Tenang menghadapi tekanan melalui tazkiyah al-nafs

Kenaikan kos sara hidup yang berterusan; daripada harga barang keperluan harian, kos makanan, sewa rumah hinggalah bil utiliti, menjadikan ramai hidup dalam keadaan sentiasa berkira.

Feature Image (2)

TEKANAN hidup hari ini semakin dirasai sebagai satu realiti yang hampir tidak dapat dielakkan. Kenaikan kos sara hidup yang berterusan; daripada harga barang keperluan harian, kos makanan, sewa rumah hinggalah bil utiliti, menjadikan ramai hidup dalam keadaan sentiasa berkira.

Lebih membebankan, ketidaktentuan ekonomi global yang tercetus akibat konflik berpanjangan di Timur Tengah turut memberi kesan rantaian kepada dunia keseluruhan. Gangguan bekalan tenaga, peningkatan harga minyak dunia dan ketidakstabilan pasaran antarabangsa akhirnya “diterjemahkan” dalam bentuk harga barang yang semakin mahal di peringkat domestik, termasuk di negara kita.

Oleh itu, dalam masa yang sama, tekanan di tempat kerja semakin mencengkam akibat persaingan dan beban tugas yang meningkat, konflik keluarga semakin mudah tercetus akibat tekanan kewangan, sementara media sosial pula menambahkan keresahan apabila kehidupan orang lain kelihatan lebih selesa dan sempurna. Semua ini menjadikan manusia moden hidup dalam keadaan sentiasa resah, iaitu bekerja keras bukan untuk kemewahan, tetapi sekadar untuk bertahan.

Lebih membimbangkan, tekanan ini tidak hadir secara sementara. Ia datang setiap hari, terkumpul sedikit demi sedikit, hingga akhirnya menjejaskan kesihatan mental, merenggangkan hubungan sesama manusia dan melemahkan keupayaan untuk berfikir secara tenang dan rasional.

Ramai yang kelihatan kuat di luar, mereka terus bekerja, tersenyum dan memikul tanggungjawab; namun hakikatnya jiwa sedang memikul beban yang berat dan senyap. Tekanan yang tidak diurus dengan baik akhirnya bukan sahaja melelahkan tubuh, tetapi turut menghakis ketenangan batin, kejelasan hidup dan makna sebenar dalam menjalani kehidupan seharian.

Ironinya, dalam usaha mengatasi tekanan yang semakin menghimpit kehidupan, ramai mencari ketenangan segera, seperti bercuti untuk melepaskan penat, berhibur untuk melupakan beban atau sekadar melarikan diri seketika daripada realiti yang meresahkan. Tidak dinafikan, usaha-usaha ini mampu memberi kelegaan sementara. Namun, ketenangan seperti ini sering bersifat luaran dan sementara; ia menenangkan emosi tetapi tidak semestinya membina ketahanan jiwa.

Apabila realiti kembali menuntut, apabila tekanan kewangan berulang, konflik kehidupan berpanjangan dan ketidaktentuan ekonomi global terus menekan; ramai yang kembali rebah, kehilangan arah dan mudah dikuasai emosi. Ini berlaku kerana jiwa yang tidak dididik hanya belajar untuk berehat daripada tekanan, bukan berdiri menghadapinya. Di sinilah pentingnya untuk kita membezakan antara usaha sekadar menenangkan jiwa dengan keperluan mendidik dan membina jiwa secara mendalam.

Tradisi Islam sejak awal lagi telah menggariskan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berteraskan pembinaan dalaman manusia melalui konsep tazkiyah al-nafs. Ia bukan sekadar respon jangka pendek terhadap tekanan, tetapi suatu proses berterusan menyucikan, melatih dan menguatkan jiwa agar mampu berhadapan dengan realiti hidup yang getir tanpa kehilangan nilai, arah dan makna. Justeru, dalam menghadapi tekanan zaman yang kian mencengkam, tazkiyah al-nafs bukan lagi pilihan sampingan, tetapi keperluan asas bagi kelangsungan kesejahteraan insani.

Tazkiyah al-nafs: konsep teras dalam tradisi islam

Islam tidak menafikan keperluan ketenangan dalam kehidupan manusia. Ketenangan emosi sememangnya diperlukan agar manusia mampu berfungsi dengan baik dalam rutin harian yang menekan. Namun Islam tidak berhenti setakat menawarkan ketenangan luaran semata-mata. Sebaliknya, Islam menawarkan sesuatu yang lebih mendalam dan bersifat jangka panjang melalui konsep tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian, pemurnian dan pembinaan jiwa secara berterusan.

Tazkiyah al-nafs tidak bertujuan menafikan realiti tekanan hidup tetapi membimbing manusia agar memiliki jiwa yang kuat, stabil dan seimbang dalam menghadapi tekanan tersebut. Ia berusaha membentuk struktur dalaman insan bermula dengan cara berfikir, mengurus emosi serta meletakkan keutamaan hidup supaya seseorang tidak mudah goyah apabila berdepan krisis, kegagalan atau ketidaktentuan. Maka, dalam erti kata lain, Islam tidak hanya mahu manusia berasa tenang, tetapi mahu melahirkan manusia yang mampu berdiri teguh, membuat keputusan dengan hikmah dan mengekalkan nilai walaupun berada di bawah tekanan.

Melalui pendekatan inilah tazkiyah al-nafs menjadi teras penting dalam tradisi Islam ianya bukan sekadar sebagai disiplin kerohanian tetapi sebagai mekanisme pembinaan insan yang seimbang antara tuntutan kehidupan dunia dan kesejahteraan jiwa. Al-Qur’an menegaskan bahawa kejayaan insan bukan diukur hanya pada pencapaian luaran, tetapi pada keadaan jiwanya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya.” (Surah al-Shams: 9)

Ayat ini mengaitkan secara langsung kejayaan hidup manusia dengan proses tazkiyah iaitu penyucian dan pembinaan jiwa. Kejayaan dalam perspektif al-Qur’an bukan semata-mata diukur melalui pencapaian material, kestabilan ekonomi atau keselesaan emosi tetapi bergantung kepada sejauh mana seseorang itu berjaya membentuk jiwanya agar bersih, seimbang dan terpandu oleh nilai kebenaran.

Ertinya, mengurus tekanan hidup bukan sekadar isu emosi atau psikologi yang bersifat luaran, tetapi isu kualiti jiwa yang menentukan cara seseorang bertindak, membuat keputusan dan bertahan ketika diuji. Jiwa yang ditazkiyah mampu melihat tekanan sebagai ujian yang mendidik, bukan musibah yang mematahkan, sekali gus melahirkan ketahanan dalaman yang lebih kukuh dan bermakna.

Jiwa perlu dilatih, bukan dituruti

Imam al-Ghazali, tokoh agung pemikiran Islam, memberikan huraian mendalam tentang jiwa dan nafsu dalam karya monumentalnya Ihya’ ‘Ulum al-Din. Beliau menegaskan:

“Sesungguhnya nafsu itu jika dibiarkan, ia akan membawa kepada kebinasaan; dan jika dilatih serta dididik, ia akan membawa kepada keselamatan.” (Ihya’ ‘Ulum al-Din)

Petikan ini menggambarkan bahawa masalah utama manusia bukan tekanan itu sendiri tetapi kegagalan mengurus nafsu ketika berada dalam tekanan. Jiwa yang tidak ditazkiyah mudah dikuasai oleh marah, takut, iri hati dan putus asa, semuanya mempercepatkan keruntuhan emosi. Menurut al-Ghazali, proses tazkiyah menuntut mujahadah (kesungguhan melawan dorongan negatif), muhasabah (penilaian diri yang jujur) dan muraqabah (kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa memerhati). Hal ini menjadikan seseorang bukan sahaja tenang secara emosi, tetapi teguh secara dalaman.

Daripada tenang emosi ke menang ujian

Tidak semua ketenangan membawa kemenangan. Ada ketenangan yang lahir daripada pengabaian, penafian atau pelarian. Namun, tazkiyah al-nafs bertujuan melahirkan insan yang mampu berfungsi dengan baik ketika ditekan. Imam al-Ghazali mengingatkan:

“Bukanlah kuat itu dengan mengalahkan orang lain, tetapi kuat sebenar ialah mampu menguasai diri ketika marah.”

Kekuatan jiwa seperti inilah yang diperlukan dalam dunia hari ini iaitu kekuatan yang membuatkan seseorang tidak mudah melatah ketika dikritik, tidak mudah goyah ketika ditekan, dan tidak menggadaikan nilai demi keselesaan sementara. Maka, inilah maksud sebenar kemenangan yang lahir daripada tazkiyah; menang ke atas diri sendiri sebelum berhadapan cabaran luar.

Tazkiyah al-nafs dalam realiti kehidupan moden

Tuntasnya, dalam konteks kehidupan hari ini, tazkiyah al-nafs bukan konsep yang terasing daripada realiti. Ia boleh diaplikasikan secara praktikal, sama ada di tempat kerja dengan amanah dan integriti, dalam keluarga dengan kesabaran dan empati serta dalam kegagalan dengan sikap reda dan reflektif. Tazkiyah mengubah tekanan menjadi medan latihan rohani. Setiap ujian bukan dilihat sebagai ancaman semata-mata, tetapi sebagai peluang mendidik jiwa agar lebih matang dan hampir kepada Allah SWT.

Tazkiyah al-nafs tidak menjanjikan hidup tanpa masalah. Namun, ia menjanjikan sesuatu yang lebih bernilai iaitu jiwa yang tidak hancur apabila diuji. Oleh itu, dalam dunia yang semakin mencabar kestabilan emosi manusia, kita tidak hanya memerlukan ketenangan, tetapi jiwa yang terdidik iaitu jiwa yang mampu menang ketika tekanan datang tanpa diduga dan sudah semestinya kemenangan itu bermula apabila kita kembali memberi perhatian kepada pembangunan dalaman, sebagaimana yang diwariskan oleh tradisi agung Islam.