ISP Group Hulur Bantuan kepada Rumah Transit Asnaf Melaka
Jasin, Melaka, 30 Jun 2026 – ISP Group menzahirkan komitmennya dalam membantu golongan yang memerlukan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2026 di Rumah Transit Asnaf Melaka di Serkam, Jasin, dengan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada keluarga asnaf sekali gus memperkukuhkan komitmennya terhadap pembangunan masyarakat yang lebih inklusif.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang mencerminkan sokongan Kerajaan Negeri terhadap peranan rumah transit itu dalam membantu keluarga yang memerlukan.
Bertemakan “Bersama Komuniti, Membawa Kebaikan, Menyemai Harapan”, program ini menghimpunkan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menyokong sebuah rumah transit yang telah beroperasi selama dua tahun bagi menyediakan perlindungan dan pemulihan kepada golongan asnaf di Jasin. Inisiatif ini memperlihatkan kerjasama erat antara pembuat dasar pembangunan luar bandar, penyumbang korporat serta keluarga yang menerima manfaat daripada rumah transit berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada program tersebut, ISP Group menyumbangkan dua buah kerusi roda bagi membantu memenuhi keperluan mobiliti penghuni rumah transit, selain menyerahkan beg cenderahati serta sumbangan tunai kepada 30 keluarga asnaf bagi meringankan perbelanjaan harian mereka.
Dalam ucapannya, Pengarah Urusan ISP Group, Eric Ng, berkata, “Di ISP Group, kami percaya setiap kejayaan yang dikecapi akan menjadi lebih bermakna apabila dapat dikongsi bersama mereka yang memerlukan. Kami berharap bantuan yang dihulurkan hari ini dapat menjadi sinar harapan serta membawa keberkatan kepada semua.”
Beliau berkata, sebagai sebuah syarikat yang membangunkan ruang untuk masyarakat tinggal dan bekerja, ISP Group merasakan menjadi tanggungjawab syarikat untuk menyokong sebuah institusi yang menjalankan peranan sama dalam membantu antara golongan paling memerlukan dalam komuniti.
“Beginilah bentuk kerjasama yang kami harap dapat terus diperkasakan antara sektor swasta dan organisasi akar umbi,” katanya.
Dalam masa yang sama, Eric turut merakamkan penghargaan kepada pengasas Rumah Transit Asnaf Melaka, Tuan Haji Ustaz Hairul Amin, atas komitmen beliau yang tidak pernah berbelah bahagi dalam membantu individu dan keluarga asnaf di Jasin melalui penyediaan tempat perlindungan, bimbingan serta peluang untuk membina kehidupan yang lebih berdikari.
ISP Group merupakan kumpulan syarikat yang terlibat dalam pembangunan dan pelaburan hartanah perindustrian, khususnya Gudang Logistik dan Hab Pembuatan (LWMH) serta Penginapan Pekerja Binaan Khas (PBWA). Sejak penubuhannya pada tahun 2022, ISP Group terus berkembang dengan visi untuk membina legasi yang mampan serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada masyarakat dan negara.
ISP Group berharap program ini akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara sektor swasta dan Kerajaan Negeri dalam menyokong lebih banyak rumah transit berfokuskan kebajikan golongan asnaf di seluruh Melaka.
