SENADA’26 UTM perkenal khazanah sejarah dan budaya Johor kepada mahasiswa Nusantara
SENADA’26 UTM menghimpunkan mahasiswa Indonesia untuk meneroka sejarah, warisan dan budaya Johor menerusi pertukaran ilmu serta pengalaman akademik serantau.
KUALA LUMPUR, 5 November 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi program Synergy Exchange Nusantara: Academic Discovery & Adventure 2026 (SENADA’26) memperkenalkan khazanah sejarah, warisan dan budaya Johor kepada mahasiswa dari Indonesia dalam usaha memperkukuh hubungan serantau menerusi pertukaran ilmu dan pengalaman.
Program selama 18 hari bermula 30 Okt hingga 16 Nov itu dianjurkan Majlis Felow dan Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Dr. Ismail, UTM, sebagai sebahagian daripada inisiatif aspirasi 1 Kolej 1 ASEAN yang menggabungkan pengisian akademik, penerokaan budaya dan mobiliti antarabangsa.
SENADA’26 dirasmikan Naib Canselor UTM Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim pada 1 Nov di Dewan Banquet, UTM Johor Bahru.
Beliau berkata penganjuran program itu turut menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya teras Global Talent yang memberi penekanan kepada peluang mobiliti antarabangsa bagi memperluas pengalaman pembelajaran serta membina jaringan serantau.

Menurut beliau, penglibatan institusi berbeza turut membuka peluang kepada mahasiswa meneroka teknologi dan inovasi menerusi perkongsian kepakaran serta pengalaman dalam perspektif yang lebih luas.
Antara pengisian awal program ialah lawatan mahasiswa dari Universitas Tanjungpura (UNTAN) dan Universitas Syiah Kuala (USK) ke Muzium Tokoh Johor dan Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar bagi mengenali sejarah, seni, budaya serta tradisi masyarakat negeri itu.
Menerusi kunjungan ke Muzium Tokoh Johor, peserta didedahkan kepada sejarah negeri berkenaan melalui kisah dan sumbangan tokoh yang memainkan peranan dalam membentuk pembangunan serta identiti Johor.
Lawatan ke Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar pula memberi peluang kepada peserta menghayati keunikan warisan seni, budaya dan tradisi masyarakat tempatan.
Pengarah Program SENADA’26 Nur Shuhada Nordin berkata program itu dirangka bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada peserta, bukan hanya melalui pengisian akademik, malah menerusi pendedahan kepada sejarah dan kehidupan masyarakat setempat.

“Kami berharap setiap peserta pulang dengan pengalaman yang lebih luas, selain dapat mengenali Johor melalui sejarah, budaya dan masyarakatnya serta membina hubungan bermakna dengan rakan-rakan serantau,” katanya.
Penganjuran program itu turut mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Yang Berhormat Tuan Pannir Selvam, Yayasan Warisan Johor, UTM International, UTM Holdings, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Kopi 434.
Sepanjang tempoh penganjuran, peserta turut mengikuti pelbagai aktiviti pembelajaran, perkongsian akademik, program kebudayaan dan penglibatan bersama komuniti tempatan di sekitar Johor.
SENADA’26 diharap dapat menjadi platform memperkukuh hubungan mahasiswa Nusantara, selain meningkatkan penghargaan terhadap persamaan dan kepelbagaian budaya melalui perkongsian ilmu serta warisan serumpun.
