Emas bukan sekadar perhiasan, penyelamat yuran pengajian dan mas kahwin

Mas kahwin yang pada mulanya dianggap simbol ikatan pernikahan, turut berfungsi sebagai aset yang boleh digunakan pasangan pada masa hadapan.

Feature Image (3)

Oleh: AIN NAJWA HIIDAYAH

APABILA menyebut soal emas, kebanyakan orang masih terbayang gelang, rantai atau cincin simpanan warisan keluarga. Ada pula yang menganggap emas sebagai pelaburan orang berada, jauh daripada realiti golongan pelajar dan pasangan muda yang baru bergelar suami isteri.

Tanggapan ini semakin ketinggalan zaman. Generasi hari ini mula sedar emas bukan sekadar perhiasan atau simpanan sampingan tetapi turut berperanan membiayai dua perkara besar dalam hidup yuran pengajian dan mas kahwin.

Emas Membiayai Yuran Pengajian

Kos pengajian, khususnya di peringkat pascasiswazah, bukan kecil. Yuran tesis, kos penyelidikan, pembelian bahan rujukan dan pelbagai perbelanjaan sampingan boleh mencecah ribuan ringgit dalam tempoh setahun. Ramai pelajar terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan atau elaun yang terhad.

Namun bagi mereka yang mula menyimpan emas seawal usia bekerja atau semasa masih belajar di peringkat sarjana muda, simpanan ini sering menjadi penyelamat ketika yuran perlu dijelaskan segera. Berbeza dengan simpanan tunai yang nilainya semakin susut ditelan inflasi, emas yang disimpan sejak beberapa tahun lalu biasanya sudah berkembang nilainya, cukup untuk menampung sebahagian besar kos pengajian tanpa perlu menanggung hutang tambahan.

Emas Sebagai Mas Kahwin yang Meningkat Nilai

Mas kahwin secara tradisinya dilihat sebagai simbol, bukan aset yang perlu berkembang nilai. Namun hakikatnya, memilih emas sebagai mas kahwin membawa manfaat jangka panjang yang jarang disedari pasangan yang baru bernikah. Sebagai gambaran, harga satu keping dinar emas pada tahun 2021 hanya sekitar RM1,200.

Menjelang 2026, nilai dinar yang sama telah meningkat mendekati RM3,000 hampir dua kali ganda seiring kenaikan harga emas dunia yang turut menyaksikan harga emas 999 domestik melepasi paras RM700 segram pada tahun ini. Ini bermakna mas kahwin yang pada mulanya dianggap sebagai simbol ikatan pernikahan, turut berfungsi sebagai aset yang boleh digunakan pasangan pada masa hadapan, sama ada untuk membiayai pengajian, memulakan perniagaan, atau sebagai simpanan kecemasan keluarga.

“Mas kahwin yang pada mulanya dianggap simbol ikatan pernikahan, turut berfungsi sebagai aset yang boleh digunakan pasangan pada masa hadapan.”

Kenapa Perlu Mula Awal

Ramai menangguhkan simpanan emas kerana menganggap ia perlu bermula dengan modal besar. Realitinya, simpanan emas kini boleh dimulakan dengan modal serendah seratus ringgit sebulan melalui pelbagai platform yang sah dan patuh syariah.

Yang lebih penting ialah konsistensi, bukan jumlah besar sekali gus. Menurut data goldprice.org, harga emas dalam ringgit Malaysia telah meningkat sebanyak 628.85 peratus dalam tempoh 20 tahun kebelakangan bersamaan pulangan purata melebihi 10 peratus setahun, jauh mengatasi kadar simpanan tunai biasa dan mampu menandingi inflasi jangka panjang.

Pelajar yang bijak menyisihkan sedikit wang poket untuk membeli emas secara berkala, tanpa disedari sedang membina jaminan kewangan untuk fasa hidup seterusnya sama ada untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, mendirikan rumah tangga, atau menghadapi kecemasan yang tidak dijangka.

Kesimpulannya, emas bukan lagi sekadar simpanan simbolik golongan berusia atau perhiasan pengantin semata-mata. Ia adalah instrumen kewangan praktikal yang mampu menampung dua fasa penting kehidupan generasi muda hari ini melanjutkan pelajaran dan membina rumah tangga. Semakin awal langkah menyimpan emas dimulakan, semakin besar peluang ia berkembang menjadi penyelamat kewangan ketika benar-benar diperlukan.

* Penulis merupakan Pelajar PhD Undang Undang Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.