Apa masyarakat boleh pelajari daripada filem Wizard of Oz?

Graduan muda Malaysia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada peluang pekerjaan tradisional.

Poster Terkini (2)

ORANG-ORANG ‘Scarecrow’, Tukang Kayu Timah dan Singa Pengecut masing-masing mempunyai ciri ‘hilang’ yang mendorong mereka untuk mengembara bersama Dorothy ke Wizard of Oz dalam cerita pengembaraan ini.

Orang-orang ‘Scarecrow’ mahukan otak, Tukang Kayu Timah menginginkan hati atau perasanan dan Singa Pengecut merindukan keberanian.

Interaksi awal Dorothy dengan watak-watak ini mengesahkan bahawa mereka ini kehilangan perkara-perkara ini yang amat penting sebenarnya dalam kehidupan sesebuah masyarakat.

Watak Tukang Kayu Timah ‘Tin Man’ Dan Masyarakat

Tukang Kayu Timah ialah watak yang menginginkan hati atau perasanan. Sebenarnya sesebuah masyarkat yang makmur memerlukan hati atau perasanan yang mempunyai nilai empati.

Empati ialah keupayaan untuk memahami perasaan, pemikiran dan pengalaman orang lain. Sifat ini melampaui simpati, orang yang mengamalkannya lebih sensitif terhadap perasaan dan situasi orang lain.

Empati sering dikatakan semakin pudar merentasi pelbagai lapisan masyarakat. Individu sering mengutamakan kepentingan individu dan kebebasan peribadi mereka sendiri.

Sebenarnya, empati adalah penting supaya kita dapat lebih memahami perspektif orang lain dan melihat dunia dari perspektif mereka.

Empati bukan sekadar simpati, di mana simpati hanya bermaksud berasa kasihan atau meluahkan perasaan yang sama kepada orang lain. Empati membolehkan masyarakat memahami dengan lebih mendalam dan peka terhadap situasi dan emosi orang lain.

Kita juga boleh membaca bahasa badan, ekspresi muka dan bahasa lisan seseorang untuk memahami perasaan mereka. Sifat ini sememangnya berharga dan diperlukan semasa interaksi sosial. Ia membantu kita berhubung dengan orang lain dengan lebih rapat, sekali gus mengukuhkan hubungan.

Empati bukanlah sifat semula jadi tetapi ia boleh dibangunkan melalui kesedaran, amalan dan keinginan untuk memahami dan merasakan perasaan orang lain.

Ini membolehkan masyarakat meletakkan diri mereka dalam kedudukan orang lain, melihat dunia dari perspektif mereka dan menjadi lebih belas kasihan.

Watak Orang-orang ‘Scarecrow’ dan Masyarakat

Sementelah watak orang-orang ‘Scarecrow’ memerlukan otak atau fikiran dan boleh dikatakan sebagai ilmu. Memetik kata-kata Profesor Syed Naquib Al-Attas tentang ilmu, ilmu diperoleh daripada maklumat yang benar dan memberikan makna kepada diri seseorang.

Oleh itu, seharusnya ilmu akan tercermin pada tingkah laku dan perwatakan seseorang. Justeru, kita akan dapat lihat perbezaan antara masyarakat yang berilmu dan tidak berilmu.

Pada hari ini, masalah sosial berkaitan akhlak sudah menjadi isu bersama. Ilmu dan pendidikan yang baik dianggap sebagai asas dan teras kepada peribadi seseorang.

Namun pada hari ini, kita mendapati sesetengah masalah bekaitan akhlak dan moral berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan dan berilmu pengetahuan.

Permasalahan ini makin meruncing dengan kemajuan teknologi maklumat termasuk kecerdasan buatan yang berupaya menyampaikan segala berita dalam masa yag amat singkat.

Maklumat beredar tanpa kawalan dan sempadan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah masyarakat terutamanya golongan muda yang baharu mengenal ‘dunia’. Lalu persoalan yang timbul ialah di manakah nilai ilmu dan pendidikan yang diperoleh?

Watak Sang Singa Pengecut dan Masyarakat

“Orang yang cemerlang sebenarnya bukanlah orang yang melakukan sesuatu yang berlainan daripada orang lain tetapi melakukan sesuatu perkara itu dengan cara yang berlainan daripada orang lain”.

Seperti watak sang singa pengecut masyakat kita memerlukan keberanian untuk menghadapi cabaran perubahan persekitaran yang berlaku.

Orang yang berani mencuba ialah orang yang mengamalkan sikap menjaga maruah diri, tidak suka meminta-minta dan berusaha sendiri untuk mencapai matlamat yang diingini.

Keinginan untuk mencuba bukanlah bererti seseorang itu ingin membuat sesuatu yang lebih baik daripada orang lain tetapi sebenarnya beliau ingin menghasilkan sesuatu yang terbaik mengikut kemampuan yang ada pada dirinya, dengan dibimbing dan didorong oleh masyarakat sekeliling.

Sifat ini perlu ada dalam diri masyarakat kita. Kejayaan daripada hasil percubaannya itu boleh meningkatkan keyakinan diri mereka dan seterusnya boleh memberi sumbangan kepada arah peningkatan kemahiran dalam negara.

Dalam dunia yang semakin kompleks dan berdaya saing hari ini, graduan muda Malaysia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada peluang pekerjaan tradisional.

Lanskap ekonomi dan sosial telah berubah dengan ketara akibat kemajuan teknologi, globalisasi serta cabaran-cabaran baharu seperti automasi dan kecerdasan buatan.

Adakah cerita masyarakat kita akan menjadi seperti pengakhiran cerita Wizard of Oz dimana sang singa penakut mendapat pingat tanda keberanian, orang-orang ‘Scarecrow’ mendapat segulung kertas seperti ijazah tanda berilmu dan Tukang Kayu Timah “Tin Man” mendapat jam berbentuk hati sebagai lambang perasaan.

Inilah yang dikatakan kecemerlangan tanpa jiwa.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.