Yayasan Haji Zainuddin ceriakan sambutan Deepavali kanak-kanak kurang bernasib baik

KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2024 – Yayasan Haji Zainuddin (YHZ) menunjukkan kepedulian terhadap kanak-kanak kurang bernasib baik yang sering terpinggir daripada kemeriahan perayaan budaya.

Menjelang perayaan Deepavali yang bakal tiba, YHZ telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program sambutan praDeepavali pada 26 Oktober 2024 bagi meraikan 56 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Sri Saradha Devi Illam (2).

Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan kegembiraan kepada mereka dalam suasana perayaan, di samping menyemarakkan semangat perpaduan dan kasih sayang dalam komuniti.

Sepanjang program berlangsung, kanak-kanak yang diraikan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti bertemakan Deepavali yang telah mencipta kenangan bermakna.

Mereka merasai pengalaman menghasilkan kolam berwarna-warni, menyediakan manisan laddu dan mewarna lampu tanah liat di bawah bimbingan Velindran, seorang instruktur kebudayaan berpengalaman.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memperkenalkan mereka kepada kekayaan budaya dan tradisi tetapi juga mendidik mereka tentang elemen-elemen penting dalam sambutan Deepavali, sekali gus menyuntik rasa bangga dan cinta terhadap warisan budaya mereka.

Kanak-kanak yang diraikan juga dijamu dengan hidangan nasi daun pisang yang autentik, menyediakan mereka pengalaman kulinari yang unik dan sering dikaitkan dengan sambutan Deepavali.

Program ini diakhiri dengan sesi bergambar dan pemberian cenderamata kepada kanak-kanak yang diraikan, oleh Ketua Pegawai Eksekutif YHZ, Iqbal Abdul Rahim.

Menurut Iqbal, beliau berharap agar program ini bukan sahaja membawa kegembiraan tetapi juga memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang diraikan untuk membina keyakinan diri dan menghargai nilai budaya mereka sendiri.

Beliau turut menekankan komitmen YHZ untuk terus menyokong golongan yang memerlukan, khususnya dalam usaha memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

Iqbal mengajak lebih banyak Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta dan menyokong inisiatif seumpama ini, dengan matlamat untuk membawa perubahan yang signifikan dan menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah.