Minggu kesedaran kanser PKTAAB satukan sains, seni dan interaksi bersama pakar
Program yang bermula dari 17 Ogos hingga 22 Ogos 2026 itu turut mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi berkaitan kanser yang dilaksanakan oleh penyelidik PKTAAB.
KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026 – Orang ramai berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pakar kesihatan serta mendapatkan penerangan dan panduan berkaitan kanser menerusi Minggu Kesedaran Kanser anjuran Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), Bertam Pulau Pinang.
Program selama empat hari yang bermula pada 17 Ogos hingga 22 Ogos 2026 itu mengetengahkan pendekatan menyeluruh dengan menggabungkan penyelidikan, pendidikan kesihatan, penjagaan pesakit dan seni sebagai medium untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kanser.
Antara tarikan utama program ialah pameran karya yang menggabungkan elemen seni dan kesihatan di ruang legar PKTAAB. Pameran berkenaan menggunakan ekspresi seni untuk menterjemahkan isu dan konsep kesihatan yang kompleks kepada bentuk visual yang lebih dekat, mudah difahami dan berkesan kepada masyarakat.
Menerusi pendekatan itu, pengunjung diajak melihat kanser bukan sahaja daripada perspektif klinikal dan saintifik, tetapi juga melalui pengalaman manusia yang merangkumi emosi, harapan, ketabahan serta cabaran yang dihadapi oleh pesakit dan keluarga.
Gabungan seni dan kesihatan itu sekali gus membuka ruang kepada pemahaman yang lebih jitu mengenai realiti penyakit, di samping merangsang perbincangan serta membina empati dalam kalangan masyarakat. Seni dalam konteks ini bukan sekadar bahan pameran, malah berfungsi sebagai medium komunikasi kesihatan yang mampu menghubungkan ilmu perubatan dengan pengalaman kehidupan sebenar.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung juga boleh mengemukakan pertanyaan dan berbincang secara bersemuka dengan pakar serta petugas kesihatan mengenai faktor risiko, tanda dan gejala awal, kepentingan saringan, pilihan rawatan dan bentuk sokongan yang boleh diperoleh oleh pesakit serta keluarga.
Peluang berinteraksi secara langsung itu diharapkan dapat membantu masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber berwibawa, sekali gus mengurangkan kekeliruan, ketakutan dan salah faham mengenai kanser.
Orang ramai, khususnya individu yang mempunyai kebimbangan mengenai risiko kanser, pesakit, penjaga dan ahli keluarga, digalakkan hadir bagi mendapatkan panduan umum serta memahami langkah yang boleh diambil untuk menjaga kesihatan dan mendapatkan bantuan sewajarnya.
Selain pameran seni, program itu turut mengetengahkan hasil penyelidikan serta inovasi berkaitan kanser yang dilaksanakan oleh penyelidik PKTAAB.
Pameran penyelidikan tersebut memberi peluang kepada masyarakat mengetahui bagaimana kajian saintifik boleh menyumbang kepada usaha pencegahan, pengesanan awal, diagnosis, rawatan dan penjagaan pesakit kanser. Pengunjung turut berpeluang berinteraksi dengan penyelidik bagi memahami perkembangan semasa dalam bidang berkenaan. Program itu juga memberi perhatian kepada aspek penjagaan menyeluruh pesakit menerusi reruai penjagaan paliatif yang turut dipamerkan.
Reruai berkenaan menyediakan penerangan mengenai peranan penjagaan paliatif dalam membantu mengawal gejala, mengurangkan penderitaan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. Pasukan yang terlibat turut memberikan panduan mengenai kepentingan sokongan emosi, sosial dan psikologi kepada pesakit serta keluarga sepanjang perjalanan rawatan.

Bagi menjadikan pendidikan kesihatan lebih menarik, kuiz Kahoot turut diadakan sepanjang program. Aktiviti interaktif itu membolehkan peserta menguji pengetahuan mengenai kanser dalam suasana santai, di samping memperoleh maklumat kesihatan melalui pendekatan yang mudah dan berkesan.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pemeriksaan tekanan darah secara percuma di reruai yang disediakan. Inisiatif itu bertujuan menggalakkan masyarakat mengetahui status kesihatan masing-masing dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Antara pengisian utama pada hari pertama ialah siaran podcast bertajuk “Kanser Payudara: Mitos, Fakta dan Harapan” yang menampilkan Pakar Pembedahan dan Pensyarah Perubatan PKTAAB, Dr. Hasmah Hussin, yang mengupas pelbagai mitos dan fakta mengenai kanser payudara.
Beliau turut menerangkan kepentingan mendapatkan maklumat yang tepat, menjalani pemeriksaan awal serta menerima rawatan daripada sumber dan perkhidmatan kesihatan yang berwibawa. Kemuncak pameran kesihatan di PKTAAB ini ialah dengan perasmian PKTAAB yang akan disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada 22 Ogos 2026.
Orang ramai dijemput hadir untuk memanfaatkan peluang bertemu dan berinteraksi dengan pakar kesihatan serta penyelidik, menyaksikan pameran seni dan penyelidikan, di samping mendapatkan maklumat yang sahih mengenai kanser dalam suasana terbuka serta mesra masyarakat.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen PKTAAB untuk mendekatkan kepakaran, perkhidmatan dan hasil penyelidikan kepada masyarakat dengan memanfaatkan pendekatan rentas disiplin yang menyatukan sains, kesihatan dan seni.
