Kelelahan emosi perlukan intervensi organisasi
Burnout bukan sekadar tanda kelemahan diri, sebaliknya berkait rapat dengan beban tugas, tekanan kerja dan sokongan organisasi. Fenomena ini boleh menjejaskan kesihatan fizikal, kesejahteraan emosi serta hubungan kekeluargaan.

KESEDARAN terhadap isu kesihatan mental dan burnout semakin mendapat tempat dalam perbincangan harian. Namun demikian, tanggapan sebahagian masyarakat yang masih mengaitkan fenomena ini dengan sikap “kurang tahan tekanan” atau “tidak komited terhadap tugas” menyebabkan ramai individu memilih untuk memendam keletihan emosi mereka. Kebimbangan dilabel sebagai individu yang lemah atau tidak profesional kerap menjadi penghalang untuk mereka tampil mendapatkan sokongan yang diperlukan.
Dapatan kajian akademik membuktikan bahawa tekanan di tempat kerja dalam kalangan masyarakat tempatan berada pada tahap yang membimbangkan. Berdasarkan kajian serantau yang diterbitkan dalam Frontiers in Public Health (2024) membabitkan 4,338 pekerja sepenuh masa di Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Filipina, prevalens burnout keseluruhan merekodkan kadar 62.9 peratus.
Bagi Malaysia secara spesifik, prevalens yang dicatatkan adalah sebanyak 58.1 peratus. Angka ini secara jelas menunjukkan bahawa lebih separuh daripada tenaga kerja tempatan mengalami simptom keletihan emosi dan mental. Kajian tersebut turut mengesahkan hubungan signifikan antara burnout dengan kecenderungan peningkatan masalah kemurungan, keresahan, serta tekanan psikologi.
Tambahan pula, laporan persekitaran kerja terkini menandakan peningkatan ketara dalam kadar burnout, dengan golongan milenial serta Generasi Z dikenal pasti sebagai kumpulan yang paling terkesan. Sejajar dengan perkara ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa faktor persekitaran kerja yang kurang sihat, ketidakcukupan sokongan organisasi, beban tugas berlebihan, dan waktu kerja yang panjang merupakan penyumbang utama kepada kemerosotan kesejahteraan psikologi pekerja.
Bagi golongan pekerja muda berumur antara 18 hingga 30 tahun, risiko mengalami tekanan, keresahan, dan kemurungan didapati lebih tinggi berbanding pekerja yang lebih berusia. Situasi ini dipengaruhi oleh faktor ketidakstabilan laluan kerjaya, ketiadaan kepastian ekonomi, cabaran kewangan, serta tahap sokongan psikososial yang terhad dalam persekitaran kerja.
Implikasi terhadap kesihatan fizikal dan hubungan domestik
Kesan daripada burnout tidak terhenti apabila seseorang itu meninggalkan premis perniagaan atau pejabat. Keletihan emosi yang terkumpul lazimnya terbawa-bawa ke ruang domestik, sekali gus menjejaskan dinamik hubungan bersama pasangan, anak-anak, dan ahli keluarga. Keadaan emosi yang tidak stabil, kepincangan tahap kesabaran, serta kecenderungan untuk mengasingkan diri boleh menghakis kualiti hubungan kekeluargaan dalam jangka masa panjang.
Daripada perspektif fisiologi, tekanan kronik memicu rembesan hormon kortisol secara berpanjangan. Pelepasan hormon tekanan ini secara berterusan dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi, gangguan tidur, penyakit gastrousus, serta penurunan fungsi sistem imun tubuh. Oleh yang demikian, burnout membawa implikasi yang mendalam terhadap kesihatan fizikal dan bukannya terhad kepada aspek emosi semata-mata.
Anjakan strategi
Pendekatan pencegahan yang hanya berfokus kepada strategi individu seperti tuntutan untuk sentiasa berfikiran positif atau pengurusan masa semata-mata dilihat tidak memadai untuk menangani punca utama permasalahan. Memandangkan burnout terhasil daripada interaksi kompleks antara individu dengan persekitaran kerjanya, langkah penyelesaian yang komprehensif dan holistik amat diperlukan.
Pada peringkat organisasi, pembaharuan berasaskan bukti penyelidikan merangkumi penyesuaian beban kerja mengikut kapasiti sebenar pekerja, peningkatan autonomi dalam membuat keputusan, penyediaan sokongan penyeliaan yang berkualiti, serta pembentukan budaya komunikasi yang terbuka boleh diaplikasikan. Di samping itu, pengiktirafan yang adil dan penyediaan akses kepada perkhidmatan sokongan psikologi seperti Program Bantuan Pekerja (EAP) terbukti mampu meningkatkan komitmen dan produktiviti tenaga kerja.
Seterusnya dalam konteks individu pula, amalan gaya hidup sihat seperti penjagaan kualiti tidur, aktiviti fizikal yang konsisten, penetapan sempadan yang jelas antara kerjaya dan kehidupan peribadi, serta peningkatan sokongan sosial dilihat penting sebagai langkah pelindung yang ampuh.
Kesimpulannya, burnout bukan sekadar isu ketiadaan ketahanan peribadi, sebaliknya merupakan cerminan kepada budaya dan sistem kerja sesebuah organisasi. Kewujudan tempat kerja yang berprestasi tinggi bergantung kepada persekitaran yang membolehkan sumber manusia berkembang dan mengekalkan kesejahteraan secara holistik dan berkelangsungan.

