Berbeza pandangan jangan sampai berpecah saudara

Perbezaan pandangan dalam agama dan kehidupan tidak semestinya membawa perpecahan. Sikap taasub, ego dan kecenderungan kelompok perlu diurus dengan ilmu, adab dan persaudaraan.

Feature Image (2)

DALAM kehidupan masyarakat hari ini, kita sering melihat sesuatu yang cukup membimbangkan. Kita mudah bersatu apabila berdepan ancaman dari luar, tetapi kadangkala sukar untuk duduk semeja apabila berdepan perbezaan sesama sendiri.

Perbezaan pandangan dalam agama, politik, mazhab, organisasi, pendekatan dakwah atau isu semasa boleh bertukar menjadi pertengkaran, saling melabel, menghukum dan akhirnya memutuskan hubungan. Lebih menyedihkan apabila perbezaan itu berlaku sesama Muslim yang sepatutnya terikat dengan persaudaraan Islam. Persoalannya, mengapa kita begitu mudah berpecah hanya kerana berbeza pandangan?

Dari sudut psikologi, manusia mempunyai kecenderungan untuk membina identiti berdasarkan kelompok. Kita berasa lebih selesa apabila bersama individu yang mempunyai pemikiran, nilai dan pandangan yang sama. Keadaan ini dikenali sebagai ingroup bias, iaitu kecenderungan memberikan penilaian lebih positif kepada kelompok sendiri berbanding kelompok lain.

Apabila kecenderungan ini menjadi keterlaluan, lahirlah mentaliti “kami” dan “mereka”. Kelompok sendiri dianggap sentiasa benar, manakala kelompok lain mudah dilihat sebagai salah. Apabila kecintaan kepada kelompok mengatasi kecintaan kepada kebenaran, di situlah perpaduan mula retak.

Al-Quran sudah memberi amaran

Allah SWT memberikan peringatan yang sangat jelas dalam Surah Ali-Imran ayat 103: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” Ayat ini bukan sekadar seruan supaya umat Islam berkumpul secara fizikal, tetapi mengandungi tuntutan supaya mereka berpegang kepada asas agama yang menyatukan hati.

Ibn Kathir ketika menghuraikan ayat ini menjelaskan bahawa perintah berpegang teguh kepada tali Allah berkait dengan berpegang kepada agama dan petunjuk-Nya, manakala larangan berpecah menunjukkan kepentingan menjaga kesatuan umat serta menjauhi perkara yang membawa kepada perpecahan.

Ayat tersebut turut mengingatkan umat Islam tentang perubahan daripada permusuhan kepada persaudaraan apabila hati disatukan dengan petunjuk Allah. Ini menunjukkan bahawa perpaduan bukan sekadar hasil usaha sosial, tetapi juga satu nikmat Allah yang perlu dipelihara.

Dari sudut psikologi pula, hubungan yang kukuh terbina apabila manusia mempunyai rasa percaya, identiti bersama dan keupayaan mengawal emosi ketika berlaku konflik. Justeru, ajaran Islam dan prinsip psikologi bertemu pada satu titik penting, iaitu manusia perlu belajar mengurus perbezaan supaya perbezaan tidak berubah menjadi permusuhan.

Dalam konteks ini, taasub perlu diberikan perhatian. Taasub menjadi berbahaya apabila kecintaan kepada individu, tokoh, organisasi atau aliran menyebabkan seseorang mempertahankan kelompoknya walaupun berhadapan dengan kesilapan. Kita mungkin pernah melihat seseorang menolak pandangan yang benar hanya kerana ia datang daripada pihak yang tidak disukainya, tetapi menerima pandangan yang sama apabila disampaikan oleh tokoh atau kelompok yang diminatinya. Ini bukan lagi persoalan mencari kebenaran, tetapi kecenderungan mempertahankan identiti kelompok.

Psikologi menjelaskan bahawa manusia cenderung mencari maklumat yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada, suatu kecenderungan yang sering dikaitkan dengan confirmation bias. Media sosial pula boleh memperkuatkan keadaan ini apabila seseorang sentiasa terdedah kepada kandungan yang selari dengan pandangan sendiri. Akhirnya terbentuk “gelembung pemikiran” sehingga seseorang merasakan bahawa hanya kelompoknya yang benar. Kita bukan lagi mencari kebenaran; kita mencari alasan untuk membenarkan diri sendiri.

Mempertahan agama atau mempertahan ego?

Kita juga perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita benar-benar mempertahankan agama atau sebenarnya sedang mempertahankan ego? Ada kalanya kita berdebat bukan untuk mencari kebenaran, tetapi untuk membuktikan bahawa kita lebih bijak. Kita membaca bukan untuk memahami, tetapi untuk mencari hujah bagi menyerang orang lain. Kita menulis komen bukan untuk memberikan pencerahan, tetapi untuk memalukan pihak yang berbeza. Akhirnya, agama yang sepatutnya mendidik jiwa menjadi medan untuk membesarkan ego.

Dalam Islam, kebenaran tidak boleh dipisahkan daripada akhlak. Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam supaya menjauhi prasangka, mencari-cari kesalahan, hasad, kebencian dan saling membelakangi, sebaliknya menjadi hamba Allah yang bersaudara. Hadis ini sangat relevan apabila dilihat dari sudut psikologi kerana prasangka yang tidak dikawal boleh menjadi pencetus konflik. Apabila kita sudah mempunyai tanggapan negatif terhadap seseorang, kita cenderung mentafsir tindakan orang itu secara negatif walaupun niat sebenarnya mungkin berbeza.

Islam tidak mengajar umatnya untuk menjadi manusia yang seragam dalam semua perkara. Perbezaan pandangan dalam perkara tertentu telah wujud dalam tradisi keilmuan Islam sejak dahulu. Para ulama berbeza pandangan dalam pelbagai persoalan fiqh dan pendekatan ilmiah, namun perbezaan tersebut tidak sepatutnya menghilangkan adab dan persaudaraan. Perbezaan yang lahir daripada ilmu perlu diraikan dengan adab, manakala perbezaan yang berpunca daripada ego perlu diperbetulkan dengan muhasabah.

Kita perlu membezakan antara khilaf yang membina dengan perpecahan yang merosakkan. Khilaf boleh membuka ruang perbincangan, penelitian dan perkembangan ilmu. Sebaliknya, perpecahan menjadikan manusia saling membenci, mencurigai dan menjauhkan diri. Masalah bukan semata-mata kerana kita berbeza, tetapi kerana kita gagal mengurus perbezaan dengan akhlak.

Dalam masyarakat yang semakin kompleks, kita perlu belajar untuk tidak bersetuju dengan orang lain secara beradab. Individu yang matang secara psikologi mampu menerima bahawa dirinya mungkin tersilap, pengetahuannya mungkin terbatas dan pandangan orang lain mungkin mempunyai asas tertentu. Mengakui kemungkinan diri sendiri salah bukan tanda kelemahan, tetapi tanda kematangan dan kerendahan hati.

Kita boleh berkata, “Saya tidak bersetuju dengan pandangan anda, tetapi saya tetap menghormati anda.” Ayat ini mungkin nampak mudah, tetapi ia memerlukan jiwa yang besar. Kita tidak perlu menjadikan setiap perbezaan sebagai pertandingan untuk menentukan siapa menang dan siapa kalah. Ada ketika kita perlu mempertahankan prinsip, tetapi pada masa yang sama tetap memelihara hubungan.

Jangan korbankan saudara kerana sebuah perdebatan

Perkara yang sama berlaku dalam kehidupan keluarga, persahabatan dan organisasi. Ada adik-beradik yang bermusuhan kerana perbezaan pandangan, sahabat yang putus hubungan kerana politik dan rakan sekerja yang tidak lagi bertegur kerana perbezaan pendekatan. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah isu yang kita pertahankan itu benar-benar lebih besar daripada hubungan yang telah dibina bertahun-tahun?

Tidak semua perbezaan perlu dimenangi. Ada perbezaan yang hanya perlu difahami, ada perdebatan yang lebih baik dihentikan dan ada perkara yang lebih baik diserahkan kepada Allah. Kadangkala kita terlalu sibuk mahu menang dalam perdebatan sehingga terlupa bahawa menang hujah tetapi kehilangan saudara bukanlah kemenangan yang sebenar.

Hakikatnya, perpaduan bukan bermaksud semua orang mesti sama. Perpaduan bermaksud kita mampu hidup bersama walaupun berbeza. Sebuah taman menjadi indah bukan kerana hanya mempunyai satu jenis bunga, tetapi kerana pelbagai bunga dapat tumbuh dalam ruang yang sama. Begitu juga umat Islam yang mempunyai perbezaan latar belakang, pengalaman, ilmu dan pendekatan, tetapi tetap mempunyai asas yang menyatukan iaitu akidah, al-Quran, Rasulullah SAW dan persaudaraan sesama Muslim.

Jangan kerana perbezaan cabang, kita merosakkan akar. Jangan kerana perbezaan pandangan, kita memutuskan persaudaraan. Jangan kerana taasub kepada individu, kita melupakan prinsip. Dan jangan kerana mahu membuktikan bahawa kita benar, kita menyebabkan orang lain membenci agama.

Akhirnya, kita perlu menyedari bahawa semua perdebatan akan berakhir. Gelaran akan ditinggalkan, jawatan akan ditinggalkan, kelompok akan ditinggalkan dan media sosial juga akan ditinggalkan. Yang akan kita bawa hanyalah amal ketika menghadap Allah SWT.

Maka sebelum kita terlalu sibuk mencari kesalahan orang lain, tanyakan kepada diri sendiri: adakah hati kita semakin dekat dengan Allah atau semakin jauh kerana terlalu sibuk membenci manusia? Apakah kita sedang membela agama atau sekadar membela ego? Apakah kita sedang mencari kebenaran atau sekadar mahu membuktikan bahawa kita sentiasa benar?

Kekuatan umat bukan terletak pada kemampuan kita memenangkan setiap pertengkaran, tetapi pada kemampuan kita memelihara persaudaraan walaupun berbeza pandangan. Berbeza tidak semestinya bermusuh. Tidak bersetuju tidak semestinya membenci. Mempertahankan kebenaran tidak semestinya mengorbankan persaudaraan. Jangan sampai kita menang hujah, tetapi kalah sebagai umat.