Kongsilah secara bertanggungjawab

Sharenting semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan keluarga. Namun, perkongsian gambar dan video anak perlu dibuat secara beretika dengan mengutamakan privasi, maruah dan kesejahteraan mereka.

Feature Image (3)

KANAK-KANAK kini lebih kerap dilihat dalam ruang digital berbanding sebelum ini. Gambar dan video keluarga yang dahulunya hanya disimpan dalam album peribadi kini dikongsi secara terbuka, malah sesetengah kanak-kanak telah menjadi “influencer cilik” dengan pengikut yang ramai serta perjanjian tajaan jenama.

Amalan ini dikenali sebagai “sharenting”, gabungan perkataan “share” dan “parenting”. Ia menimbulkan persoalan sebenar tentang privasi, keselamatan, dan perkembangan jangka panjang seorang kanak-kanak.

Satu kajian berskala kebangsaan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya mendapati amalan ini sememangnya meluas, dengan 62.2 peratus daripada 325 orang ibu bapa yang disoal selidik menyatakan bahawa mereka aktif berkongsi kandungan tentang anak-anak mereka, kebanyakannya detik harian dan aktiviti seharian, diikuti pencapaian akademik dan detik penting dalam kehidupan.

Bagi 395 orang dewasa yang disoal selidik, iaitu mereka yang masih belum menjadi ibu bapa, 37.7 peratus melaporkan turut melakukan perkara yang sama, selalunya berkongsi aktiviti harian atau pencapaian sekolah adik-beradik atau ahli keluarga mereka.

Ini menunjukkan bahawa sharenting bukan lagi terhad kepada ibu bapa sahaja, sebaliknya telah menjadi tabiat sosial yang meluas. Kajian ini turut mendapati bahawa amalan perkongsian yang beretika, seperti meminta izin anak terlebih dahulu, merupakan peramal yang lebih kukuh bagi kesejahteraan kanak-kanak berbanding kesedaran umum ibu bapa tentang keselamatan.

Di sini, kita akan meneliti dengan lebih mendalam apa yang dijelaskan oleh psikologi perkembangan tentang kesan sharenting terhadap seorang kanak-kanak, dan apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa, penjaga, serta orang dewasa mengenainya.

Pandangan psikologi: di sebalik fenomena ini

Daripada sudut pandang psikologi perkembangan, terdapat tiga teori klasik yang dapat membantu menjelaskan mengapa pendedahan berterusan dalam ruang digital boleh memberi kesan kepada perkembangan dan kesejahteraan seorang kanak-kanak.

Menurut teori psikososial Erik Erikson, kanak-kanak membina rasa inisiatif dan keyakinan diri sejak usia awal prasekolah lagi, melalui permainan bebas dan rutin harian. Asas ini kelak menyokong pembentukan identiti yang lebih matang semasa alam remaja. Jika proses perkembangan awal ini kerap terganggu oleh kehadiran kamera, kesannya tidak terhad kepada zaman kanak-kanak semata-mata; ia turut berterusan ke peringkat perkembangan yang seterusnya.

Teori pembelajaran sosial Albert Bandura pula mencadangkan bahawa kanak-kanak belajar bukan sekadar melalui arahan, tetapi juga dengan memerhati dan meniru orang dewasa serta rakan sebaya di sekeliling mereka.

Jika tindakan “berlakon di depan kamera” menjadi sebahagian daripada rutin harian, kanak-kanak, yang kemampuan menaakulnya masih dalam proses perkembangan, mungkin menganggap perkongsian setiap aspek kehidupan mereka dalam talian sebagai sesuatu yang biasa, bukannya sesuatu yang perlu dipersoalkan. Ini boleh membentuk tahap keselesaan mereka terhadap pendedahan digital sehingga ke alam remaja dan awal dewasa.

Seterusnya, Teori Perapatan oleh John Bowlby pula menegaskan bahawa perhubungan selamat antara ibu bapa dan anak terbina melalui interaksi peribadi yang konsisten dan penuh kasih sayang, jauh daripada tontonan orang lain. Namun, apabila detik-detik intim sebegini kerap dikongsi demi tontonan umum, nilai keintiman itu berisiko bertukar menjadi persembahan, bukan lagi ruang selamat yang khusus milik anak dan ibu bapa sahaja.

Teori-teori ini tidak bermaksud bahawa melibatkan anak dalam kandungan digital semestinya salah. Namun, ia mengingatkan kita sebagai ibu bapa dan orang dewasa bahawa di sebalik setiap kandungan yang dimuat naik, terdapat proses perkembangan yang sedang berlaku, dan keseimbangan antara berkongsi dengan melindungi perlu sentiasa dijaga.

Dapatan kajian ilmiah turut menyokong perkara ini. Dalam kajian yang sama, kedua-dua kumpulan ibu bapa dan orang dewasa melaporkan tahap kesedaran keselamatan digital, iaitu pemahaman tentang tetapan privasi, risiko, dan amalan yang selamat yang tinggi.

Namun, secara realitinya, tahap kesedaran ini hampir tidak mempunyai kaitan dengan tingkah laku perkongsian yang lebih selamat dan bertanggungjawab. Dengan kata lain, ibu bapa dan orang dewasa yang mengetahui tentang risiko dan keselamatan digital tidak semestinya bertingkah laku selari dengan kesedaran tersebut. Jurang antara pengetahuan dan tindakan inilah yang cuba dirapatkan oleh garis panduan berikut.

Amalan perkongsian yang bertanggungjawab

Bagi ibu bapa, penjaga dan orang dewasa, berikut adalah beberapa panduan mudah untuk memastikan perkongsian kandungan kanak-kanak kekal selamat dan beretika.

Minta izin sebelum muat naik. Walaupun kanak-kanak masih terlalu muda untuk memberikan persetujuan sepenuhnya, orang dewasa masih boleh memerhati sama ada kanak-kanak itu kelihatan selesa, serta menghormati jawapan “tidak” mereka. Ini kelihatan seperti perkara kecil, namun tindakan ini sebenarnya secara tidak langsung mengiktiraf perasaan dan autonomi kanak-kanak, bukannya melayan mereka seolah-olah kanak-kanak tiada hak untuk bersuara dalam perkara-perkara sebegini.

Lindungi maklumat mereka. Butiran seperti uniform sekolah, papan tanda jalan, atau lokasi yang mudah dikenali boleh mendedahkan tempat tinggal, sekolah, atau tempat seorang kanak-kanak sering berada. Oleh itu, mengelakkan perincian sebegini dapat mengurangkan risiko pendedahan yang tidak disengajakan.

Kandungan yang dirakam semasa saat-saat peribadi, seperti di bilik air, kolam renang, atau ‘toilet training’, amat mudah disalahguna dan wajar dielakkan sepenuhnya. Menetapkan akaun media sosial kepada mod peribadi serta menyemak secara berkala siapa yang boleh melihat hantaran tersebut turut membantu, kerana melindungi maklumat sahaja tidak mencukupi sekiranya orang yang tidak dikenali masih boleh mengaksesnya.

Rahsiakan saat-saat ‘vulnerable’. Tangisan, hukuman, atau pergelutan peribadi mungkin sebahagian daripada realiti kehidupan berkeluarga, namun mendedahkannya kepada tontonan umum boleh menjejaskan perasaan seorang kanak-kanak terhadap diri mereka sendiri pada masa hadapan. Merahsiakan detik-detik sebegini adalah tanda penghormatan terhadap maruah mereka.

Beri ruang di luar talian. Kanak-kanak perlu mempunyai banyak masa bermain yang tidak dirakam, di mana mereka bebas meneroka, berimaginasi, dan berinteraksi tanpa kehadiran sebarang penonton. Pengalaman di luar talian memberi mereka ruang untuk berkembang secara bebas, tanpa dipengaruhi oleh unsur persembahan digital.

Bincangkan dengan mereka. Orang dewasa boleh menerangkan, mengikut cara yang sesuai dengan usia anak, tentang apa yang sedang berlaku semasa sesuatu video atau gambar dirakam, sebab ia dikongsi, dan siapa yang mungkin akan melihatnya.

Ini membantu kanak-kanak memahami secara beransur-ansur perbezaan antara kehidupan sebenar dan kandungan dalam talian, dan panduan yang jelas dapat membantu keupayaan mereka membezakan pengalaman harian daripada persembahan digital, terutamanya ketika kemahiran menaakul mereka masih dalam proses perkembangan.

Fikirkan jangka masa panjang. Sebelum memuat naik sesuatu kandungan, ibu bapa dan orang dewasa boleh bertanya kepada diri sendiri, “Bagaimana perasaan kanak-kanak ini apabila mereka dewasa kelak?” Sekiranya jawapannya ‘tidak pasti’, memilih untuk tidak memuat naik kandungan tersebut mungkin adalah pilihan yang lebih selamat dan terbaik.

Ke arah perkongsian yang berhemah

Kanak-kanak secara semula jadi adalah kreatif dan suka menonjolkan diri. Dunia digital memberi ruang untuk menyalurkan kreativiti ini. Namun, peranan orang dewasa amat penting untuk memastikan penyertaan kanak-kanak tidak berubah menjadi pendedahan berlebihan atau eksploitasi.

Bagi keluarga di Malaysia, persoalannya bukan sama ada anak boleh muncul dalam kandungan digital, tetapi bagaimana ia boleh dilakukan secara berhemah, beretika, dan bertanggungjawab. Dengan menitikberatkan privasi, maruah dan hak anak, kita boleh memastikan dunia digital kekal sebagai ruang selamat untuk mereka membesar, bukan sebagai tempat mereka kehilangan zaman kanak-kanak.