Adunan keperihatinan dan tanggungjawab dalam Pesanan Khidmat Masyarakat

Persembahan audio visual yang ringkas dan menarik mampu mendapat perhatian masyarakat untuk menerima dan mengadun mesej berkaitan dalam kehidupan mereka.

Feature Image (1)

KEWUJUDAN video Pesanan Khidmat Masyarakat sering kali menghiasi media elektronik terutamanya televisyen dalam menyampaikan mesej berupa pesanan didikan kepada masyarakat. Pendekatan audio visual sememangnya antara yang popular digunakan dalam menyampaikan pesanan ringkas berkenaan sesuatu perkara yang berpaksikan kesejahteraan dan kepentingan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Persembahan video yang singkat durasinya namun padat dengan mesej disampaikan dengan pendekatan menarik bagi mencapai matlamat dan disiarkan secara kerap bagi menimbulkan kesedaran dan rasa kebersamaan serta tanggungjawab masyarakat.

Jika kita imbau, pendekatan Pesanan Khidmat Masyarakat ini dilakukan dengan sebaik mungkin ketika negara dibelenggu dengan pendemik Covid 19 yang lalu.

Kemunculannya di media massa dan media baharu dilihat sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat secara ringkas dan mencakupi skop yang luas serta cepat dalam menggalakkan perubahan tingkah laku yang mensasarkan kepada langkah pencegahan serta pemulihan dalam ertikata mendidik masyarakat berkenaan isu kesihatan global.

Ia berjaya membentuk sifat bertanggungjawab dan keperihatinan masyarakat dalam konteks bersama-sama menghadapi ujian Covid 19. Pihak media senantiasa mengalunkan berulang kali agar mesej yang dipaparkan terbiasa diminda dan mempraktikkan segala pesanan merangkumi amalan penjagaan diri dan kata-kata semangat kebersamaan dalam mengharungi hari mendatang.

Secara jelas, persembahan audio visual yang ringkas dan menarik mampu mendapat perhatian masyarakat untuk menerima dan mengadun mesej berkaitan dalam kehidupan mereka terutama ketika berhadapan dengan sesuatu isu semasa.

Asalkan ia dilakukan dengan terancang dan teliti dalam meneroka naratif penceritaan yang disampaikan agar dapat menjelmakan pemahaman dan tindak balas dalam pemikiran mahunpun tingkah laku masyarakat, maka ia tidak mustahil untuk dilakukan.

Umum mengetahui bahawa Pesanan Khidmat Masyarakat bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan sesuatu isu semasa yang diyakini memerlukan perubahan pemikiran dan tingkah laku melalui mesej berupa pendidikan yang direncanakan bersesuaian dengan isu semasa yang terkait.

Isu semasa adalah seperti isu yang melibatkan kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan gaya hidup yang senantiasa perlu disampaikan dengan tujuan menjamin kesejahteraan hidup masyarakat.

Terdapat juga video Pesanan Khidmat Masyarakat yang diterbitkan bersempena tema-tema tertentu dalam membina pentafsiran dan membentuk keperihatinan masyarakat dengan mesej yang lebih terarah kepada kebaikan bersesuaian dengan sesuatu peristiwa (kemerdekaan atau perayaan) atau hari istimewa (hari guru, hari pekerja) yang kebiasaannya diungkapkan saban tahun dalam menyemai semangat dan penghargaan tertentu.

Tak ketinggalan juga dalam mengungkap prinsip atau gaya hidup yang positif sebagai warganegara melalui pelbagai kempen-kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dalam memastikan kesempurnaan hidup yang lebih baik seperti menolak budaya rasuah, tanggungjawab di media sosial, nilai kekeluargaan dan lain-lain persoalan yang dirasakan perlu dalam perubahan tingkah laku secara terancang.

Begitulah hebatnya peranan video Pesanan Khidmat Masyarakat dalam menyampaikan pesanan secara pantas melalui media. Nampak ringkas namun fungsi dalam memberikan informasi secara cepat, meluas dan penuh emosi mampu meninggalkan kesan mendalam kepada si penonton.

Secara naratifnya, Pesanan Khidmat Masyarakat mempunyai keistimewaannya tersendiri. Bukan sahaja berkenaan format tetapi keringkasan dan kandungan yang dimuatkan adalah perkara yang hampir dengan suasana masyarakat.

Ia seperti hebahan berita yang diadun dengan penceritaan, watak dan keindahan dialog serta kata-kata ringkas yang menciptakan daya ingatan yang kuat pada penonton. Ini penting dalam menjelmakan kesedaran, pemilihan kata-kata haruslah tepat dan pasti dalam mengungkap penyelesaian kepada permasalahan yang cuba diajukan.

Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa kempen kesihatan adalah bertujuan untuk memberitahu, memberi kesedaran, mempertingkatkan kewaspadaan, pendorong tindakan dan cuba mencapai sesuatu objektif kesihatan. Maka, melalui Pesanan Khidmat Masyarakat pula merupakan suatu usaha yang terancang dan komprehensif dalam memperolehi pendapat umum yang seragam berkenaan isu kesihatan bagi pengetahuan bersama.

Pemilihan kata-kata yang ringkas namun tegas yang terarah kepada objektif yang disampaikan adalah kemestian dalam penerbitannya. Kata-kata ini akan digunakan pada akhir video bagi kesimpulan yang jelas berkenaan pelan tindakan yang harus diambil oleh masyarakat.

Sebagai contoh, “#kitajagakita”, (Covid 19), “Tak Nak” (Kempen Anti merokok) dan pelbagai lagi mesej kesedaran, gaya hidup sihat serta menjauhi amalan yang buruk.

Kata-kata ini diharapkan akan bermain dalam fikiran masyarakat kerana keringkasan dan kesungguhan bahawa kata itu adalah sesuatu yang rasional untuk dilakukan bagi mencapai objektif sesuatu video khidmat pesanan berkenaan.

Tambahan pula, dengan gabungan naratif penceritaan yang membaluti emosi penonton dipadan dengan watak dan babak yang meruntun perasaan maka dengan mudah mesej yang disampaikan akan diukur dengan fakta sebagai sandaran untuk menyokong pemikiran serta kewajaran tindakan.

Dengan adunan elemen visual yang mempunyai permulaan yang menarik, pertengahan yang mengungkap maklumat dan pengakhiran yang memahamkan jiwa maka Pesanan Khidmat Masyarakat mampu membawakan suatu dimensi berbeza dalam menimbulkan keyakinan dan persetujuan serta tuntutan untuk melakukan yang terbaik seperti gesaan sesuatu tindakan yang disarankan.

Pendekatan visual melalui naratif penceritaan boleh menjadikan penyampaian sesuatu Pesanan Khidmat Masyarakat menembusi kepercayaan masyarakat jika pendekatan ini diadun dengan bijaksana. Kombinasi fakta dan kreativiti mampu memecah kebuntuan pemahaman terutamanya apabila hal ini diolah dengan menggunakan daya imaginasi yang melahirkan perasaan ingin tahu masyarakat.

Jalinan maklumat berkenaan kesan dan akibat perlu diperjelaskan dengan penerangan yang disertakan melalui imej pada keseluruhan persembahan kreatif. Penghujahan berdasarkan bukti-bukti yang nyata menjadi kemestian berguna kepada masyarakat dalam membina keyakinan terhadap informasi yang diutarakan.

Masyarakat akan terpanggil untuk turut serta mendalami isu yang dibangkitkan menerusi penceritaan tersebut kerana kejelasan berkenaan tujuan dan golongan sasaran serta kesesuaian gaya penyampaian diadun berdasarkan keperluan secukupnya.

Penyampaian harus menyokong kesesuaian kandungan terhadap golongan sasaran tertentu dari sudut kreativiti bagi menimbulkan kesan emosi yang padu. Kata-kata pemujukan ataupun gesaan tindakan harus sesuai dengan nada masyarakat berteraskan informasi yang dihidangkan sebagai sumber dirujuk.

Kesimpulannya, video Pesanan Khidmat Masyarakat adalah medium yang berkesan dalam memupuk kesedaran berkaitan pelbagai isu sosial yang berlaku dikalangan masyarakat untuk ditangani.

Namun keberkesanannya adalah bergantung dengan tahap penerimaan masyarakat itu sendiri berdasarkan faktor-faktor yang mampu untuk mengganggu kelancaran penyampaian informasi seperti tahap kekerapan pendedahan, kualiti menyampaian dan penjelasan sumber atau rangkuman fakta yang setimpal dengan masa terbitan yang ada.

Ini adalah cabaran yang harus dihadapi dalam membentuk pendapat awam berkenaan sesuatu isu melalui kaedah penyampaian video Pesanan Khidmat Masyarakat. Yang utama, melalui galur kreativiti terbukti mampu mencipta kesan emosi yang mendalam sehingga berjaya memberikan penafsiran baharu kepada masyarakat.