Sebuah cerita yang menjadi telefilem, memetakan kewajaran fikiran dan tindakan

Sifat telefilem adalah sesuatu yang agak mudah difahami namun tetap mencabar fikiran melalui babak-babak yang diketengahkan dalam membina plot yang meyakinkan.

Feature Image

TELEFILEM bolehlah dimengertikan sebagai sebuah medium yang mengangkat kisah-kisah kehidupan manusia dalam sesebuah kelompok masyarakat yang dimulakan dengan ungkapan permasalahan atau isu pokok yang dihadapi dan diakhiri dengan saranan mesej yang mendatangkan kefahaman, kesedaran, nasihat serta mengajak penonton memikirkan tentang sesuatu untuk dipertimbangkan.

Walaupun ada antara suara-suara halus membincangkan tentang peranannya dengan gaya kupasan yang agak klise namun telefilem masih lagi relevan sebagai tontonan umum hingga ke hari ini dalam membawakan pelbagai kisah kehidupan sebagai panduan kepada sesiapa jua yang menonton.

Secara umumnya, sifat telefilem adalah sesuatu yang agak mudah difahami namun tetap mencabar fikiran melalui babak-babak yang diketengahkan dalam membina plot yang meyakinkan. Telefilem menuntut penonton untuk memahami setiap dialog, watak, adegan dan naratif yang dibina dalam usaha untuk mencari makna bagi paparan kehidupan yang dipersembahkan.

Jelas sekali, telefilem dikategorikan sebagai sebuah medium penyampaian agak ringan berbanding filem yang sudah semestinya digarap dengan sebuah kesempurnaan pembikinan yang meliputi segala aspek teknologi dan gabungan aspek produksi yang mantap terutamanya perihal promosi. Cuma harus diingat bahawa kesemua itu bukan sandaran kepada memperolehi makna yang pasti.

Walhal sesebuah telefilem yang mudah sifatnya juga memerlukan daya pemikiran untuk mendorong penonton mencari, manyaring, menilai dan membuat kesimpulan dalam perutusan makna yang sudah pasti akan mencabar pemikiran. Hal ini menuntut keupayaan yang tinggi dalam usaha membuat sebarang tafsiran berkenaan mesej yang cuba dijalinkan dengan pemikiran penonton.

Sebagai seorang peminat telefilem, naratif yang dibawa kebiasaannya akan meninggalkan penonton dengan sesuatu untuk difikirkan melalui pengalaman penulisan skrip atau pengarah yang dicurahkan dalam sesebuah telefilem. Seperti contoh banyak butiran isu kekeluargaan yang diketengahkan oleh telefilem berjaya menyentuh dan menghadirkan pengalaman peribadi penonton tanpa rasa seperti direka-reka tanpa kesempurnaan tujuan dan ia diadun dengan kemas untuk meyakinkan penonton dengan pelbagai konflik yang jelas di pemikiran.

Telefilem secara tuntas membawa isu kekeluargaan yang berbeza dari sudut penyampaian cerita, kepentingan perkara pokok, penataan konflik, latar zaman dan keupayaan menciptakan makna. Telefilem juga dirasa mempunyai kekuatan dalam menawarkan suatu pandangan alternatif pada apa-apa yang dilihat dan difikirkan tentang sebuah kehidupan yang tidak asing dengan penonton yang berlaku dalam masyarakat kini. Antaranya seperti perselisihan seisi rumah tangga, pengalaman berdasarkan realiti kehidupan, kecelaruan sosial dan lain-lain yang bersesuaian dengan konteks masyarakat.

Sama ada dipersetujui atau pun tidak, menonton telefilem berupaya untuk membuat seseorang itu menjadi lebih berimbang dalam pemikiran dan tingkah laku dengan cara yang lebih positif. Telefilem dirasakan dapat menyalurkan penglihatan kepada penonton untuk melihat masalah yang dihadapi dengan lebih wibawa. Memahami watak dan perselisihan kekeluargaan mampu memperlihatkan contoh perilaku yang buruk dan juga baik.

Pendedahan melalui situasi yang dijelmakan melalui telefilem dapat membantu seseorang memahami perspektif dari sudut yang lebih terbuka dan terarah demi untuk mengatasi permasalahan dengan sesuatu keputusan yang wajar.

Penonton dapat menyelami pemikiran dan tindakkan kedua-dua pihak yang berselisih faham misalnya dan menilai detik-detik konflik tersebut lalu membuka pandangan sendiri untuk membuat rumusan dalam menyuarakan penyelesaian terhadap masalah tersebut.

Hal ini memperakukan bahawa dengan menonton telefilem bertemakan konflik kekeluargaan, dirasakan berupaya mencabar pemikiran penonton dalam menemukan jawapan terhadap keretakan yang ada dan boleh dipraktikkan seandainya mempunyai persamaan situasi dalam realiti kehidupan sebenar.

Berkaitan dengan hakikat tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa telefilem mampu untuk menyediakan jalur jawapan atau gagasan penyelesaian ketika kita menghadapi kesulitan dalam hubungan kekeluargaan dan perkongsian pengalaman ini menjadi satu sumber inspirasi ke arah membuat pilihan penyelesaian ekoran kerapuhan yang wujud. Ia mengajar kita untuk membuat pilihan terbaik demi sebuah kelangsungan kehidupan yang sempurna.

Tanpa terhad, penonton juga mampu untuk membina karakter yang lebih bersikap positif dalam melayari peranan sebagai individu dalam keluarga dengan memahami dan menghargai seutuhnya hubungan kekeluargaan yang ada. Sudah pasti ketidaksempurnaan akan wujud dalam sebuah keluarga namun menjadi kewajipan diri untuk terus mendukung dan menyantuni setiap perbezaan pendapat yang dilontarkan.

Telefilem berupaya untuk membentuk pemikiran jika dihayati dengan tekad untuk menjadikannya sebagai permulaan kesedaran dalam menemukan keindahan dalam hubungan kekeluargaan dan menyedari bahawa setiap dari ahli keluarga pasti akan ada melakukan kesilapan, baik dari percakapan mahupun tindakan.

Pada titik inilah, telefilem dirasakan menjalankan fungsinya dalam membawakan sesuatu senario yang memberikan kesempatan dan peluang untuk penonton berfikir cara bagaimana harus mendepaninya, berinteraksi, bertindak balas serta memetakan kewajarannya.

Secara ringkasnya, melalui tema-tema yang dibawa oleh telefilem sebenarnya sarat dengan nasihat, pengajaran dan peringatan secara halus dan berhemah melalui watak dan jalan cerita. Dalam berhibur dengan sebuah cerita, namun kekal dijalin nasihat dan pengajarannya. Ini adalah sisi terbaik sebuah telefilem dalam mencabar fikiran penonton untuk melihat dari sudut makna atau erti kata kehidupan sebuah penceritaan.

Berpautlah dengan mesej yang disampaikan, berlapang dada menerima nasihat, ambil pengajaran dari naratif cerita dan diaplikasikan sebagai contoh tauladan untuk memperbaiki diri untuk kebaikan pada masa hadapan.