ISU mengenai ketiadaan persijilan halal oleh beberapa premis makanan daripada sistem rangkaian (francais) terkemuka negara telah mengejutkan pelbagai pihak terutama sekali dalam kalangan pelanggan beragama Islam yang pernah mengunjungi premis makanan tersebut.
Ketiadaan persijilan halal ini akan mengakibatkan timbulnya keraguan dan hilang keyakinan untuk mengunjungi premis makanan tersebut.
Isu syarikat premis makanan yang gagal mendapatkan sijil halal bukanlah suatu isu yang baru, malah ia juga masih berlaku dalam kalangan syarikat pengeluar produk makanan tempatan.
Sebagai negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan kaya dengan pelbagai juadah hidangan dan menu makanan, tentunya syarikat premis makanan akan mengambil peluang untuk menyediakan dan menjual makanan kepada pelanggan dengan menu atau produk makanan yang sesuai untuk dimakan oleh semua pelanggan, termasuk yang beragama Islam.
Malah, premis makanan dari sistem rangkaian francais popular ini membawa imej penjenamaan (branding) di mata pelanggan yang membuatkan pelanggan beranggapan bahawa makanan yang disediakan sudah tentu telah mendapat pengiktirafan halal, walaupun persepsi itu tenyata meleset.
Tidak semudah itu hanya dengan menilai imej penjenamaan memberi makna bahawa semua makanan dari premis makanan sistem rangkaian francais telah diiktiraf status halalnya.
Untuk mendapatkan persijilan halal, syarikat premis makanan perlu mematuhi segala undang-undang dan akta halal dan garis panduan penyediaan makanan halal yang ditetapkan oleh pihak Jakim.
Garis panduan makanan halal ini termasuk pembelian sumber bahan mentah daripada pemebekal yang diiktiraf halal, kaedah penyediaan dan pengendalian makanan, merekrut pekerja yang mengikuti garis panduan halal dan diberi kursus dan latihan halal.
Proses untuk mendapatkan persijilan halal itu bukan suatu proses yang mudah, malah ia memerlukan rasa tanggungjawab dan komitmen yang tinggi dari pihak pengurusan syarikat premis makanan tersebut.
Diikuti dengan kos yang harus ditanggung dalam proses mendapatkan sijil halal, maka tidak hairan sekiranya ada syarikat premis makanan yang tidak mengambil berat dalam isu mendapatkan persijilan halal ini.
Harus difahami bahawa majoriti perniagaan dalam sektor makanan adalah dipelopori oleh peniaga bukan beragama Islam, yang rata-ratanya mengamalkan perniagaan berdasarkan keperluan ekonomi dan keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan implikasi dan kesan terhadap masyarakat dan pelanggan beragama Islam khususnya.
Dalam konteks halal, ia memerlukan kefahaman terhadap konsep halal itu sendiri dan tujuan pelaksanaan untuk memenuhi tuntutan agama bagi pelanggan atau pengguna beragama Islam.
Munurut kajian mendapati bahawa pengetahuan dan sikap terhadap pematuhan piawaian Halal memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi syarikat terhadap pematuhan piawaian Halal dalam sektor makanan dan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan prestasi organisasi tersebut.
Bagaimanapun, pihak Halal autoriti seperti Jakim juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan dan memantau terhadap premis makanan di bawah sistem rangkaian (francais) dengan menggalakkan premis makanan mendapatkan persijilan halal dan sentiasa mengemaskini status halal selepas tamat tempoh.
Ini adalah ramai pengunjung restoran dan premis makanan dalam kalangan pelanggan beragama Islam yang beranggapan bahawa semua premis makanan daripada sistem rangkaian (francais) ini menyajikan makanan yang boleh dimakan oleh pelanggan disebabkan penjenamaan premis makanan tersebut.
Meskipun ada penjenamaan resepi makanan yang berasal dari luar negara, ditambah pula dengan pekerja restoran adalah beragama Islam, ia menambahkan lagi keyakinan para pelanggan bahawa premis makanan sistem rangkaian ini telah mendapat pengiktirafan halal oleh JAKIM.
Tanpa sijil halal, meskipun bahan mentah dibekalkan oleh pembekal yang diiktiraf halal, ia masih belum dapat memberi jaminan bahawa kualiti makanan yang disediakan adalah disahkan dan diiktiraf halal.
Peniaga premis makanan seharusnya tidak mengambil jalan mudah dan bersikap tidak acuh dalam mendapatkan persijilan halal memandangkan ramai pelanggan terdiri dalam kalangan pelangan beragama Islam.
Di zaman yang penuh kompetitif ini, seharusnya pihak premis makanan perlu lebih peka terhadap kepentingan memperoleh persijilan halal dalam meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan di samping meningkatkan kualiti makanan dan servis pelanggan.
Dari sudut pandangan Islam, tiada halangan untuk menjalankan perniagaan demi mencapai keuntungan yang disasarkan.
Namun, ia harus dijalankan dengan amalan perniagaan yang beretika tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan dan meletakkan risiko impak terhadap pihak ketiga.
Walaupun memperoleh sijil halal adalah bersifat secara sukarela, namun amalan perniagaan yang mengikut garis panduan halal adalah lebih didorong oleh faktor ekonomi, nilai dan prestasi kewangan yang memberangsangkan.
Namun, harus difahami bahawa menjalankan perniagaan halal juga adalah salah satu aktiviti menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, yang memenuhi gabungan aspek ekonomi, undang-undang dan etika.
Antara langkah yang perlu diambil untuk meningkatkan kesedaran dalam isu status halal ni adalah peranan penting oleh pihak pelanggan sendiri.
Di era kemajuan teknologi dan digital ini, seharusnya pelanggan lebih peka terhadap status halal premis makanan dengan membuat semakan status halal dengan melayari laman web portal Jakim terlebih dahulu sebelum mengunjungi sesuatu premis makanan tersebut.
Manakala dari sudut perspektif pengusaha premis makanan, sokongan yang kuat dan rasa tanggungjawab daripada pihak pengurusan dan mempunyai tadbirurus halal yang baik dalam mendapatkan persijilan halal adalah sangat dititikberatkan.
Tindakan ini adalah sangat wajar dan penting dalam menjaga peradaban dalam perniagaan, sebagai simbol solidariti dan rasa hormat terhadap sesama masyarakat dalam menyokong aspirasi dan hasrat Kerajaan memperkasakan rakyat melalui Ekonomi Madani dan Pelan Induk Industri Halal 2030 dalam meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi melalui industri halal.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.