MEVTA: Perketat Penguatkuasaan Penjualan Vape, Bukan Laksana Pengharaman Menyeluruh
KUALA LUMPUR, 6 November 2026: Kerajaan perlu memperketat penguatkuasaan terhadap penjualan produk vape yang tidak mematuhi peraturan, khususnya menerusi platform dalam talian dan saluran tidak sah, berbanding mengambil pendekatan pengharaman menyeluruh.
Presiden Persatuan Pengusaha Rokok Elektronik dan Alternatif Malaysia (MEVTA), Mohamad Neezam Talib berkata, keberkesanan kawalan terhadap industri vape bergantung kepada pelaksanaan penguatkuasaan yang menyeluruh, termasuk tindakan terhadap pihak yang menjual produk tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau mempersoalkan keberkesanan pendekatan pengharaman sekiranya produk yang tidak mendapat kelulusan KKM masih mudah didapati di pasaran.
“Isu utama bukan sekadar sama ada sesuatu produk dibenarkan atau diharamkan, tetapi bagaimana kerajaan memastikan produk yang dijual mematuhi peraturan dan pihak yang melanggar undang-undang dikenakan tindakan.
“Jika produk yang tidak mendapat kelulusan KKM masih berleluasa di pasaran, apakah sebenarnya yang ingin dicapai melalui pengharaman?” katanya.
Menurutnya, penguatkuasaan ketika ini perlu turut memberi perhatian kepada penjual yang beroperasi menerusi platform dalam talian seperti Telegram dan WhatsApp, selain perniagaan yang tidak mempunyai premis sah.
Katanya, peniaga yang mempunyai premis berlesen tertakluk kepada peraturan dan pemantauan pihak berkuasa, termasuk larangan menjual produk kepada golongan bawah umur.
“Peniaga yang mempunyai premis berlesen mengambil maklum dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Namun, bagaimana pula dengan penjual dalam talian atau mereka yang menjalankan perniagaan tanpa premis yang sah?
“Kerajaan perlu memastikan semua saluran penjualan turut dipantau dan dikenakan tindakan yang sama tegas,” katanya.
Mengulas isu penggunaan vape dalam kalangan golongan muda, Mohamad Neezam berkata, masalah pelajar merokok sudah wujud sebelum produk vape diperkenalkan di pasaran.
Justeru, katanya, isu tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai masalah yang hanya berpunca daripada vape, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh bagi mengawal akses dan penjualan produk berkenaan.
Beliau turut menyifatkan penjualan produk tidak diluluskan menerusi saluran tidak sah sebagai antara cabaran utama yang perlu ditangani pihak berkuasa.
“Produk yang tidak mendapat kelulusan KKM masih boleh dijual melalui platform dalam talian, termasuk Telegram dan WhatsApp. Jadi, mengapa tidak memberikan lebih perhatian kepada saluran ini dan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak yang menjalankan penjualan secara haram?” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ketidaktentuan dasar serta perubahan peraturan yang kerap turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi dan perancangan perniagaan pemain industri.
Katanya, pemain industri memerlukan hala tuju kawal selia yang jelas dan konsisten bagi membolehkan mereka merancang operasi serta menjalankan perniagaan mengikut peraturan ditetapkan.
“Pemain industri berada dalam keadaan tidak menentu dan sentiasa mengharapkan supaya tiada lagi perubahan dasar secara drastik yang boleh menjejaskan perjalanan serta urusan perniagaan,” katanya.
