Vaksin mRNA bukan penyebab kanser!
Vaksin melindungi kita daripada pelbagai jenis penyakit yang suatu ketika dahulu mampu memusnahkan seluruh kampung, bandar, malah sebagian besar negara.

KADANGKALA kita terlupa betapa pentingnya vaksin dalam kehidupan seharian kita. Ramai antara kita yang menganggap vaksin hanyalah sebagai salah satu daripada rutin yang melibatkan suntikan kecil semasa zaman kanak-kanak atau semasa berlakunya wabak seperti COVID-19.
Namun, di sebalik itu tersembunyi satu kisah kejayaan terbesar dalam sejarah perubatan moden.
Vaksin telah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia sejak ia diperkenalkan. Ia melindungi kita daripada pelbagai jenis penyakit yang suatu ketika dahulu mampu memusnahkan seluruh kampung, bandar, malah sebagian besar negara.
Penyakit seperti cacar (smallpox) yang dahulunya boleh membawa maut kini berjaya dihapuskan sepenuhnya, manakala penyakit polio kini hampir lenyap sepenuhnya. Ini semuanya adalah hasil daripada usaha vaksinasi secara global yang telah dijalankan oleh pihak berwajib.
Secara asasnya bagaimanakah vaksin berfungsi? Mudah saja, vaksin melatih sistem imun badan kita untuk mengenal dan melawan penceroboh (virus atau bakteria tertentu) yang berjaya memasuki sistem badan kita.
Dengan kata lain, ia melatih sistem imun dalam badan kita sebelum jangkitan atau serangan berlaku. Jadi apabila virus sebenar menyerang, sistem imun badan kita akan bersedia menghadapinya.
Apa yang lebih menarik, vaksin bukan saja melindungi individu, tapi juga komuniti. Apabila ramai yang telah divaksin, kadar peratus untuk virus ‘menumpang’ dalam populasi akan menurun secara mendadak lalu mengurangkan kebarangkalian virus untuk menjangkiti mereka yang tidak divaksin.
Inilah yang dipanggil ‘imuniti kelompok’ yang mana kadar vaksinasi yang tinggi menjadi pelindung kepada mereka yang tak boleh divaksin seperti bayi atau pesakit kronik.
Namun, dari semasa ke semasa, wujud golongan yang mempertikaikan keberkesanan vaksin walaupun dengan jelas statistik demi statistik menunjukkan bagaimana kadar kematian dan jangkitan menurun secara drastik selepas sesuatu program vaksinasi diperkenalkan.
Melalui vaksinasi, kita telah melihat penurunan signifikan dalam kematian kanak-kanak dan pengurangan kadar kematian akibat COVID-19.
Mutakhir ini terdapat dakwaan yang berlegar-legar dalam media sosial mengatakan bahawa vaksin mRNA seperti Pfizer dan Moderna boleh menyebabkan kanser. Namun, perkara ini tidak mempunyai asas serta bukti secara saintifik yang menyokongnya.
Ia hanya sekadar omongan kosong yang berdasarkan kepada testimoni-testimoni daripada individu secara rawak. Secara asasnya dalam dunia sains, untuk mencapai konklusi tentang sesuatu isu perlulah didasarkan kepada bukti-bukti yang jelas dan kukuh seperti eksperimen-eksperimen serta kajian kes yang dilakukan secara menyeluruh dan mendalam.
Dunia sains tidak mendasarkan sebarang dapatan kajian hanya dengan semata-mata atas dasar testimoni sahaja.
Kajian terkini dalam bidang bioinformatik dan molekul menunjukkan bahawa vaksin mRNA tidak mempunyai keupayaan untuk bergabung ke dalam DNA manusia, satu proses yang penting dalam pembentukan kanser. Ini terbukti melalui analisis jujukan vaksin mRNA itu sendiri menunjukkan tiada jujukan yang boleh menghasilkan enzim seperti ‘reverse transcriptase’ yang diperlukan untuk menukarkan RNA kepada DNA.
Selain daripada itu juga, data RNA-Seq dan DNA-Seq daripada sel yang telah divaksin tidak menunjukkan sebarang kejadian penggabungan mRNA ke dalam DNA genom manusia.
Malah, para saintis menjelaskan bahawa kanser biasanya berpunca daripada mutasi dalam DNA, bukan RNA yang bersifat sementara dan mudah terurai.
Hasil analisis corak ekspresi gen sebelum dan selepas vaksinasi menggunakan data transkriptomik awam yang diperoleh daripada pangkalan data GEO dan ENCODE hanya menunjukkan peningkatan pada ekspresi gen yang berkaitan dengan sistem imun seperti laluan interferon.
Ini menunjukkan tindak balas imun yang normal. Tiada bukti pengaktifan gen berkaitan kanser seperti MYC atau RAS, ataupun penurunan gen penekan tumor seperti TP53 selepas vaksinasi yang ditemui melalui analisis transkriptomik ini.
Ini dengan jelas menunjukkan bahawa vaksin mRNA tidak mengubah ekspresi gen seperti yang berlaku dalam sel kanser.
Dalam kajian proteomik pula, penyelidik menggunakan teknologi spektrometri jisim untuk menganalisis jenis protein yang dihasilkan selepas vaksinasi. Keputusan menunjukkan tiada penghasilan protein yang dikaitkan dengan kanser seperti VEGF atau HER2.
Protein yang terhasil selepas vaksinasi menggunakan vaksin mRNA adalah jenis protein spike (sejenis protein yang terdapat pada permukaan virus dan tidak terlibat dengan kanser) yang bersifat sementara kerana ia akan dikesan dan dihapuskan oleh sistem imun dalam tubuh badan kita.
Selain daripada itu, kajian epigenetik juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara selepas vaksinasi. Analisis perubahan epigenetik (metilasi DNA) menggunakan platform seperti Illumina 450k/850k tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara yang biasanya dapat dilihat dalam sel-sel kanser.
Perubahan epigenetik dalam sel-sel kanser adalah sangat signifikan dan perubahan ini tidak dilihat selepas vaksinasi.
Akhir sekali, analisis model pembelajaran mesin (Machine Learning) menggunakan data daripada sistem pemantauan kesan sampingan seperti VAERS (Amerika Syarikat), Yellow Card (UK) dan CDC tidak mengesan corak luar biasa khususnya peningkatan kes kanser yang signifikan dan konsisten selepas vaksinasi.
Dalam erti kata lain, analisis menggunakan jutaan data dan teknik analisis yang canggih (pembelajaran mesin) tidak menunjukkan vaksin mRNA sebagai penyebab kanser.
Ini adalah kerana jutaan manusia telah mengambil vaksin dan secara logikanya sudah pasti cukup untuk menunjukkan yang vaksin mRNA menyebabkan kanser namun hasil analisis menunjukkan sebaliknya.
Berdasarkan kajian bioinformatik secara menyeluruh dengan melihat dari sudut genetik, transkriptomik, proteomik hinggalah ke epigenetik, semuanya membawa kepada satu kesimpulan iaitu vaksin mRNA tidak menyebabkan kanser.
Oleh yang demikian amat penting bagi kita untuk mendapatkan informasi daripada sumber yang boleh dipercayai, sahih dan ilmiah bagi menghindari penyebaran informasi yang salah mengenai vaksin.
Vaksin bukan terhasil melalui magik tetapi melalui ilmu, kajian dan usaha bersama. Dalam dunia globalisasi masakini, vaksin kekal sebagai salah satu perlindungan terbaik yang kita ada bagi mengekang wabak-wabak bahaya.
Janganlah kita menjadi seperti ‘Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’, membantutkan proses vaksinasi yang dijalankan oleh pihak berwajib dengan menghasut serta menyebarkan berita-berita dan pendapat yang tidak berasas.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.