Pertumbuhan Memerlukan Lebih Daripada Insentif — Ia Memerlukan Penginapan Pekerja
Oleh Datuk Eric Ng
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, ISP Group of Companies
Ketika Malaysia bersiap sedia menghadapi Belanjawan 2027, tumpuan terhadap usaha mengekalkan pelaburan, memperkukuh daya saing ekonomi dan mewujudkan pekerjaan berkualiti amat bertepatan dengan masanya. Namun, ketika negara melangkah ke fasa pertumbuhan perindustrian yang seterusnya, perhatian juga perlu diberikan kepada infrastruktur dan ekosistem sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan ini dapat merealisasikan potensi ekonominya sepenuhnya.
Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam menarik pelaburan dalam sektor pembuatan, logistik dan industri lain. Cabaran seterusnya adalah untuk memastikan negara mempunyai kapasiti bagi menyokong pertumbuhan ini, bukan sahaja melalui taman perindustrian dan infrastruktur fizikal, malah melalui kemudahan utiliti yang boleh dipercayai, jaringan perhubungan, kemudahan tenaga kerja dan pembangunan mampan. Jumlah pekerja asing berkemahiran rendah di Malaysia dianggarkan mencecah 2.5 juta orang pada 2024, manakala data industri menunjukkan kadar penghunian penginapan pekerja berstruktur di seluruh negara telah melebihi 90%. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa bekalan penginapan masih belum dapat memenuhi keperluan perkembangan sektor perindustrian.
Pertama, infrastruktur tenaga kerja perlu diiktiraf sebagai komponen penting dalam perancangan perindustrian. Pelaburan industri bergantung pada ketersediaan tenaga kerja yang stabil dan produktif. Namun, penginapan pekerja sering dianggap sebagai perkara yang berasingan daripada pembangunan industri. Pendekatan yang lebih bersepadu, iaitu dengan merancang Penginapan Pekerja Binaan Khas (Purpose-Built Workers’ Accommodation atau PBWA) seiring dengan pembangunan industri, dapat memastikan perniagaan mempunyai akses kepada kemudahan tenaga kerja yang sesuai, di samping mengurangkan tekanan terhadap komuniti setempat.
Jurang yang wujud amat ketara. Ketika Kementerian Sumber Manusia kali terakhir menilai tahap pematuhan penginapan pekerja di seluruh negara, lebih 90% penginapan pekerja asing didapati tidak memenuhi piawaian minimum yang ditetapkan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). Selain itu, kajian Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (International Organization for Migration) pada 2023 mendokumentasikan kes yang melibatkan 30 hingga 40 pekerja berkongsi ruang yang sepatutnya menempatkan 10 orang sahaja. Ini merupakan jurang yang bersifat struktural dan bukan sekadar isu penguatkuasaan. Masalah ini tidak akan dapat diatasi tanpa perancangan yang terancang dan menyeluruh.
Kedua, Belanjawan 2027 boleh menggalakkan pelaburan dalam penginapan pekerja yang berkualiti dan mampan. Tumpuan tidak seharusnya diberikan semata-mata kepada peningkatan kapasiti penginapan, sebaliknya perlu merangkumi penyediaan persekitaran kediaman yang memenuhi piawaian sewajarnya dari segi keselamatan, kebersihan dan kesejahteraan pekerja.
Struktur insentif dua peringkat boleh mempercepatkan usaha ini. Dalam jangka pendek, peluasan potongan cukai bagi perbelanjaan modal dan operasi berkaitan PBWA, sepertimana Vietnam yang membenarkan kos sewaan penginapan pekerja ditolak sebagai perbelanjaan perniagaan bagi perusahaan yang beroperasi di zon perindustrian, boleh menjadi langkah awal yang berkos rendah dan dapat dilaksanakan dengan pantas.
Sebagai langkah utama jangka sederhana, Malaysia boleh memperkenalkan Elaun Cukai Pelaburan (Investment Tax Allowance) khusus di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi pembangunan PBWA yang mendapat pensijilan GreenRE. Insentif ini boleh dijadikan penanda aras berdasarkan insentif perumahan mampu milik oleh Lembaga Pelaburan Thailand, yang memberikan pengecualian cukai pendapatan korporat selama tiga tahun ke atas kos infrastruktur dan kawasan bersama, selain pengecualian duti import bagi jentera berkaitan untuk projek yang memenuhi syarat kualiti dan harga yang ditetapkan. Insentif yang disusun dengan pendekatan serupa dan dikaitkan dengan pensijilan akan memberikan Malaysia instrumen yang setanding untuk menggalakkan peralihan pasaran daripada sekadar memenuhi keperluan minimum kepada penyediaan penginapan berkualiti yang diperakui.
Ketiga, Malaysia perlu menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur lebih awal sebelum permintaan meningkat. Ketika persaingan untuk menarik pelaburan serantau semakin sengit, keupayaan menawarkan ekosistem perindustrian yang lengkap dan disokong dengan kemudahan yang baik boleh menjadi kelebihan daya saing. Galakan kepada pemaju untuk melabur secara proaktif dalam infrastruktur perindustrian dan kemudahan sokongan akan membolehkan Malaysia bertindak balas dengan lebih pantas terhadap peluang pelaburan baharu, berbanding hanya menangani kekangan kapasiti selepas permintaan muncul.
Johor menggambarkan kepentingan perkara ini. Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dijangka menarik pelaburan industri baharu dalam jumlah yang besar, sedangkan negeri itu sudah pun mencatatkan antara jurang bekalan dan permintaan penginapan pekerja yang terbesar di negara ini. Penyediaan infrastruktur yang lebih pantas juga bergantung pada penyelarasan pembangunan jalan raya, utiliti, pengangkutan awam, jaringan perhubungan digital dan penginapan pekerja secara serentak. Pada masa yang sama, satu pusat rujukan yang menyelaras kelulusan PBWA antara pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri perlu diwujudkan. Pendekatan ini selari dengan peranan langsung Kementerian Tenaga Manusia Singapura dalam perancangan asrama pekerja bagi mengurangkan kelewatan dan meningkatkan kepastian dalam proses perancangan.
Belanjawan 2027 merupakan peluang untuk melihat melangkaui insentif dan langkah percukaian, dengan memberikan perhatian kepada asas yang menyokong pertumbuhan perindustrian mampan. Malaysia telah membuktikan keupayaannya menarik pelaburan. Langkah seterusnya adalah memastikan ekosistem sokongan, infrastruktur, perumahan tenaga kerja dan pembangunan mampan turut tersedia bagi menyokong pertumbuhan tersebut.
Akhirnya, kejayaan fasa pertumbuhan perindustrian Malaysia yang seterusnya bukan sahaja harus diukur berdasarkan jumlah pelaburan yang berjaya ditarik, tetapi juga melalui infrastruktur, ekosistem tenaga kerja dan asas pembangunan mampan yang dibangunkan bagi memastikan pelaburan tersebut menjana nilai ekonomi jangka panjang.
