau agama Islam secara sedar dan sengaja, maka ia termasuk dalam kesalahan yang sangat berat dan boleh menjejaskan akidah seseorang. Namun begitu, jika ia dilakukan dengan dasar kejahilan dan kecuaian, mereka turut berdosa dan perlu bertaubat. Jelasnya, penghormatan terhadap Rasulullah SAW bukanlah bentuk pemujaan terhadap makhluk, bukan juga sekadar tuntutan adab, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kesempurnaan iman seorang Muslim.
Sehubungan dengan itu, sebagai umat Islam, penciptaan kandungan yang mempunyai nilai permainkan dan penghinaan terhadap agama perlu dielakkan. Bagi warga maya, jangan memberi publisiti secara percuma kepada perbuatan ini kerana dampaknya bersifat negatif apabila dikongsi secara berlebihan walau dalam nada emosi.
Ia adalah disebabkan tindakan ini juga termasuk dalam memberi sumbangan trafik kepada kandungan digital. Golongan pencari perhatian akan mendapat manfaat yang besar. Hentikan daripada memberi sokongan terhadap kandungan media sosial yang menghina agama dan tidak bermanfaat kerana semuanya termasuk dalam dosa yang mengalir.
Tegasnya, jangan melampaui batas dalam mencipta kandungan dan melanggar larangan agama demi untuk menjana pendapatan. Jaga adab bila memetik nama Rasulullah SAW dan jangan biadab kerana baginda bukanlah bahan yang boleh digunakan untuk olok-olok atau penghinaan.
Jika masih belum mengenali, maka kenalilah baginda sebaiknya kerana kita semua mengharapkan syafaat baginda di hari akhirat kelak. Hati yang penuh cinta dan rasa hormat kepada baginda sama sekali tiada ruang untuk terlintas melakukan penghinaan. Oleh itu, seorang Muslim wajib menjaga tutur kata dan perbuatannya agar tidak terjerumus ke dalam perkara yang boleh merosakkan iman dan amal.
Media sosial sepatutnya menjadi ruang kepada penyebaran ilmu, akhlak dan manfaat, bukan medium penghinaan agama dan pencetus kemarahan warga maya. Semoga setiap Muslim sama ada pencipta kandungan digital atau warga maya sentiasa menjaga adab dan akhlak terhadap baginda Rasulullah SAW serta menggunakan platform digital sebagai wasilah untuk mencari keredhaan Allah SWT, bukan jalan yang mengundang kemurkaan-Nya.

