Daripada budaya ‘kena tahan’ kepada budaya mengutamakan kesejahteraan

Burnout semakin menjadi cabaran dalam dunia pekerjaan moden. Organisasi dan pekerja perlu bersama-sama membina budaya kerja yang menyokong kesejahteraan mental.

Feature Image


  

SELAMA bertahun-tahun, dunia pekerjaan sering mengagungkan konsep ketahanan diri. Pekerja yang mampu bekerja melebihi masa, menanggung tekanan tinggi, dan sentiasa bersedia menerima cabaran tanpa mengeluh kerap diangkat sebagai individu yang paling berdedikasi.

Namun, penyelidikan terkini membuktikan bahawa ketahanan tanpa sokongan sistem yang baik sebenarnya boleh menjadi perangkap. Seseorang mungkin kelihatan sangat kuat dan cekap di luar, tetapi pada masa yang sama sedang bergelut dengan keletihan emosi yang telah berakar di dalam ibarat api dalam sekam.

Kelelahan emosi atau burnout hadir sebagai peringatan mesra bahawa manusia mempunyai had tertentu. Produktiviti yang mampan dan berpanjangan tidak boleh dibina di atas tiket tekanan yang berterusan, sebaliknya memerlukan keseimbangan yang saksama antara pencapaian kerja dan kesejahteraan psikologi.

Pemahaman ini amat penting kerana ia mengubah sudut pandang masyarakat secara menyeluruh. Burnout bukan sekadar masalah tuntutan peribadi individu yang perlu sentiasa menjadi lebih kuat sebaliknya berkait rapat dengan cara organisasi membentuk persekitaran dan budaya kerja seharian yang lebih sihat dan manusiawi.

Dalam era perubahan teknologi yang pantas, kepesatan kecerdasan buatan, dan persaingan ekonomi global, cabaran terhadap kesejahteraan pekerja dijangka akan terus meningkat. Persoalan utama hari ini bukan lagi sama ada burnout itu wujud atau tidak, tetapi bagaimana masyarakat dan organisasi memilih untuk bertindak balas terhadapnya.

Adakah kita mahu terus menganggap keletihan melampau sebagai “harga” yang wajib dibayar untuk sebuah kejayaan, atau kita bersedia membina budaya kerja baharu yang mengiktiraf bahawa pekerja yang sihat secara mental merupakan asas utama kepada organisasi yang cemerlang?

Daripada pengurusan prestasi kepada pengurusan kesejahteraan

Organisasi memegang peranan utama dalam mencegah burnout memandangkan sebahagian besar puncanya berakar daripada struktur dan budaya tempat kerja itu sendiri. Pihak pengurusan dan majikan perlu mula beralih daripada pendekatan yang hanya mengukur output semata-mata kepada pendekatan yang turut mengambil kira kebajikan manusia yang menghasilkan output tersebut.

Beban kerja yang tidak realistik merupakan antara penyumbang utama kepada isu ini. Maka, organisasi perlu menilai semula sasaran prestasi agar ia selari dengan kapasiti sebenar pekerja. Lambakan tugas yang terlalu banyak dalam tempoh singkat bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental, bahkan meningkatkan risiko kesilapan dan merosakkan kualiti kerja.

Pada masa yang sama, pembentukan budaya komunikasi terbuka amat diperlukan supaya pekerja berasa selamat untuk menyuarakan tekanan tanpa perlu dibayangi rasa takut dilabel sebagai tidak kompeten.

Tidak ketinggalan, usaha memperkukuh sokongan psikologi juga tidak seharusnya dipandang remeh. Program kesejahteraan pekerja tidak sepatutnya sekadar berbentuk ceramah motivasi sekali-sekala. Intervensi yang benar-benar berkesan perlu menyediakan akses berterusan kepada perkhidmatan kaunseling, latihan pengurusan tekanan, sokongan rakan sekerja, serta persekitaran yang menghargai keseimbangan hidup.

Meskipun organisasi memikul tanggungjawab yang besar, individu juga mempunyai ruang untuk mengambil langkah proaktif dalam melindungi kesejahteraan diri. Langkah pertama yang paling kritikal ialah keupayaan untuk mengenali tanda awal burnout.

Kebanyakan individu hanya mula mencari bantuan apabila keadaan emosi dan fizikal sudah berada di tahap yang kritikal. Kesedaran awal membolehkan penyesuaian dilakukan sebelum keletihan emosi menjadi lebih parah.

Contoh amalan asas yang membantu membina semula tenaga termasuklah menetapkan sempadan yang jelas antara waktu kerja dan kehidupan peribadi, mengambil masa rehat secara berkualiti tanpa diiringi rasa bersalah, serta memastikan kualiti tidur yang mencukupi.

Selain itu, melakukan aktiviti fizikal secara konsisten, mengekalkan hubungan sosial yang positif, dan sentiasa membuat refleksi terhadap nilai serta matlamat hidup dapat mengukuhkan ketahanan emosi. Sekiranya tekanan yang dialami mula mengganggu fungsi harian, tindakan untuk mendapatkan bantuan profesional merupakan tindakan yang amat wajar dan bukanlah suatu kelemahan atau kegagalan.

Sebagai penutup, burnout ialah amaran jelas bahawa keseimbangan kehidupan telah terganggu. Ia bukan sekadar rasa penat selepas minggu kerja yang panjang, tetapi isyarat bahawa tenaga emosi dan psikologi telah digunakan melebihi kemampuan untuk dipulihkan.

Berhenti seketika bukanlah tanda gagal, meminta bantuan bukan kelemahan, dan menjaga diri sendiri bukannya tindakan mementingkan diri. Kejayaan sebenar dicapai apabila seseorang bukan sahaja mampu bertahan, malah boleh berkembang dalam persekitaran yang sentiasa menghormati nilai-nilai kemanusiaan.