Pelajar UNITEN santuni warga emas melalui Program Langkah Kasih

Bertujuan meluangkan masa berkualiti bersama penghuni pusat jagaan, selain memupuk nilai empati dan kasih sayang dalam kalangan pelajar.

Feature Image (6)

KUALA LUMPUR, 3 Mac 2026 – Sekumpulan pelajar perakaunan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Langkah Kasih: Ukirkan Senyuman Emas di One Stop Home Care Center bagi menyantuni dan meraikan warga emas baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan meluangkan masa berkualiti bersama penghuni pusat jagaan, selain memupuk nilai empati dan kasih sayang dalam kalangan pelajar.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program, termasuk sesi beramah mesra, gotong-royong, aktiviti mewarna, permainan tradisional seperti congkak dan dam aji serta aktiviti membuat dan menghias sampul raya.

Pengarah Program, Muhamad Amirul Husni Khairul Nizam berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja berjaya mengukir senyuman di wajah penghuni, malah menyemai nilai murni dalam kalangan pelajar.

“Interaksi secara langsung bersama penghuni memberi pengalaman yang sangat bermakna kepada pelajar serta membantu mereka memahami keperluan emosi dan sosial warga emas dengan lebih mendalam,” katanya.

Program itu turut disusuli dengan penyerahan sumbangan wang tunai hasil kutipan yuran penyertaan Cabaran 70 Kilometer Langkah Kasih yang berlangsung dari 26 Januari hingga 14 Februari 2026.

Selain itu, sumbangan makanan daripada orang ramai turut disampaikan kepada pihak pengurusan pusat jagaan bagi membantu menampung keperluan harian penghuni.

Sementara itu, Penasihat Program, Nik Amalena Najebah Nik Azman berkata, UNITEN sentiasa menyokong penganjuran program CSR yang memberi impak langsung kepada komuniti.

“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat, malah mencerminkan komitmen UNITEN dalam memupuk budaya kesukarelawanan serta kelestarian sosial,” katanya.

Beliau berharap program Langkah Kasih: Ukirkan Senyuman Emas dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai inisiatif berterusan dalam menyantuni komuniti setempat serta membentuk mahasiswa yang holistik dan berjiwa prihatin.