Kronologi ketegangan tarif AS-China dan bab ekonomi baharu Malaysia

Perang perdagangan AS-China bermula semasa penggal pertama pentadbiran Presiden Donald Trump, apabila tarif dikenakan ke atas barangan China bernilai ratusan bilion dolar.

Poster Terkini (2)


LANDSKAP ekonomi global sekali lagi berubah apabila Amerika Syarikat (AS) dan China memperbaharui pertelingkahan tarif mereka.

Riak kesan perang perdagangan ini bakal menjangkau ke seluruh Asia Tenggara. Malaysia yang merupakan pemain dalam rantaian bekalan global, kini mendapati dirinya berada di persimpangan yang kritikal.

Malaysia perlu mengemudi ketidaktentuan ekonomi yang bakal mengundang, sambil memanfaatkan pakatan baharu bagi mencapai cita-cita pembangunan mampan.

Garis Masa Ketegangan Tarif AS-China

2018-2019: Perang perdagangan AS-China bermula semasa penggal pertama pentadbiran Presiden Donald Trump, apabila tarif dikenakan ke atas barangan China bernilai ratusan bilion dolar. Ini mendorong China untuk bertindak balas. Malaysia, walaupun tidak terlibat secara langsung, memperoleh beberapa keuntungan jangka pendek apabila syarikat-syarikat pengeluar global mula mencari pangkalan alternatif di sekitar Asia Tenggara.

2020-2023: Gencatan perang perdagangan terjadi dengan berlakunya pandemik COVID-19 yang mengganggu rantaian bekalan global. Keadaan menjadikan ketegangan tarif reda. Ekonomi AS di bawah Presiden Biden mengekalkan sikap berjaga-jaga, manakala ekonomi China memberi tumpuan kepada memperluaskan kerjasama inisiatif ‘Belt and Road’ mereka.

2025: Presiden Trump kembali memegang jawatan, lalu melancarkan pusingan baharu tarif agresif yang menyasarkan berbilang negara. Presiden Trump menyifatkan bahawa ekonomi AS sudah lama ditindas dalam amalan perdagangan global tidak adil dan merugikan. Akibatnya, pada 9 April 2025, AS mengenakan kadar tarif 54 peratus ke atas barangan China. Negara sekitar Asia Tenggara juga tidak terkecuali. Malaysia telah dikenakan tarif 24 peratus, termasuk Vietnam (46 peratus), Thailand (37 peratus) dan Kemboja (49 peratus).

Ekonomi Malaysia Tersepit

Ekonomi Malaysia yang bergantung kepada eksport terjejas secara langsung. AS ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia, dengan lebih 60 peratus eksport ke AS terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik. Tarif yang baharu dikenakan bakal mengurangkan daya saing Malaysia, meningkatkan kos rantaian bekalan dan berpotensi menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam sektor utama seperti pembuatan, elektronik dan plastik.

Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) memberi amaran bahawa gangguan seperti itu boleh menyebabkan produktiviti negara lebih rendah, menimbulkan keraguan pelabur dan melemahkan posisi Ringgit jika strategi tindak balas tidak dilakukan dengan segera oleh kerajaan.

Lawatan Diplomatik Presiden Xi ke Malaysia

Presiden China Xi Jinping melawat Malaysia pada pertengahan April yang lalu, menjanjikan kerjasama ekonomi yang lebih mendalam dan mencadangkan inisiatif perdagangan bebas baharu antara China dan negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Lawatan diplomatik ini dilihat sebagai langkah strategik dan simbolik untuk masa depan ekonomi Malaysia. Lawatan itu datang pada masa kritikal bagi Malaysia, seakan-akan menawarkan talian hayat ekonomi alternatif untuk kita.

Jaminan Presiden Xi tentang China sebagai ‘rakan kongsi yang boleh dipercayai dan stabil’ bergema kuat di Putrajaya. Beberapa perjanjian baharu telah ditandatangani, termasuk pelaburan infrastruktur yang diperluas, eksport pertanian yang lebih besar ke China (terutamanya minyak sawit dan durian) dan peningkatan kerjasama dalam teknologi hijau dan inisiatif ekonomi digital.

Peralihan Ekonomi Malaysia: BRICS dan ESG

Untuk mengharungi kejutan ekonomi global, Malaysia mengeratkan hubungan dengan BRICS. Malaysia telah diiktiraf sebagai negara rakan kongsi rasmi BRICS pada akhir 2024. Malaysia kini mempunyai akses kepada pembiayaan pelbagai hala melalui New Development Bank dan keutamaan perdagangan dengan ekonomi sedang pesat membangun seperti India, Brazil dan Afrika Selatan.

Malaysia sedang mempelbagaikan pasaran eksportnya ke negara-negara yang mempunyai pertumbuhan tinggi dengan memanfaatkan Free Trade Agreements (FTA) seperti Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) dan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).

Usaha ini bertujuan untuk mengurangkan kesan buruk tarif AS dan meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia.

Kerjasama ini bukan semata-mata ekonomi. Ia mencerminkan strategi jangka panjang Malaysia untuk mengurangkan pergantungan kepada pasaran Barat dan menyepadukan ekonomi Malaysia ke dalam ekosistem perdagangan berbilang negara yang lebih seimbang.

Tambahan lagi, Malaysia menggandakan komitmen Environment, Social, Governance (ESG) untuk menarik pelabur-pelabur generasi baharu. Pelancaran Sustainable and Circular Economy Roadmap serta rancangan untuk menghasilkan Sustainable Aviation Fuel (SAF) menjelang 2027, menyerlahkan keazaman negara untuk menyelaraskan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab iklim.

Langkah ke hadapan ESG ini telah menarik minat pelabur Eropah dan Asia Timur yang mencari pasaran alternatif yang mampan dan beretika.

Apa Yang Menanti Ekonomi Malaysia?

Ketidaktentuan ekonomi dalam jangka pendek ini memperlihatkan bahawa Malaysia masih mempunyai pelbagai pilihan lain untuk terus bergerak ke hadapan.

Walaupun tarif baru AS memberikan cabaran yang menggerunkan, peralihan tumpuan ekonomi ke China, BRICS, dan pembangunan dipacu ESG menyediakan asas untuk daya tahan jangka panjang bagi Malaysia.

Memetik kata Dr. Aida Mazlan, pakar ekonomi di Universiti Malaya, “Dalam persekitaran geopolitik yang berubah, fleksibiliti adalah kunci. Malaysia sedang menyusun semula kompas ekonominya dan jika diurus dengan bijak, ini boleh membawa kepada identiti ekonomi yang lebih kukuh dan mampan.”


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.