Hadis sebagai ‘daging mentah’ perlu dimasak sebelum dimakan
Hadis itu seperti daging mentah. Walaupun halal, ia tidak boleh terus dimakan. Perlu dimasak dulu supaya selamat dan sedap

DALAM sejarah pemikiran Islam, persoalan sama ada kita perlu ikut hadis atau mazhab fiqh sentiasa hangat dibincangkan tapi kini, dengan media sosial dan slogan agama ringkas, isu ini kembali panas.
Contoh slogan yang sering muncul:
1. Kita wajib ikut hadis, bukan taksub dengan mazhab membuta tuli
2. Imam Syafi‘i sendiri suruh ikut hadis sahih, bukan ikut mazhab
3. Ikut mazhab akal terpenjara, ikut hadis sahih hukum terpelihara
Bunyi macam semangat pembaharuan, namun jika diteliti timbul persoalan yang lebih mendalam iaitu adakah pendekatan ini benar-benar berasaskan ilmu atau sekadar slogan catchy tanpa disiplin keilmuan Islam yang sebenar?
Hadis: Daging Mentah yang Perlu Dimasak
Bayangkan hadis itu seperti daging mentah. Walaupun halal, ia tidak boleh terus dimakan. Perlu dimasak dulu supaya selamat dan sedap. Hadis Nabi SAW memang sumber syariat tetapi bukan hukum siap pakai. Ia hanya bahan mentah yang memerlukan proses ilmiah:
1. Penilaian sanad dan matan
2. Memahami nasakh dan mansukh
3. Penilaian amalan Sahabat
4. Perbandingan dalil lain
5. Penerapan kaedah tarjih antara dalil bertentangan
5. Menggunakan kaedah istinbat hukum melalui Usul Fiqh
5. Menilai dari sudut maqasid syariah
Kalau tidak melalui proses ini, orang yang ‘ambil terus’ boleh tersalah tafsir, silap amal atau terjerumus dalam kekeliruan.
Imam al-‘Izz ibn ‘Abd al-Salam menegaskan:
“Sedikit sahaja orang yang hanya menyibukkan diri dengan hadis, melainkan dia akan tersesat daripada jalan fiqh kerana hanya mengambil zahir setiap hadis tanpa memahami kaedah usul.”
Sama macam makan daging mentah, bahaya jika tidak dimasak betul-betul. Dalam dunia hadis, proses ‘memasak’ itu adalah fiqh dan kaedah ilmiah. Bayangkan pakar hadis boleh tergelincir daripada kebenaran apabila mengambil makna zahir hadis tanpa panduan metodologi hukum dari mujtahid mutlak. Ini pula pembaca hadis atau hanya pakar ilmu mustalah hadis?
Slogan ‘Ikut Hadis, Tinggal Mazhab’: Perlu Hati-hati
Slogan ini berasaskan kata Imam Syafie yang suruh tolak pandangannya apabila bertemu dengan hadis sahih. Ya tidak dinafikan terdapat ungkapan tersebut namun adakah benar ia ditujukan kepada orang ramai atau kelompok tertentu sahaja?.
Sebenarnya para ulama menjelaskan bahawa ungkapan ini ditujukan kepada mujtahid yang memiliki kelayakan metodologi, bukan individu yang hanya membaca hadis atau menguasai ilmu periwayatan semata-mata. Untuk beramal dengan ungkapan Imam al-Syafi’I ini, Imam al-Nawawi mensyaratkan seseorang itu mesti menguasai keseluruhan karya Imam al-Syafi‘i dan metodologi para pendokong mazhabnya. Siapa di Malaysia yang boleh mencapai tahap ini, amat sulit dan jauh sekali mencapainya.
Golongan yang menekankan hadis tanpa mazhab sering berhujah: Nabi SAW tak pernah mewajibkan kita ikut mana-mana mazhab. Betul, dari segi lafaz tetapi kalau orang awam ikut begitu sahaja, ia berisiko besar. Bukan semua orang layak mentafsir hadis hukum secara bebas.
Sejarah menunjukkan, perpecahan sering berlaku bukan kerana orang terlalu ikut mazhab tetapi sebab individu rasa mampu menjadi ‘mujtahid segera’. Fenomena ini melahirkan kumpulan yang mendakwa memperjuangkan sunnah tapi akhirnya tetap ikut pandangan imam tertentu. Mereka membalutnya dengan sunnah, salafus soleh dan seumpamannya hakikatnya bertaklid dengan mazhab tertentu.
Contoh ‘Memasak’ Hadis
1. Hadis Wali Nikah – Hadis ‘Tidak sah nikah melainkan dengan wali’ diterjemah secara berbeza oleh mazhab:
Syafi‘i, Maliki, Hanbali: wali wajib untuk akad sah.
Hanafi: wanita baligh dan berakal sah akad tanpa wali, berdasarkan qiyas dan riwayat sahabat.
Perbezaan ini menunjukkan hadis sama tetapi cara ‘memasaknya’ berbeza ikut kaedah hukum setiap mazhab.
2. Hadis Basuhan Jilatan Anjing
Hadis ‘Apabila anjing menjilat di dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia membasuhnya sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya dengan tanah’
Mazhab Syafi‘i & Hanbali: tujuh kali basuhan, salah satu dengan tanah.
Mazhab Hanafi: tiga basuhan sudah cukup, ikut praktik sahabat Abu Hurairah RA.
Ini bukan menolak hadis tetapi berbeza proses ‘memasak’ kerana inginkan hukum sesuai dengan konteks praktikal berdasarkan fahaman tersendiri.
Semua contoh ini menunjukkan bahawa hadis adalah ‘daging mentah’ yang perlu ‘dimasak’ secara resepi tertentu (metodologi hukum) supaya bermanfaat kepada umat.
Mengapa Orang Awam Perlu Hati-hati
Tak beramal literal bukan bermakna menolak sunnah. Ia hasil proses ilmiah yang merangkumi penilaian sanad, penilaian amalan sahabat, perbandingan dalil lain dan kaedah tarjih bila dalil bertentangan.
Persis memasak daging mentah, bahan perlu diproses dengan betul supaya selamat dimakan dan memberi manfaat. Jika orang awam ikut hadis hukum tanpa bimbingan, risiko salah tafsir atau salah amal sangat tinggi. Dalam dunia media sosial hari ini, ramai mengambil hadis secara literal tanpa kaedah fiqh. Ia amat berbahaya, persis berjalan dalam hutan tanpa lampu suluh di waktu malam!
Mazhab: Dapur Memasak Hadis
Mazhab bukan halangan untuk mengikuti sunnah. Ia ibarat dapur dan api yang menyiapkan daging mentah. Dengan kaedah mazhab, hadis mentah dapat diamalkan secara selamat, sistematik dan berkesan.
Di Malaysia, pemilihan mazhab Syafi‘i bukan kerana fanatik tetapi kerana metodologinya seimbang iaitu gabungkan hadis dan fiqh, memudahkan umat awam mengamalkan sunnah dengan selamat. Mazhab juga bantu ahli hadis yang belum menguasai Usul Fiqh dan Maqasid Syariah. Tanpa disiplin ini, ahli hadis hanyalah penyampai berita, bukan mujtahid yang mampu menyelesaikan persoalan umat.
Kesimpulannya, hadis adalah daging mentah. Ia suci dan halal tetapi tidak boleh terus diamalkan begitu sahaja. Perlu diproses melalui fiqh dan kaedah ilmiah supaya selamat, bermanfaat dan sesuai konteks. Berpegang kepada mazhab bukan menolak sunnah. Ia memastikan pengamalan sunnah berlangsung teratur, selamat dan berpadu. Dengan ‘memasak’ hadis sebelum diamalkan, umat Islam boleh menikmati ‘hidangan hukum’ yang lengkap dan memberi manfaat sebenar. Wa Allah a‘lam.

