Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara didakwa terima suapan kereta mewah

Mohamad Ali (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini.
AYER KEROH, 26 Jun 2025 – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat di Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berupa sebuah kereta mewah jenis Range Rover Sport.
Tertuduh, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa menerima kenderaan itu daripada seorang pengarah syarikat subkontraktor sebagai balasan kerana melantik syarikat berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja extraction, transporting and unloading sea sand di kawasan penyimpanan pasir laut bagi projek penambakan laut di Melaka.
Projek tersebut melibatkan kerja-kerja penambakan kawasan seluas 220 ekar di Kota Laksamana, Melaka Tengah.
Tertuduh, yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Md Yunos Shariff.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengekalkan jumlah jaminan sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Shah Alam pada 18 Jun lalu.