DALAM dunia akademik yang semakin pesat berkembang, data sering dianggap sebagai raja.
Namun, apakah nilai sebuah data jika tiada penceritaan yang memberi makna?
Seperti buku yang tidak disertakan dengan sebuah penulisan yang menarik, angka dan fakta sahaja tidak cukup untuk menggerakkan hati dan minda pembaca.
Itulah kelebihan penyelidikan kualitatif – ia menyulami data dengan penceritaan yang mendalam, menjadikannya lebih ‘hidup’ dan tentunya relevan.
Jemputan sebagai penceramah kajian kualitatif di dua universiti awam di Republik Indonesia pada 5 September lalu ternyata mengeratkan hubungan antara pensyarah dan pelajar ijazah tinggi Malaysia dan Indonesia.
Sesi perbincangan yang membincangkan penyelidikan menggunakan kaedah kajian kualitatif berjaya menzahirkan kepentingan kajian yang lebih memahami kehidupan masyarakat setempat, budaya, dan adat.
Kunjungan pertama di Universitas Negeri Padang (UNP), Kota Padang, Indonesia berlangsung selama empat hari.
Sepanjang perjalanan menuju ke UNP dari Lapangan Terbang Minangkabau, pendekatan pemerhatian digunakan, dan komuniti tempatan di sana dilihat rancak melakukan aktiviti perniagaan (SME) di sepanjang bahu jalan dan persisiran pantai.
Dalam pemerhatian yang dibuat, tidak kelihatan jenama selain jenama tempatan dan ini menunjukkan dasar yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan serta menghadkan penglibatan perniagaan asing atau produk antarabangsa.
Kota Padang, yang sinonim dengan syurga makanan, kaya dengan aneka makanan laut yang dihidangkan bersama menu nasi padang, pastinya mempunyai penjenamaan yang tersendiri.
Perkongsian penyelidikan kualitatif di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan menjadi titik permulaan baru bagi para penyelidik di sana, termasuk pensyarah dan pelajar sarjana serta PhD, tentang penggunaan kaedah temu bual dan pemerhatian.
Rata-rata mereka menggunakan kaedah kajian kuantitatif yang lebih memfokuskan penggunaan nombor dan survei.
Untuk memahami secara mendalam isu yang dikaji, persoalan ‘how’ dan ‘why’ perlu disertakan bagi mengenal pasti punca masalah sebenar.
Ramai penyelidik yang hadir menyatakan keterujaan terhadap penggunaan kaedah temu bual mendalam untuk memahami sesuatu isu dan fenomena tetapi mereka kurang pasti tentang cara mengaplikasikan kaedah ini dengan lebih lanjut dan sama ada ia sesuai dengan bidang serta tajuk kajian mereka.
Perkongsian pada hari kedua menunjukkan para penyelidik semakin yakin dan memahami fungsi kaedah temu bual dan pemerhatian apabila mereka mula berkongsi tajuk kajian masing-masing serta cara kaedah kajian kualitatif boleh diaplikasikan.
Antara kajian yang dikongsikan termasuklah mengenal pasti faktor kejayaan peniaga kecil dan sederhana di sekitar Kota Padang, dengan kaedah temu bual mendalam sebagai pilihan pengumpulan data.
Semangat berkobar-kobar terhadap kaedah kajian kualitatif memuncak di Universitas Indonesia, Jakarta, apabila kebanyakan peserta sedang menjalankan kajian kualitatif di peringkat PhD.
Di sini, perkongsian tentang reka bentuk kajian kualitatif menjadi tumpuan utama.
Penggunaan kajian kes, fenomenologi, etnografi, naratif, atau penjanaan teori (grounded theory) menangkap perhatian peserta.
Program ini turut dibanjiri dengan soalan mengenai cara menganalisis temu bual mendalam, proses transkripsi temu bual dan bagaimana kaedah analisis tematik dihasilkan.
Ternyata acara selama dua hari yang memperuntukkan lebih kurang satu jam setengah bagi setiap tajuk perkongsian tidak mencukupi untuk membahaskan kaedah kajian kualitatif secara menyeluruh.
Di akhir program di kedua-dua universiti, pihak hos menzahirkan minat untuk meneruskan usaha sama dalam kolaborasi kajian dan perkongsian yang lebih mendalam tentang analisis kajian kualitatif yang akan direncanakan kemudian.
Di sini, kemahiran komunikasi menjadi penghubung kerjasama dua hala antara penyelidik dan hos universiti, di mana komunikasi merupakan salah satu kriteria penting dalam kaedah kajian kualitatif.
Keberadaan di negara jiran ini memperlihatkan kepelbagaian budaya dan masyarakat yang datang dari rumpun yang sama tetapi menjalani kehidupan unik tersendiri.
Selama seminggu di negara garuda ini, dua kepulauan yang dilawati—Jawa dan Sumatera memperlihatkan kecantikan dan keunikan bahasa, makanan serta kawasan ikonik pelancongan yang berjaya dirakam dalam pemerhatian kualitatif penyelidik.
Ternyata kemahiran kualitatif diamalkan dalam kehidupan seharian dan kemudian ditulis menjadi sebuah karya yang hebat, sama ada fiksyen atau tidak, bergantung pada minat dan pengetahuan si pemerhati. Kunci penyelidikan kualitatif adalah penceritaan, penceritaan seakan-akan memberi jiwa kepada data kajian.
Penceritaan atau naratif yang jelas dan mendalam secara langsung mampu menghasilkan karya akademik yang menarik minat pembaca sekali gus meningkatkan petikan sumber (citations) penulis.
Penggunaan kaedah kualitatif yang berbentuk penceritaan atau kuantitatif yang bersifat pengiraan tidak seharusnya menjadi perbahasan mana yang lebih bagus.
Sebaliknya, kedua-dua kaedah ini perlu dilihat dari segi bagaimana ia dapat digabungkan dan dimanfaatkan bersama dalam pengumpulan data dan penulisan hasil kajian yang lebih berkualiti serta layak diterbitkan di jurnal akademik berwasit tinggi.
Kesimpulannya, data tanpa penceritaan ibarat buku tanpa tulisan manakala penceritaan tanpa data ibarat bualan kosong di kedai kopi.
Setiap kaedah penyelidikan mempunyai kekuatan dan keunikannya tersendiri dan menjadi tugas penyelidik untuk menemukan kaedah yang paling sesuai dalam menjawab persoalan kajian.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.