Menelusuri keberkatan bubur asyura Nabi Nuh AS dan jamuan sura Nabi Muhammad SAW
Kedua-dua peristiwa ini bukan sekadar catatan sejarah tetapi turut menjadi tuntunan berharga dalam kehidupan spiritual dan sosial umat Islam hingga ke hari ini.

TELAH menjadi adat di Malaysia apabila tiba bulan Muharam, umat Islam mengadakan acara gotong-royong memasak bubur Asyura dengan pelbagai versi mengikut negeri. Sebagai renungan bersama, mari kita telusuri asal usul bubur Asyura ini dan yang menariknya peristiwa Sura yang melibatkan Rasulullah SAW.
Kedua-dua peristiwa ini bukan sekadar catatan sejarah tetapi turut menjadi tuntunan berharga dalam kehidupan spiritual dan sosial umat Islam hingga ke hari ini.
Bubur asyura: Kesepakatan Nabi Nuh AS dan pengikutnya
Asyura merupakan satu istilah yang bermakna sepuluh dalam bahasa Arab, merujuk kepada hari kesepuluh bulan Muharam. Namun, yang lebih mendalam dari makna kalendar ini adalah makna spiritual dan sosial yang terkandung di dalamnya.
Menurut riwayat sejarah Islam, bubur Asyura berasal daripada kesepakatan yang dilakukan antara Nabi Nuh AS dan pengikut-pengikutnya membuat catuan makanan sesama mereka dan memasaknya setelah mendarat di bukit al-Judiy pada 10 Muharam.
Nabi Nuh AS, yang dikenali sebagai Bapak Manusia dalam Islam, mendapat titah daripada Allah SWT untuk menyeru umatnya kepada agama yang lurus selama lebih daripada sembilan ratus lima puluh tahun. Semasa menyebarkan dakwah ini, beliau dan para pengikutnya yang beriman menghadapi pelbagai kesukaran dan penganiayaan daripada golongan yang mendustakan.
Setelah mereka melalui ‘Tufan’ yang menenggelamkan dunia di dalam bahtera Nabi Nuh AS, akhirnya langit berhenti mencurahkan hujan dan bumi menelan airnya lalu mendaratlah Nabi Nuh dan pengikut di atas bukit al-Judiy.
Mereka cuba mencari makanan daripada tumbuhan atau binatang di sekitar kawasan mendarat namun banjir dalam tempoh yang lama telah merosakkan segalanya. Dalam situasi yang penuh cabaran ini, Nabi Nuh AS dan para pengikutnya membuat satu kesepakatan mulia untuk saling membantu dengan menyediakan makanan secara bersama dan catu sehingga terkumpul tujuh jenis bijirin, lalu dimasak bersama menjadi bubur. Hasilnya, kenyanglah mereka dengan berkat Nabi Nuh AS.
Tindakan ini bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal tetapi lebih merupakan refleksi daripada nilai-nilai kemasyarakatan yang kuat dan semangat berjemaah yang tinggi. Dengan menyediakan makanan secara bersama, mereka memastikan bahawa tiada sesiapa antara jemaah dakwah tersebut yang kelaparan atau diabaikan. Ini adalah satu bentuk ta’awun (saling tolong-menolong) yang sejati dan amal jamai yang digalakkan dalam Islam.
Keindahan bubur Asyura juga terletak pada penghargaan terhadap kemampuan setiap individu dalam jemaah. Setiap orang, sesuai dengan kemampuan mereka, menyumbangkan bahagian untuk berkongsi bersama. Ini mengajarkan nilai kesamaan, empati dan kesedaran akan keperluan membina masyarakat yang kuat melalui kerjasama dan saling memahami.
Rujukan kepada kisah bubur Asyura ini ialah riwayat yang disebutkan dalam karya-karya para ulama yang muktabar seperti Bustan al-Wa‘izin wa Riyad al-Sami‘in karangan Imam Abd al-Rahman bin Abi al-Hasan Ali, Ibnu al-Jauzi (m. 597H), Bada‘i al-Zuhur fi Waqa‘i al-Duhur karangan Muhammad ibn Iyas (m. 1522M), I‘anah al-Talibin ala Halli Alfaz al-Fath al-Mu‘in karangan Sayyid Abu Bakar Muhammad Syatha ad-Dimyathi (m. 1310H/1892M) di samping turut diriwayatkan dalam beberapa kitab klasik oleh ulama terkemuka alam Melayu terutamanya Sheikh Nawawi al-Bantani dan Sheikh Daud al-Fatoni.
Namun riwayat ini tidak memiliki sanad yang kuat dan berstatus sebagai cerita atau narasi sejarah sahaja yang boleh dibuat pedoman, bukan sebagai dasar hukum syariat. Tradisi masyarakat Melayu membuat bubur asyura pada setiap kali Muharam pula merupakan siyasah para ulama Melayu sebagai platform mereka mendekatkan masyarakat kepada amal Islam selain memupuk perpaduan dan muafakat.
Sura Nabi Muhammad SAW: Mukjizat yang membuktikan kenabian
Asyura dalam loghat Kelantan disebut Sura dengan sedikit pelat pada sebutan huruf R ke arah huruf Ghain ( غ) menurut huruf Arab/Jawi. Setiap kali datangnya Muharam orang Kelantan akan mengingati dua peristiwa iaitu Asyura Nabi Nuh dan Sura Nabi Muhammad SAW.
Perkataan Sura merujuk kepada majlis jamuan yang mana tuan majlis menjemput orang ramai untuk makan. Sura yang paling terkenal semasa zaman Nabi Muhammad SAW adalah Sura Saidina Jabir ibn Abdullah al-Ansari. Menurut riwayat, ketika perang Khandak, Saidina Jabir mendapati Rasulullah SAW dan para sahabat dalam kelaparan. Beliau bersama isteri menyiapkan sedikit makanan berupa beberapa keping roti dan menyembelih seekor anak kambing yang masih kecil untuk dijadikan gulai.
Beliau kemudiannya mengundang Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang ada bersama di khemah baginda sekitar 10 orang untuk makan di khemahnya secara senyap supaya tidak diketahui oleh sahabat yang lain kerana jumlah mereka sekitar 1000 orang. Lantas Nabi SAW bangun dan menyeru: Wahai ahli Khandak! Sesungguhnya Jabir membuat Sura (jamuan makan). Lalu terkejutlah Saidina Jabir kerana makanan yang disiapkan adalah untuk sekitar belasan orang sahaja dan sudah pasti tidak cukup untuk semua tentera Islam.
Nabi SAW kemudiannya memerintah Saidina Jabir supaya menutup roti dengan kain dan menutup periuk dengan penutupnya dan tidak membukanya kecuali sekadar mengambil roti dan gulai kambing tersebut untuk dihidangkan. Dalam riwayat lain, Nabi SAW berpesan supaya para sahabat masuk ke khemah beliau sepuluh orang sepuluh orang.
Sebelum jamuan dihidangkan, Nabi SAW mendoakan keberkatan kepada makanan tersebut. Dengan izin Allah SWT, makanan tersebut bertambah dan tidak habis menjadikannya cukup untuk memenuhi semua sahabat yang berkawal di Khandak sekitar 1000 orang bahkan dengan ada yang masih tersisa.
Peristiwa mukjizat ini bukan hanya menunjukkan kekuasaan Ilahi tetapi juga mendemonstrasikan kepedulian Nabi Muhammad SAW terhadap kesusahan sahabat-sahabatnya. Beliau tidak menolak undangan Saidina Jabir walaupun dalam keadaan yang terhad, malah menjadikan peluang tersebut sebagai manifestasi daripada belas kasihan dan kepimpinan yang visioner.
Sura ini juga menunjukkan betapa pentingnya niat baik, kesederhanaan dan kesediaan untuk berkongsi meskipun dalam keterbatasan. Saidina Jabir menyediakan apa yang mampu dan Nabi Muhammad SAW menerima dengan sepenuh hati. Kombinasi inilah yang menghasilkan satu peristiwa bersejarah yang menjadi bukti nyata mukjizat.
Rujukan kisah Sura Nabi SAW pula adalah daripada Sahih al-Bukhari (no. hadis: 3904), Sahih Muslim (no. hadis: 3915) dan banyak lagi riwayat dalam karya-karya hadis para imam yang lain.
Pengajaran dan manusiawi
Dua kisah yang diangkat ini iaitu bubur Asyura Nabi Nuh AS dan Sura Saidina Jabir sangat besar maknanya dalam menyampaikan satu mesej yang bersifat teras kepada manusiawi iaitu keikhlasan berkongsi tanpa mengharap balasan.
Dalam kehidupan bermasyarakat, jangan letakkan diri di atas orang lain semata-mata kerana lebih berada, lebih berilmu atau lebih bertuah. Membantu orang lain bukan alasan untuk berasa “baik hati” atau “mulia” kerana ia hanyalah fitrah kemanusiaan yang sepatutnya dilakukan tanpa syarat.
Sebaliknya, hormati maruah mereka yang menerima bantuan dengan tidak mendedahkan kelemahan mereka atau membuat mereka rasa berhutang budi. Bagi yang menerima bantuan, terimalah dengan lapang dada tanpa rasa malu kerana memberi dan menerima dengan ikhlas adalah dua sisi dari satu nilai yang sama iaitu kasih sayang sesama manusia.

