Pastikan tiada tertinggal, terpinggir dalam melakar semula pembangunan
Stereotaip bahawa kemunduran sosioekonomi masyarakat berpunca daripada sikap, sebaliknya menekankan faktor institusi dan struktur yang membelenggu peluang pendidikan serta ekonomi.

CITRA Melayu yang malas ini muncul disebabkan masyarakat Melayu menentang untuk kerja di ladang kapitalis penjajah.
Syed Hussein Alatas pernah menegaskan bahawa mitos ‘peribumi malas’ atau citra negatif seperti ‘Melayu Malas’, ‘Cina yang dapat disogok’ dan ‘India penakut dan penipu’, citra yang menyerupai masyarakat Filipina dan Jawa yang diwarisi daripada wacana kolonial merupakan naratif ideologi untuk menjustifikasi ketaksamaan dan kelemahan struktur yang dicipta penjajah.
Beliau menolak stereotaip bahawa kemunduran sosioekonomi masyarakat berpunca daripada sikap, sebaliknya menekankan faktor institusi dan struktur yang membelenggu peluang pendidikan serta ekonomi.
Pandangan ini seiring dengan teori capability Amartya Sen, yang melihat pembangunan sebagai usaha memperluas kemampuan manusia untuk mencapai potensi mereka, bukan sekadar pertumbuhan angka GDP.
Namun, naratif warisan kolonial itu berulang kembali dalam wacana politik moden. Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika memimpin Malaysia beberapa kali mengungkapkan pandangan bahawa orang Melayu malas sebagai sebab mereka ketinggalan dalam pembangunan ekonomi.
Tidak kurang slogan ‘Melayu Malas’ yang diulang-ulang sehingga hari ini yang diterima seakan satu kebenaran apabila B40 masih tidak mampu mengubah mobiliti sosial, sedangkan mereka ini menyara diri dengan mengambil dua tiga kerja atau lebih.
Apabila kerajaan hari ini ingin memberikan bahagian daripada kek ekonomi kepada golongan ini, mereka dinafikan dengan stereotaip yang sama.
Slogan yang sendeng ini secara tidak langsung meneruskan legasi kolonial yang mengaitkan kemiskinan dengan kelemahan budaya, bukannya dengan struktur dasar dan peluang yang tempang.
Ia membayangi persoalan sebenar iaitu modal sosial seperti jurang pendidikan, pekerjaan dan akses ekonomi yang terhad, faktor-faktor yang ditegaskan oleh Syed Hussein Alatas dan Amartya Sen sebagai punca utama ketidakadilan sosioekonomi.
Hari ini, melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan melakar semula pembangunan negara dengan menekankan pembangunan modal insan, mewujudkan pekerjaan yang bermaruah dan memastikan gaji serta peluang kerjaya setara dengan kelayakan.
Pendekatan ini menunjukkan usaha untuk memperbetulkan kerangka pembangunan yang terangkum, sekali gus mengatasi masalah kemiskinan yang berakar dan diwariskan oleh struktur penjajahan dan diperkuat oleh wacana lama.
Kemiskinan bandar lazimnya berpunca daripada kos sara hidup tinggi, gaji rendah serta akses terhad kepada perumahan dan perkhidmatan asas.
Walaupun kemiskinan mutlak berkurang, ramai miskin bandar masih terperangkap dalam kemiskinan relatif. Mereka terjebak dalam kitaran ganas (vicious cycle) di mana pendapatan rendah mengehadkan peluang pendidikan dan kesihatan, lalu mengekang akses kepada pekerjaan yang lebih baik.
Masalah ini ditambah lagi dengan isu perumahan, pengangguran belia, dan ketiadaan jaringan sosial yang kukuh.
Melalui RMK13, menangani kemiskinan (Strategi B3.2), merapatkan kesenjangan (Strategi B3.3) dan menambah baik perlindungan sosial (Strategi B3.4) mampu menangani kemiskinan tegar.
Malah, pembangunan bandar inklusif, mampan dan berdaya tahan dirangka sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat.
Antara langkah konkrit termasuk peluasan teknologi pembinaan moden melalui Industrialised Building System (IBS) dan Building Information Modelling (BIM) bagi meningkatkan kualiti, mempercepatkan projek, dan mengurangkan pembaziran kos, khususnya dalam pembinaan perumahan awam.
Pendekatan ini menyokong sasaran pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam tempoh sepuluh tahun.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memperkenalkan Transit-Oriented Development (TOD) yang mengintegrasikan perumahan mampu milik dengan sistem pengangkutan awam bagi memperkukuh akses B40 kepada pendidikan dan pekerjaan.
Selain itu, data perumahan bersepadu turut dibangunkan untuk memastikan dasar lebih tepat, manakala perlindungan kepada pembeli rumah diperkukuh.
Usaha membasmi kemiskinan bandar turut dilengkapi program baik pulih dan pembinaan semula rumah usang serta pengukuhan amalan ekonomi kitaran melalui pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap.
Strategi ini memperlihatkan kesungguhan menangani kemiskinan bandar secara sistemik, bukan hanya dengan bantuan sementara.
Isu kemiskinan tegar juga berkait rapat dengan jurang wilayah. Sabah dan Sarawak masih ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung meskipun kaya dengan sumber asli.
Sabah, misalnya melalui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), telah melaksanakan beberapa inisiatif penting untuk mengurangkan jurang pembangunan bandar-luar bandar.
Antaranya termasuklah Poverty Eradication Through Agricultural Initiatives, Food Security Policy Review for Sabah, Mapping on Community-Based Tourism Potentials by District, Sabah Sustainable Greenprint Plan (SPICE) serta Developing Sustainable Framework for the Kinabalu Geopark.
Kesemua inisiatif ini menunjukkan usaha untuk mencipta ‘kolam-kolam’ ekonomi baharu yang sesuai dengan realiti setempat serta memecahkan kitaran kemiskinan luar bandar.
Sabah dan Sarawak memerlukan model desentralisasi fiskal yang memberi kuasa lebih luas kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan dana pembangunan mengikut keadaan tempatan.
Penekanan perlu diberi kepada peningkatan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, jalan raya dan sistem pendidikan untuk memecahkan kitaran kemiskinan.
Dalam konteks intrastate poor gap, Pulau Pinang sering dianggap negeri maju dengan pencapaian ekonomi tinggi, namun angka makro ini menutup realiti internal disparities.
Walaupun kemiskinan tegar dilihat sudah dihapuskan pada 2024, kadar kemiskinan relatif meningkat dan memberi kesan 1 daripada 10 isi rumah di Pulau Pinang (Penang Institute, 2024).
Kesenjangan juga meningkat, indeks Gini naik daripada 0.356 kepada 0.371. Peningkatan kesenjangan ini lebih ketara di daerah pentadbiran Barat Daya dan Seberang Perai Tengah berbanding daerah lain.
Situasi ini memperlihatkan wujudnya dua wajah pembangunan di satu pihak, George Town dan kawasan pulau berfungsi sebagai pusat moden dan berdaya saing global dan di pihak lain, daerah seperti SPT berdepan cabaran sosial, kekurangan pekerjaan dan mobiliti sosial yang terbatas.
Jurang intrastate membuktikan bahawa angka makro tidak mencerminkan kualiti hidup komuniti yang menyeluruh.
Pulau Pinang perlu menyeimbangkan kejayaan ekonomi makronya dengan dasar inklusif berasaskan data mikro yang mencerminkan sosioekonomi peringkat daerah dan komuniti. Hanya dengan cara ini pembangunan mampu bersifat terangkum dan mampan.
Tuntasnya, ketaksamaan di Malaysia berlapis dan kompleks, jurang pendapatan yang semakin melebar antara isi rumah terkaya dan termiskin, jurang bandar dan luar bandar yang menampakkan ketidakadilan akses kepada pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas, jurang wilayah yang terus membantutkan pembangunan negeri yang meskipun kaya dengan sumber asli serta jurang intrastate iaitu antara daerah.
Lebih mendasar, wujud jurang ideologi yang diwarisi daripada kolonialisme yang masih bergema dalam wacana politik moden.
Naratif sebegini menutup punca struktur sebenar kemiskinan iaitu kelemahan institusi, kapasiti fiskal yang tidak seimbang dan pasaran buruh yang tidak adil.
Justeru, menangani kemiskinan menuntut reformasi struktur dan pemikiran.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.