Trump, Presiden AS pertama ambil alih jawatan ketika masih berdepan beberapa kes jenayah.

WASHINGTON – Donald Trump bakal menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang mengambil alih jawatan ketika masih berdepan beberapa kes jenayah.

Kemenangan Trump, 78, pada Rabu secara dasarnya akan menghapuskan kes jenayah yang dikemukakan ke atas beliau apabila beliau menjejakkan kaki semula ke Rumah Putih.

Ini kerana jawatan tertinggi itu akan memberi kekebalan daripada sebarang pendakwaan untuk sepanjang empat tahun penggal pentadbirannya.

Susulan itu, Jabatan Kehakiman (DoJ) sedang menilai cara untuk menangguhkan kes yang difailkan Peguam Khas, Jack Smith berdasarkan dasar termaktub di bawah kuasa Perlembagaan yang memberi imuniti kepada Presiden yang sedang berkhidmat.

Menerusi wawancara pada akhir bulan lalu, Trump mengancam untuk memecat Smith yang mengetuai pendakwaan persekutuan dalam masa dua saat sejurus beliau dilantik sebagai Presiden ke-47 AS.

Sebelum ini, Trump mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang didakwa bermotifkan politik semata-mata.

Peguam kepada bilionair hartanah itu juga bakal mengemukakan permohonan kepada Hakim Juan Merchan untuk menangguhkan hukuman yang dijadualkan pada 26 November ini dan beberapa lagi perbicaraan lain.

Pakar undang-undang percaya prosiding itu akan ditangguhkan kerana hukuman yang diputuskan ke atas bakal Presiden menjelang majlis angkat sumpah jawatan merupakan perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah AS.

Imuniti sementara yang dipegang beliau bakal menyaksikan beberapa kes jenayah melibatkan Trump hanya akan dibicarakan semula selepas penggal pentadbirannya berakhir pada 2029. – Agensi