Kim Jae Joong adakan konsert peminat solo pertama di Singapura Mac ini

Sebuah perayaan kosmik menandakan 23 tahun perjalanan seni Sang Bintang.

Feature Image (1)

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Penyanyi, penulis lagu dan pelakon terkenal Korea Selatan, Kim Jae Joong bakal mengadakan konsert peminat (fan concert) solo pertamanya di Singapura menerusi 2026 J-Party Asia Tour Fan Concert ‘GALAXY 1986’ pada 28 Mac depan.

Konsert yang dijadual berlangsung pada Sabtu itu akan diadakan di Arena @ EXPO pada pukul 7.30 malam, sekali gus menjadi penampilan sulung solo artis berkenaan di republik tersebut.

Kim Jae Joong, yang memulakan kerjaya seni pada 2003, dikenali menerusi kejayaannya sebagai artis solo dalam genre rock dan pop, selain penglibatan aktif dalam industri lakonan drama serta filem Korea Selatan.

Menurut penganjur, konsep ‘GALAXY 1986’ diinspirasikan daripada tahun kelahiran Kim Jae Joong dan melambangkan perjalanan seninya selama 23 tahun, di samping meraikan hubungan erat beliau bersama peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

Peminat yang menghadiri konsert berkenaan bakal disajikan dengan senarai lagu pilihan termasuk karya popular dan kegemaran peminat, selain sesi interaksi khas seperti sound check dan Hi-Bye, poster bertandatangan, kad foto, foto polaroid serta foto berkumpulan, selaras dengan tradisi J-Party.

Persembahan itu juga dijangka mengetengahkan perkembangan dan kematangan Kim Jae Joong sebagai seorang penghibur menerusi gabungan muzik yang emosional dan persembahan bertenaga.

Harga tiket ditawarkan antara SGD128 hingga SGD278 bergantung kepada kategori tempat duduk, tidak termasuk yuran tempahan.

Jualan pra-tiket akan dibuka pada 21 Jan ini bermula pukul 12 tengah hari menerusi DAMAI dan MAISEAT, manakala jualan umum bermula 22 Jan, pukul 10 pagi melalui semua saluran SISTIC.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi akaun Instagram Sliding Doors Entertainment.