Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2026 lahiri orator muda berwibawa

Penganjuran tahun ini mencatat sejarah apabila pertandingan dilaksanakan di luar kampus asal serta diperluaskan ke peringkat IPT.

Feature Image (5)

KUALA LUMPUR, 19 Jun 2026 – Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah (PPTK) 2026 berjaya mencapai matlamatnya dalam melahirkan generasi muda yang berani bersuara, berfikiran matang serta mampu memartabatkan bahasa Melayu melalui platform pengucapan awam yang berprestij.

Majlis Penutupan PPTK 2026 telah berlangsung pada 16 hingga 17 Mei lalu di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini. Program itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Perkembangan Akademik dan Intelektual Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah dengan kerjasama pelbagai institusi strategik.

Bertemakan “Teknologi Hijau: Pemangkin Pembangunan Alam Sekitar Mampan”, pertandingan berkenaan menghimpunkan 30 peserta yang mara ke peringkat separuh akhir daripada kategori sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Penganjuran tahun ini mencatat sejarah apabila pertandingan dilaksanakan di luar kampus asal serta diperluaskan ke peringkat IPT, sekali gus menjadikannya lebih inklusif dan berimpak tinggi dalam pembangunan bakat pengucapan awam negara.

Program itu bertujuan mengasah kemahiran pengucapan awam, meningkatkan keyakinan diri dan memupuk pemikiran kritis dalam kalangan pelajar, selain menjadi platform pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta membina jaringan kolaborasi antara institusi pendidikan di seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, Prof Dr Hasniza Zaman Huri berkata pertandingan itu selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan modal insan yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran komunikasi.

Beliau berkata kemahiran seperti empati, pemikiran kritis dan komunikasi berkesan menjadi semakin penting dalam era kecerdasan buatan (AI) kerana elemen berkenaan tidak mampu digantikan oleh mesin.

Menurut beliau, perkara itu juga selari dengan Pelan Strategik Universiti Malaya menerusi inisiatif UM LEADER yang menekankan enam nilai utama iaitu Laureate, Ethical, Analytical, Dynamic, Empathy dan Resilient.

“Pidato menjadi wadah penting dalam melatih mahasiswa menganalisis isu kompleks secara objektif serta menyampaikan hujah berfakta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Julia Alani Henry berkata pidato bukan sekadar pertandingan suara, sebaliknya merupakan ujian pemikiran kritis dalam menyampaikan hujah bernas dalam tempoh masa yang singkat.

Beliau berkata generasi muda merupakan benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu di tengah arus globalisasi.

Menurutnya, penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk bukan Melayu membuktikan bahasa Melayu kekal relevan sebagai bahasa perpaduan, manakala pemindahan lokasi penganjuran ke DBP merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dan badan bahasa negara.

Pengarah PPTK 2026, Muhamad Fitri Ilham Hamid pula berkata sambutan luar biasa yang diterima bagi kategori IPT membuktikan pembaharuan yang diperkenalkan mendapat respons amat memberangsangkan.

Beliau berkata sejak penubuhan PPTK pada 2015, edisi 2026 menjadi titik penting apabila pertandingan itu bukan sahaja mengekalkan tradisi pidato sekolah menengah, malah diperluaskan ke peringkat pendidikan tinggi sebagai platform yang lebih inklusif dan berimpak.

Penganjuran tahun ini turut diperkukuh melalui sokongan pelbagai institusi dan syarikat strategik termasuk DBP Wilayah Tengah, Kementerian Pendidikan Tinggi, Yayasan Perkasa Siswa, Yayasan Aman, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, UM Press dan Pilot Pen Malaysia.

Bagi kategori sekolah menengah, Auni Nabiha Ahmad Zaki dari SMK Seksyen 10 Kota Damansara muncul sebagai johan manakala Chiah Wei Yuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama dinobatkan sebagai naib johan.

Dalam kategori IPT, Muhammad Faizal Isahak dari Universiti Tun Abdul Razak merangkul gelaran johan selepas mempamerkan penguasaan isu dan penyampaian yang berkarisma, manakala Muhammad Irfan Daniel Irwan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul sebagai naib johan.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima hadiah bernilai RM600 dan RM400.

Dari sudut capaian digital, portal JendelaDBP merekodkan sebanyak 3,593,443 capaian keseluruhan setakat Mei 2026, termasuk 719,888 capaian bagi bulan berkenaan, sekali gus menunjukkan peningkatan minat masyarakat terhadap kandungan bahasa dan ilmu.

Sebelum ini, edisi PPTK 2024 menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra muncul sebagai johan menerusi wakilnya, Nik Nadzif Dhamir Nazhin Jazli, dengan tema “Mengutuhkan Nusa Bangsa Berpaksikan Bahasa Melayu”.

Pada edisi 2025 pula, Mohammad Aisy Danial Mohd Asrul dari SMK Kajang Utama dinobatkan sebagai johan menerusi pidato bertemakan “Ekonomi Mapan Kunci Keberhasilan Pembangunan Sosial dan Negara”.

Kejayaan berterusan pertandingan itu membuktikan keupayaan generasi muda mengupas isu semasa secara kritis serta menampilkan penguasaan bahasa Melayu yang cemerlang dalam arena pidato kebangsaan.

Bersempena Anugerah Kecemerlangan Kurshiah kali ke-63 pada 6 Jun lalu, PPTK 2026 turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Projek Terbaik.

Anugerah berkenaan diberikan kepada projek yang berjaya menunjukkan impak positif melalui kreativiti dan pemikiran kritis, peningkatan kemahiran komunikasi, kemahiran organisasi, penyelesaian masalah dan pengurusan kewangan projek, selain sumbangan ketara kepada kolej kediaman atau universiti.

Penganjur berharap program itu akan terus menjadi wadah melahirkan pemimpin, pemikir dan orator muda yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat dan negara.